sumber: Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 8 Mac – Empat Sasterawan Negara sepakat menegaskan bahawa novel Interlok karya Datuk Abdullah Hussein langsung tidak menghina mana-mana kaum.

Malah, mereka berpendapat bahawa tujuan sebenar penceritaan dalam novel itu merupakan sebuah harapan tanpa melihat masalah pada istilah yang digambarkan oleh penulis.

Sasterawan Negara yang terdiri daripada Profesor Dr. Muhammad Salleh, Datuk Dr. Mohd. Anuar Rethwan, Datuk Shahnon Ahmad dan Datuk Noordin Hassan turut bersetuju Interlok adalah sebuah novel yang melukis suatu deretan waktu, watak dan latar sejak 1910 hingga sebelum merdeka.

“Tujuan penulis cukup mulia iaitu melukis gambaran kaum-kaum yang terdapat di negara ini dengan masalah dalamannya sendiri dan akhirnya bersatu untuk menerima negara dan harapan baru.

“Manusia yang dilukiskan juga cukup mulia terutama watak Maniam yang besar hati dan jiwanya yang masih ingin membantu orang lain walaupun dia pernah menjadi mangsa,” kata mereka dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mereka berkata, pindaan pada beberapa perkataan yang ingin dibuat terutama istilah yang ditujukan kepada kaum tertentu bakal memberikan gambaran tidak seimbang kepada kaum lain.

Kata mereka, sekiranya perubahan dibuat kepada satu kaum, maka akan wujud lukisan tidak benar yang hanya cantik pada suatu kaum.

“Kami berasa sangat prihatin sekiranya pengarang terus didesak untuk merubah karya mereka sehingga gagasan awal mereka dicairkan,” katanya.

Justeru itu, kumpulan Sasterawan Negara itu menyeru semua pihak untuk memberi kebebasan kepada sasterawan untuk menulis, berfikir dan berpendirian.

“Benarkan penulis negara melukis kenyataan Malaysia walaupun kenyataan itu tidak manis.

“Penulis juga berfikir bagi pihak kita dengan sudut pandangan mereka sendiri. Walaupun berlainan tetapi ia masih diperlukan di negara yang demokratis,” katanya.

Dalam pada itu, mereka menegaskan bahawa teks sastera bukan sebuah teks politik, sejarah atau geografi sebaliknya sebuah teks yang melukis jiwa manusia, perasaan nilai dan kepentingan dalam konteks zaman dan sejarahnya.

“Sastera bukan dokumen rasmi pemerintah atau maklumat yang dirapikan dan dicantikkan untuk disebarkan.

“Sastera adalah lukisan kehidupan dan sudah pasti, kehidupan tidak selalu rapi dan cantik,” kata mereka.

**************

juga dari Utusan Malaysia:

Novel ‘Interlok’ mangsa politik — Nizam Yatim

11 JAN — Adakah ahli politik kita sudah ketandusan isu. Itulah persoalan yang bermain di dalam fikiran apabila tercetusnya isu penggunaan novel “Interlok” sebagai salah satu teks untuk komponen sastera (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan Lima bermula tahun ini.

Isu berkenaan mula tercetus apabila akhbar Makkal Osai pada 15 Disember lalu menerbitkan berita bertajuk “Batalkan buku teks sejarah yang mempunyai kandungan kejian agama Hindu” pada muka depannya.

Laporan memetik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah sebagai berkata, penggunaan novel yang mengandungi teks yang mengeji kaum India dan nama kasta yang memalukan agama Hindu harus dibatalkan serta-merta.

Berita sama turut disiarkan oleh akhbar Tamil Nesan dan Malaysia Nanban sehingga menyebabkan para pemimpin MIC, Parti Progresif Penduduk dan Parti Makkal Sakti menyuarakan bantahan mereka.

Kemuncak perasaan tidak berpuas hati itu adalah pada Sabtu lalu apabila kira-kira 100 penduduk berketurunan India mengadakan demonstrasi sambil membakar novel itu dan salinan gambar penulisnya, Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain di hadapan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang (MPK), Selangor.

Yang menjadi persoalan adalah, demonstrasi itu turut dihadiri ahli politik PAS dan DAP iaitu Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan.

Kehadiran mereka menimbulkan tanda tanya adakah ahli politik kita kini ketandusan isu dan terpaksa memanipulasi fakta yang terkandung dalam karya seorang Sasterawan Negara yang diterbitkan pada 1971 bagi meraih sokongan.

Jika karya ini dianggap bersifat perkauman dan menyentuh sensitiviti agama, kenapa tiada bantahan sepanjang 40 tahun novel yang memenangi hadiah sagu hati Sayembara Menulis Novel sempena 10 tahun merdeka berada dalam pasaran.

