Ummi, bondaku yang tersayang, telah pergi buat selama-lamanya.

Waktu yang dicatatkan doktor ialah 12.55 tengahari, hari Sabtu 15 November 2008.

Namun, Allah sahaja Yang Maha Mengetahui masanya.

Tidak disangka bahawa perbualan dengan Ummi Rabu lalu adalah yang terakhir.

Rupanya setelah selesai berbual, Ummi diserang stroke di hujung talian.

Seolah terasa tidak percaya apabila Abang Kamal memberitahu Ummi pengsan lima minit kemudian.

Rupanya Ummi tidak sempat meletakkan ganggang telefon di tempatnya.

Agak sukar untuk menyusun kata menurunkan catatan ini.

Perbualan enam belas minit terakhir itu sentiasa terbisik di telinga.

Syukur Alhmadulillah tergerak hati untuk berbual dengan Ummi malam itu.

Tidak ada apa pun yang hendak diberitahu kepada Ummi.

Hanya sekadar bertanya khabar keadaan Ummi.

Kini sudah tiada lagi peluang untuk berbakti kepada Ummi seperti dahulu.

Cuma janji menjadi anak yang soleh sahaja yang mampu menyampaikan.

Semoga Allah mencucuri RahmatNya ke atas Ummi.

Ameen, Ya Rabb.