KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) — Pemergian Tokoh Maal Hijrah 2005 dan pakar dalam bidang pemikiran Islam, Dr Muhammad Uthman El-Muhammady merupakan satu kehilangan besar kepada dunia ilmuan Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

“Jasa Allahyarham begitu besar kepada negara bahkan antarabangsa dalam bidang penerbitan buku-buku pendakwahan.”Allahyarham merupakan seorang yang disenangi dan tidak lokek untuk berkongsi ilmu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengkebumian jenazah Allahyarham di Tanah Perkuburan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak di sini Selasa.

Lebih 100 orang termasuk pelajar UIAM menghadiri majlis tersebut kira-kira pukul 2.30 petang tadi. Turut hadir ialah bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sebelum itu jenazah Allahyarham disembahyang di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah,UIAM.

Muhammad, 70, meninggal dunia malam tadi di kediamannya di Taman Duta di sini.

Salah seorang anak Allahyarham, Ahmad El-Muhammady, 35, yang juga pensyarah di UIAM berkata bapanya merupakan seorang yang penyayang dan sentiasa mengambil berat perihal keluarga.

“Kami semua amat terasa pemergiannya. Beliau sentiasa berpesan kepada kami agar meneruskan ajaran berdakwah dalam mempertahankan negara daripada pelbagai cabaran,” katanya.

Sementara itu Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menyifatkan Allahyarham seorang intelek Islam dan cendekiawan tersohor sepanjang hayat.

“Allahyarham berbeza dengan ulama-ulama lain dan tidak pernah menyentuh hal politik. Beliau seorang ulama yang tulen,” katanya.

Allahyarham meninggalkan isteri Mariam Hussain, 65, dan 11 orang anak serta lebih 40 orang cucu.

– BERNAMA

About these ads