“Interlok” yang bermaksud “jalinan ke arah keharmonian dalam masyarakat” yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memaparkan tema mengenai integrasi tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India seawal tahun 1900-an hingga merdeka.

Mengulas isu berkenaan, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Mohamad Saleeh Rahamad menegaskan, “Interlok” tidak menghina mana-mana kaum kerana ia menggambarkan sejarah dan realiti sosial yang berlaku selain menonjolkan gagasan perpaduan bagi negara yang baru dibentuk dan berdaulat.

Beliau yang mahukan kemurnian novel itu dikekalkan tanpa sebarang perubahan berkata, jika kerajaan beralah kepada tuntutan itu, bermakna pemerintah mengakui dakwaan pihak berkenaan, yang sebenarnya tidak berasas sama sekali.

”Sebarang campur tangan politik berdasarkan kepentingan peribadi dan perkauman dalam bidang persuratan dan pendidikan secara keterlaluan akan menimbulkan kekeliruan dan pergeseran tidak berkesudahan,” katanya yang juga pensyarah Pengajian Media di Universiti Malaya (UM).

Pandangan Mohamad Saleeh turut disokong oleh Felo Penyelidik Utama dan Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong.

Teo berkata, “Interlok” merupakan bahan bacaan cukup baik terutama bagi memahami asas-asas perpaduan di negara ini kerana ia memuatkan watak pelbagai kaum termasuk Melayu, India dan Cina.

”Saya diberitahu, ia merupakan peristiwa benar yang diceritakan oleh seorang pensyarah berketurunan India dari UM kepada Abdullah mengenai struktur masyarakat keturunan itu ketika mula-mula datang ke Tanah Melayu.

”Justeru, pendedahan yang dibuat menerusi novel ini bukan bertujuan memalukan kaum India, sebaliknya ia boleh diambil iktibar terutama dalam memahami kesengsaraan kaum ini ketika berhijrah ke sini dahulu,” katanya.

Teo turut kesal dengan tindakan membakar novel berkenaan kerana berpendapat ia boleh membawa kesan yang buruk kepada keharmonian dan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

”Kita perlu sedar bahawa karya ini dihasilkan oleh seorang penulis yang bukan calang-calang orang. Penulisnya bertaraf Sasterawan Negara. Sudah semestinya, novel itu dihasilkan dengan rasa penuh bertanggungjawab,” ujar beliau.

Sementara itu, Munsyi DBP, Abdul Ghalib Yunus yang akan membentangkan kertas kerja mewakili para guru pada Wacana Interlok anjuran Koperasi Buku Malaysia Berhad pada 26 Januari ini berkata, petikan yang menjadi pertikaian adalah pada halaman 211 iaitu:

”Satu perkara besar yang membuatkan mereka senang bergaul adalah kerana mereka tergolong dalam satu kasta paria. Mereka tidak perlu akan mengotori sesiapa kalau bersentuhan, mereka juga bebas bergaul. Tempat di dalam kapal itu tidak teratur. Mereka berasak-asak seperti kambing.”

Abdul Ghalib berkata, berdasarkan kefahamannya terhadap petikan itu, penulis tidak pernah menuduh bahawa semua kaum India di negara ini daripada keturunan yang berkasta rendah.

”Perkara yang dinyatakan dalam novel ini, berkaitan golongan berkasta paria hanya melibatkan sekumpulan kecil orang India yang berada di dalam kapal tersebut.

”Semua perlu ingat bahawa kedatangan orang India ke negara kita terdiri daripada pelbagai golongan sama ada buruh, kelas sederhana atau profesional,” katanya.

Sementara itu, penulis, Rejab Ismail atau lebih dikenali dengan nama Rejab F.I. berkata, Abdullah merupakan seorang yang berpengalaman luas dalam bidang Sejarah dan apa yang ditulis beliau adalah sesuatu yang bertepatan dengan situasi dan latar sejarah ketika itu.

”Abdullah bukan menulis sesuatu yang berlaku sekarang, tetapi bercerita tentang sejarah. Maka khalayak pembaca dari segenap bangsa harus menerima ia sebagai satu hakikat sebenar,” kata beliau.

Sebenarnya, terlalu banyak hujah ilmiah bagi menyokong “Interlok”. Justeru, kerajaan tidak boleh berlembut dengan oportunis politik yang sengaja melihat setiap perkara dari sudut pandangan penuh prasangka perkauman dan keagamaan.

Jika perbuatan ini dibiarkan, entah apa lagi isu yang akan dibangkitkan walaupun ia sebenarnya bukan isu. Janganlah kita biarkan Sasterawan Negara ini terus menangis. — Utusan Malaysia

About these ads