You are currently browsing the tag archive for the ‘Kebebasan Dan Cinta’ tag.
dipetik dari: Laman Rasmi JAKIM
Kerancuan Pemikiran Irshad Manji Dalam Bukunya ‘Allah, Kebebasan Dan Cinta’
Mohd Aizam Mas’od
Seksyen Aqidah
Bahagian Perancangan dan Penyelidikan JAKIM
Membawa ideologi pluralisme agama
Buku Manji dimulakan dengan perbahasannya tentang tuhan. Dalam halaman 9 Manji mendakwa kalimah Allah adalah terjemahan bahasa Arab bermaksud Tuhan. Ini bererti kalimah Allah bukanlah kata nama khas yang merujuk kepada tuhan tertentu tetapi mana-mana perkara yang dijadikan tuhan akan diterjemahkan Allah dalam bahasa Arab. Itu adalah rumusan mudah dalam memahami pendirian Manji tentang Allah. Kemudian Manji mengakui bahawa dia sedar pemahamannya tentang tuhan bukanlah seperti yang difahami oleh ramai orang. Bermakna Manji sendiri akur bahawa dalam perkara yang paling asas dalam agama Islam iaitu isu ketuhanan, dia sendiri masih kabur dan tidak memiliki titik temu dengan majoriti umat Islam yang lain. Justeru, bagaimanakah Manji mampu melakukan perubahan atau reformasi pada perkara-perkara yang lain. Sekurang-kurangnya Manji perlu meletakkan asas yang sama antara semua umat Islam sebelum berpindah kepada perkara yang lain.
Dalam hal ini, Manji perlu tahu bahawa umat Islam dengan penuh keimanan mengatakan Allah adalah kata nama khas yang hanya merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa. Jika dikatakan bahawa kalimah Allah adalah terjemahan Arab bermaksud Tuhan, ini bermakna tuhan-tuhan dalam agama lain juga akan dirujuk sebagai Allah. Hal ini secara tidak langsung mengakui bahawa agama-agama lain itu juga menyembah tuhan yang sama sebagaimana yang disembah oleh umat Islam. Sedangkan Allah SWT menolak penyembahan yang dilakukan itu sebagai penyembahan yang merujuk kepada zat-Nya. Ketika surah al-Ikhlas diturunkan, ia membicarakan soal konflik tentang siapakah sebenarnya Allah yang dituturkan oleh agama-agama lain itu. Adakah ia tepat dan benar dengan konsep “Allah” sebagaimana yang digelar dan dipanggil oleh mereka? Imam Ibn Kathir menukilkan kata-kata ‘Ikrimah tentang perihal turunnya ayat ini.
Berkata ‘Ikrimah: “Ketika orang Yahudi mengatakan: Kami menyembah ‘Uzair anak Allah. Orang Nasrani mengatakan: Kami menyembah al-Masih anak Allah. Majusi pula mengatakan: Kami menyembah matahari dan bulan. Orang musyrikin pula mengatakan: Kami menyembah berhala. Lalu Allah SWT menurunkan ke atas Rasulullah SAW surah al-Ikhlas yang bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad bahawa Allah itu Esa, Allah itu tempat bergantung segala makhluk-Nya, Allah itu tidak beranak dan tidak diperanakkan dan Allah itu tiada bagi-Nya sekutu”. (Tafsir Ibn Kathir, j.4, hal. 571)
Manji juga mengatakan bahawa Allah itu adalah Tuhan yang dikongsi dengan semua orang. Istilah seperti ini tidak pernah digunapakai dalam aqidah Islam. Jika kita mengiktiraf bahawa kita berkongsi tuhan dengan agama lain, ini bermakna kita juga mengiktiraf keabsahan agama lain, sedangkan Allah SWT sendiri menafikan agama-agama lain dan bentuk penyembahan yang mereka lakukan. Apabila dalam surah al-Ikhlas, Allah SWT menegaskan sifat-sifat-Nya Yang Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan, ini bermakna mereka yang menyembah tuhan yang berbilang-bilang dengan dakwaan bahawa Allah itu tiga dalam satu atau memiliki anak maka itu bukanlah Allah SWT. Bahkan Allah SWT menggelarkan tuhan yang disangkakan tuhan oleh manusia itu sebagai taghut. Firman Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 36:
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut, maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan, oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasul-Nya”.
Imam al-Tabari mengatakan taghut itu ialah setiap perbuatan melampaui batas ke atas Allah, seperti menyembah kepada selain-Nya sama ada secara paksa daripada yang disembah atau secara taat daripada orang yang menyembahnya, tanpa mengira yang disembah itu adalah manusia atau syaitan atau berhala atau patung atau apa sahaja. (Tafsir al-Tabari, j. 3, hal. 19)
Berdasarkan ayat ini dan beberapa ayat lain yang menafikan penyembahan kepada taghut, bermakna Allah SWT tidak mengiktiraf peribadatan agama lain yang menyembah kepada taghut iaitu tuhan-tuhan selain Allah SWT. Oleh itu, bagaimana boleh dikatakan bahawa kita berkongsi Allah dengan agama-agama lain sedangkan Allah SWT sendiri tidak mengiktiraf penyembahan mereka.
Manji seterusnya mendakwa Allah adalah Tuhan cinta dan kebebasan. Dia mendakwa Tuhan itu begitu mencintainya dan memberinya kebebasan untuk membuat pilihan. Benar, secara kawni atau alaminya, semua manusia tanpa mengira agama diciptakan oleh Allah SWT, malah sekalian alam ini pun memang diciptakan oleh Allah SWT. Namun semata-mata kerana alasan penciptaan, ia tidak boleh mengesahkan bahawa semua makhluk dicintai dan diberikan kebebasan mutlak oleh Allah SWT. Jika itu telahan anda bermakna ia hanyalah khayalan dan angan-angan semata-mata. Sebagaimana anda percaya Allah SWT memiliki hak mutlak untuk menciptakan apa pun dan sesiapa pun yang dikehendakinya, anda jangan lupa bahawa Dia juga berhak untuk mencintai dan memurkai sesiapa yang diingininya. Dia juga berhak untuk memberi kebebasan dan sekatan pada perkara yang dikehendakinya.




"The Sulaimanian" blog of
Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu
Sultan Sulaiman Secondary School, Kuala Terengganu
Selamatkan Warisan Sejarah Trengganu
Save Our Historical Heritage
Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia
Recent Comments