Seorang petugas Hospital Sungai Buloh yang berpakaian khas memeriksa ambulans dipercayai membawa mangsa disyaki menghidap influenza A (H1N1). – UTUSAN\Mohd. Saifudin Rashid

PUTRAJAYA 15 Mei (Utusan Malaysia)– Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan seorang pelajar menjadi penghidap pertama virus influenza A (H1N1) di negara ini.

Pelajar lelaki berusia 21 tahun yang berasal dari Lembah Klang itu dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Sungai Buloh, manakala lima ahli keluarganya dikuarantin di rumah.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang memangku tugas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, pelajar itu baru pulang dari Amerika Syarikat pada 13 Mei lalu.

Beliau berkata, pelajar terbabit mengalami demam, sakit tekak dan sakit badan semalam serta dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada pukul 6.45 petang hari yang sama.

‘‘Pelajar itu telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan telah disahkan positif influenza A (H1N1) melalui ujian makmal yang dilakukan pada hari ini.

‘‘Dia telah diberi rawatan antiviral dan berada dalam keadaan yang baik dan stabil,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau seterusnya memberitahu, pelajar tersebut tidak mengalami demam atau kepanasan badan semasa saringan kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

‘‘Seseorang pesakit yang dijangkiti selesema mungkin tidak mengalami tanda-tanda demam pada peringkat awal,” katanya.

Mengenai lima ahli keluarga pelajar yang dikuarantin di rumah, Cho Ha berkata, mereka akan dibenarkan keluar dari rumah jika tidak mempunyai tanda-tanda penyakit itu dalam tempoh tujuh hari.

‘‘Kuarantin di rumah bertujuan melihat sama ada mereka mengalami tanda-tanda penyakit itu atau dijangkiti virus influenza A,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican dalam kenyataannya hari ini berkata, selain satu kes yang disahkan sebagai H1N1, Kementerian Kesihatan turut menerima 11 pemberitahuan mengenai kes itu semalam.

Beliau berkata, enam pesakit telah diasingkan di Hospital Sungai Buloh, dua di Hospital Tuanku Ja‘afar, Seremban dan masing-masing satu kes di Hospital Raja Permaisuri Bainon, Ipoh; Hospital Pulau Pinang dan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bahru.

‘‘Kesemua kes menunjukkan tanda jangkitan virus influenza A dan mempunyai sejarah melawat negara yang dilanda wabak, manakala sampel klinikal mereka telah dihantar untuk ujian makmal,” katanya.

Advertisements