Kenyataan Media Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)

4 Julai 2013

Seksyen 107(b) Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Wilayah Persekutuan 2013:  Peruntukan Status Quo yang selari dengan Islam sebagai Agama Negara

Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) yang merupakan antara gabungan pertubuhan-pertubuhan Islam utama di Malaysia ingin menegaskan sikap dan saranan PEMBELA berkenaan kontroversi yang ditimbulkan berkaitan dengan Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Wilayah Persekutuan 2013 yang sedang di bentangkan untuk kelulusan Parlimen terutamanya Seksyen 107(b) yang memperuntukkan pertukaran agama anak-anak dibawah umur 18 tahun. Disamping menyokong penuh kenyataan-kenyataan yang dibuat sebelum ini oleh Persatuan Peguam Muslim Malaysia, salah sebuah pertubuhan gabungan PEMBELA, kami ingin menambah penegasan-penegasan berikut:

PEMBELA amat kesal dengan sikap sesetengah pihak dan individu yang cuba memberi gambaran yang cukup negatif terhadap pembentangan RUU tersebut dengan menuduhnya sebagai suatu usaha yang bercanggah dengan Perlembagaan, melanggar semangat perpaduan nasional dan sebagainya. Pihak-pihak ini juga menggambarkan bahawa pembentangan RUU adalah suatu usaha  memperkenalkan suatu perubahan ataupun suatu yang baru dalam isu ini sedangkan peruntukan Seksyen 107 adalah peruntukan yang sedia ada sejak versi seawal tahun 1993 lagi.

PEMBELA menegaskan bahawa peruntukan ini adalah sebenarnya mewakili situasi terkini atau Status Quo yang didokong oleh keputusan Mahkamah Persekutuan sebagai autoriti tertinggi dalam mentafsirkan peruntukan perlembagaan yang berkaitan dengan isu ini. Di samping itu peruntukan ini juga sedia diperkenan serta diguna-pakai dinegeri-negeri dalam Negara kita yang mana autoriti tertinggi dalam hal ehwal agama Islam adalah Duli-duli Raja-raja Melayu dengan dinasihati oleh Majlis-majlis Agama Islam negeri masing-masing.

Oleh itu PEMBELA menyeru semua pihak agar memahami Seksyen 107(b) sebagai Status Quo yang kukuh dan berasas kerana telah didokong oleh dua autoriti tertinggi yang paling relevan berkaitan dengan isu ini iaitu pihak autoriti agama juga pihak Mahkamah.

PEMBELA juga ingin mengajak semua pihak kembali kepada semangat Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai Agama Negara dalam menanggapi isu ini dan bukannya berpandukan sentimen kesamarataan mutlak yang cuba diperjuangkan oleh sesetengah pihak. Hakikatnya, kehidupan bernegara di Malaysia yang selama ini kita amalkan terbina atas yang asas-asas yang unik dan tersendiri termasuklah kedudukan Islam yang istimewa berbanding dengan agama-agama lain. Kalaupun kedudukan ini boleh dilihat sebagai suatu diskriminasi, ia adalah diskriminasi yang berasaskan realiti Negara dan masyarakat Malaysia serta positif semangatnya. Ia merupakan antara salah satu ramuan asasi dalam resepi Malaysia selama ini dalam mengurus-tadbir persoalan-persoalan sensitif seperti agama dan kaum. Dasar-dasar disriminasi positif (positive discrimination) adalah amalan lazim yang turut terdapat di negara-negara lain sesuai dengan realiti negara mereka.

Islam sebagai agama Negara perlu dihormati dan diberi peluang untuk berperanan sebagai agama Negara dalam persoalan seumpama ini. PEMBELA yakin jika hukum syarak dan prinsip agama Islam dirujuk, masih terdapat ruang lain untuk berlaku adil kepada kedudukan pihak pasangan yang tidak memeluk Islam dalam kehidupan anak-anak yang telah memeluk Islam bersama Ibu atau Bapa yang memeluk Islam.

Akhirnya PEMBELA menyeru agar semua pihak menghentikan tuduhan dan gambaran buruk terhadap RUU PAI WP 2013 dan menerimanya sebagai undang-undang yang didokong oleh Perlembagaan Negara dan realiti masyarakat Malaysia. Manakala apa-apa persoalan sampingan yang timbul dalam isu ini perlu ditangani secara berhemah dan dengan menghormati kedudukan Islam sebagai Agama Negara.

Semoga Allah Subhanahu wata`ala sentiasa memelihara keutuhan agama, bangsa dan negara di tanah air yang kita cintai ini.

Dr. Yusri bin Mohamad

Pengerusi PEMBELA

About these ads