Satu laporan polis telah dibuat pada jam 11:30 pagi tadi, 18 April 2010 (Sabtu), di Balai Polis IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur, terhadap Dr. Mohd Asri Zainal Abidin (MAZA) di bawah Seksyen 3(1)(a) Akta Hasutan 1948 berhubung tulisan beliau dalam Malaysiakini pada 4 April dan 28 Mac 2010.

Sdr. Yusri Mohamed yang mewakili pelbagai NGO Islam membuat laporan tersebut dengan diiringi oleh lebih 150 penyokong. Laporan yang serupa turut dibuat di seluruh negara di balai-balai polis yang lain.

Kenyataan media yang dibuat selepas laporan tersebut adalah seperti berikut:

Laporan Polis Terhadap Tulisan Dr.Asri di Malaysiakini yang mengandungi Hasutan terhadap Agama dan Institusi Raja-raja Melayu.

Kami terpanggil untuk memohon agar suatu siasatan dibuat terhadap satu kesalahan yang kami percayai telah mencabuli undang-undang negara, mencabar institusi asas negara serta menghina Islam dan umatnya di negara kita.

Kami merujuk kepada tulisan Dr. Mohd. Asri bin Zainul Abidin bertajuk “Cabaran Gerakan Pembaharuan” bertarikh 4 April 2010 yang lepas. Tulisan ini yang merupakan tulisan kedua dalam ruang kolum baru yang diberikan kepadanya oleh laman web berita Malaysiakini (edisi Bahasa Melayu).

Kami berpandangan bahawa secara keseluruhan dan di beberapa tempat dalam tulisan tersebut secara khusus, Dr.Asri telah melampaui batas dalam mengemukakan pandangan dan komentarnya hingga ke tahap melanggar beberapa undang-undang negara terutamanya Akta Hasutan 1948.

Akta Hasutan 1948 memperuntukkan definisi hasutan sebagai termasuk, “kecenderungan bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan.” (Seksyen 3(1)(a) Akta Hasutan 1948)

Dr.Asri dalam tulisannya jelas cuba menimbulkan krisis keyakinan terhadap institusi-institusi rasmi Islam yang utama di Malaysia iaitu institusi Raja-raja dan ulama. Dalam tulisan beliau ini Dr.Asri jelas cuba menggambarkan bahawa pihak Raja-raja Melayu atau pihak Istana telah menjadi penghalang kepada aliran pembaharuan agama kerana tunduk kepada penjajah serta kerana telah diampu oleh para ulama yang beliau istilahkan sebagai anti-pembaharuan. Berikut dinukilkan antara petikan daripada tulisan tersebut yang berkaitan :

i. “Namun disebabkan sultan-sultan Melayu ketika itu dikuasai oleh Inggeris dan golongan pembaharuan pula gagal mendekati para sultan dan raja kecuali di Perlis di tangan Abu Bakar Ashaari. Namun di negeri-negeri lain, golongan pembaharuan gagal untuk mengikuti kehendak dan kerenah istana.”

ii. (Di bawah tajuk kecil “Enggan Mengampu”) “Golongan penentang pembaharuan mempunyai kelebihan kerana mereka sanggup menurut kehendak istana. Mereka adakan doa-doa yang memuja dan memuji sultan dan raja. Mereka diamkan tindakan-tindakan istana yang tidak serasi dengan agama.”

iii. “Hasilnya, kuasa istana pun digunakan untuk menindas gerakan pembaharuan. Apatah lagi istana juga tahu sikap para reformis amat tidak secucuk dengan budaya mengampu dan mesra penjajah.

iv. “Akibat penggunaan kuasa istana, para reformis agama ini terpaksa berlindung di Negeri-Negeri Selat yang tidak mempunyai kuasa istana. Maka kita lihat sepanjang sejarah tokoh-tokoh reformis tertumpu di Pulau Pinang, Singapura dan Melaka. Di negeri-negeri ini sahaja gerakan pembaharuan tidak dipintas atau diganggu oleh kuasa istana.”

v. “Ternyata saki-baki kuasa istana masih cuba digunakan oleh sesetengah pihak, namun kita berharap kematangan fikiran rakyat satu hari akan dapat melumpuhkan penyalahgunaan kuasa ini.” (dengan tambahan garis bawah)

