logo-seminardakwah-smallAIDCNews – 26/12/12 – Tindakan golongan yang memperjuangkan kebebasan menggunakan istilah yang lazim digunakan oleh umat Islam, seperti kalimah Allah sebenarnya hanya satu strategi membantu agenda memurtadkan umat Islam di negara ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Muafakat Sejahtera Malaysia (MUAFAKAT), A Karim Omar berkata isu penggunaan kalimah Allah bukanlah isu terpencil dan ia juga bukanlah isu bahasa, sebaliknya ia merupakan satu strategi sesetengah pihak dari kumpulan untuk menyebarkan dakwah Kristian dan memurtadkan umat Islam.

“Dalam satu perjumpaan di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2010, antara para mubaligh daripada pelbagai pertubuhan dakyah Kristian yang melakukan kerja dakyah di negara Islam merumuskan kejayaan mereka adalah hasil menterjemahkan kitab Bible ke bahasa tempatan terutamanya penggunaan kalimah Allah.

“Malah strategi untuk menterjemahkan ke bahasa-bahasa tempatan serta menggunakan istilah yang diguna pakai umat Islam telahpun tercatat dalam risalah dan buku yang diterbitkan sejak kurun ke-19 lagi. Bahasa Melayu telah pun dikenal pasti antara bahasa yang perlu diterjemahkan.

“Oleh itu, sedarlah golongan yang memperjuangkan kebebasan untuk digunakan istilah lazim digunakan umat Islam di negara ini terutama kalimah Allah, bahawa mereka sebenarnya membantu agenda memurtadkan umat Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk, “Dakwah Islamiyyah Dalam Mendepani Gerakan Permurtadan Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)”, Oktober lalu.

Menurut A. Karim, penggunaan kalimah Allah juga disifatkan sebagai satu kejayaan kepada penyebar dakyah Kristian dalam usaha mereka membuka minda orang Islam untuk menerima serta membaca Bible.

“Kita lihat apa yang berlaku di negara ini apabila golongan itu mahu menggunakan istilah-istilah seperti kiblat, Kaabah, solat serta beberapa istilah lain adalah usaha mereka untuk mengabui pandangan umat Islam,” jelasnya.

Menurutnya dalam mendepani ancaman memurtadkan umat Islam, beberapa langkah segera wajar diambil oleh kerajaan, serta umat Islam, antaranya sokongan dana.

Beliau berkata gerak kerja dakwah Islamiyyah memerlukan sokongan dana bagi merealisasikan perancangan gerakan itu melawan ancaman pemurtadan serta memartabatkan Islam.

“Sokongan dana yang mencukupi mesti dikenalpasti untuk menyokong segala perancangan dan gerakan dakwah. Ia tidak semestinya mengharapakan dana daripada sumber kerajaan sahaja, sebaliknya daripada kalangan umat Islam itu sendiri,” jelasnya.

sumber: http://www.anwaraidc.com

About these ads