Sehari dua ini gempar dengan SMS yang diterima berhubung bahawa bulan akan berada tegak di atas Kaabah. Bertalu-talu SMS yang sama itu ber”tik-tik” bunyinya di telefon saya.

SMS tersebut berbunyi:

Drpd dato mazlan astrologi mlm ini pukul 3.25 pg di Mekah, semasa itu bulan akan tegak di atas Kaabah, ini akan menyebabkan pintu langit dibuka seluasnya. Langit akan mempunyai cahaya berwarna biru. Pada masa ini, Allah akan menerima doa hamba2 nya. Ini berlaku selepas 10 juta tahun. Tolong maklumkn pada semua org.
3.25 pg masa di Mekah. Di singapore akan m’jadi 8.25 pg. Sama juga di Barat Malaysia. Jadi, tunaikan lah solat sunat dhuha dan doa mohon taufiq hidayat umat.

Sekali baca saya terus menolak kesahihan SMS sebegini kerana memenuhi ciri-ciri satu “urban legend” (an entertaining story or piece of information of uncertain origin that is circulated as though true). Maka saya tidak memanjangkan mesej tersebut. Dan saya menjawab balik kesemua mesej yang saya terima bertalu itu.

Kenapa saya tolak mesej tersebut:

1. Siapa Dato Mazlan ini?

Yang disebut bahawa beliau ini seorang astrologi. Dalam bahasa lain astrologi juga dipanggil ahli nujum. Maka apakah hendak kita beribadat hasil tilikan orang nujum?

Jikalau yang dirujuk ini ialah Pengarah Agensi Angkasa Negara: Professor Datuk Dr Mazlan Othman, beliau adalah seorang astrophysicst dan jauh bidang kemahirannya.

2. Bila “malam ini” itu?

Malam ini yang mana satu? Saya menerima mesej sama pada hari-hari yang berbeza maka malam mana satu yang dimaksudkan?

3. “Ini berlaku selepas 10 juta tahun”

Yang ini pasti ianya suatu yang mustahil. Yang mudahnya, google sahaja “moon above kaabah” pasti akan ditemui pelbagai tarikh lain lagi bahawa fenomena ini berlaku kerapkali. Pada tahun ini sahaja ianya telah berlaku tidak kurang dari dua kali. Dan pada bulan November tahun lalu, pada minggu yang sama, fenomena kedudukan bulan tegak di atas Kaabah telah berlaku sebanyak dua kali.

4. Jika kita rujuk peta pergerakan bulan. [banyak laman sesawang yang boleh dirujuk seperti skymaponline atau moongiant], fenomena ini tidak mungkin berlaku pada bulan ini. Tetapi ianya hanya sekadar hampir dengan Mekah. Dan itu pun sekitar tarikh 24-25hb Ogos. Bukannya malam ini atau esok atau pun kelmarin/semalam.

Namun demikian jika kita ambil mesej sebegini untuk mempertingkatkan amal ibadat kita sempena hari-hari akhir Ramadhan adalah baiknya dari segi itu. Tetapi apakah perlu kita mendapat dari sumber palsu sebegini walhal janji-janji Allah telah jelas disebut dalam Al Quran dan ditunjuk oleh Baginda Rasulullah s.a.w. Kita kembali dan rujuk sahaja kepada teks-teks muktabar Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Wallahu a’lam

p.s. jika ada yang bertanya BILA LAILATUL QADR? – kliklah.

About these ads