Membaca tulisan ini, pembaca akan mendapat gambaran bahawa pihak Raja-raja Melayu (kecuali di negeri yang disebut oleh beliau) sebagai mereka yang membelakangkan kepentingan Islam hanya kerana tunduk kepada penjajah dan ampuan ulama yang tidak sealiran dengan ‘gerakan pembaharuan’. Raja-raja Melayu juga digambarkan seolah-olah tidak mampu menilai yang baik dan buruk dalam urusan agama hanya kerana termakan ampu dan puji. Para ulama yang tidak sealiran pula digambarkan sebagai bersedia untuk membelakangkan Islam demi pengaruh dan kuasa. Istana digambarkan penuh dengan khurafat dan perkara yang bercanggah dengan Islam yang dibiarkan sahaja oleh mereka. (rujuk juga mesej yang berkaitan dalam tulisan beliau dalam kolum yang sama seminggu sebelumnya bertajuk “Kuasa Politik dan Kuasa Agama”, Malaysiakini, edisi Bahasa Melayu, 28 Mac 2010). Turut jelas dalam tulisan beliau, Dr.Asri cuba memberi gambaran negatif dan menghakis keyakinan terhadap autoriti agama di hampir kesemua negeri-negeri di negara kita.

Kami percaya bahawa dengan kenyataan-kenyataan beliau ini, selain daripada mengancam keutuhan Islam dan umatnya di Malaysia, Dr.Asri sudah melanggar beberapa batas undang-undang negara. Kedaulatan undang-undang adalah salah satu rukun negara ini. Kami menuntut hak kami sebagai warganegara agar undang-undang negara ini memelihara kami, masyarakat dan negara daripada ancaman dan kerosakan yang boleh terhasil akibat tulisan sebegini. Kepercayaan kepada Tuhan dan Kesetiaan kepada Raja dan Negara juga merupakan paksi-paksi Rukunegara. Kami percaya tulisan sebegini sangat bercanggah dengan kemuliaan agama Islam sebagai agama rasmi negara serta ketinggian institusi Raja-raja sebagai payung negara dan agama. Tulisan ini juga cuba memberikan imej yang buruk terhadap para tokoh ulama tanah air, dulu dan kini, terutamanya yang berperanan secara rasmi dalam pentadbiran agama Islam.

Oleh itu kami menuntut agar siasatan berlandaskan undang-undang negara dibuat terhadap tulisan ini dan penulisnya. Ini bukanlah kali pertama Dr.Asri menerbitkan tulisan yang berunsur sebegini dan adalah tidak wajar jika beliau dibiarkan berterusan melakukan perkara yang sama secara terbuka. Jika dibiarkan, tidak mustahil perbuatannya akan ditiru dan diulangi oleh lebih ramai yang lain yang akan membawa kesan yang lebih buruk kepada negara. Laman web Malaysiakini yang telah memberi ruang kepada tulisan seumpama ini juga perlu di siasat di atas alasan dan semangat yang sama. Jika terbukti bersalah, tindakan undang-undang tegas perlu diambil terhadap mereka untuk mencegah mereka daripada mengulangi kesalahan ini. Kami berharap agar laporan kami ini diambil perhatian serius serta mendapat tindakan segera daripada pihak yang berwajib.

(Laporan ini dibuat oleh beberapa individu yang mewakili beberapa pertubuhan Islam termasuk Pertubuhan Kebajikan al-Jamiatul Khairiah, Yayasan Sofa Negeri Sembilan, Persatuan Alumni Kolej Islam Kelang (ALKIS), Kesatuan Madrasah Islamiyah Malaysia (ITMAM), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Integrated Muslim Associations Selangor (IMAN) dan Persatuan Sinar Damsyik (PERSIDAM). Laporan yang sama telah dibuat secara serentak di setiap negeri di seluruh negara)

Rakaman sidang media ringkas yang diadakan di pintu masuk balai tersebut – akan di”upload” di youtube – Insha Allah. Klik di sini – Sidang Media Laporan Polis Akta Hasutan Terhadap Dr. Asri dan Malaysiakini

Sila kembali untuk ikuti perkembangan seterusnya.

About these ads