Para peniaga secara kumpulan kini telah membuat pelbagai rayuan melalui pelbagai saluran yang mungkin untuk memohon agar notis mengosongkan deretan bangunan lama dan bersejarah di Jalan Bandar dan Jalan Banggol dapat ditangguhkan.

Beberapa hari lalu sekumpulan peniaga Melayu telah berjumpa dan merayu belas dan ihsan dari Tuan Haji Talhah Setiausaha LTAWNT (yang menandatangan arahan notis tersebut). Namun, para peniaga tersebut mengatakan mereka dihampakan.

Pagi tadi sekumpulan lagi para peniaga pelbagai bangsa sekali lagi ke pejabat Haji Talhah merayu agar mereka diberi ruang untuk mengadu nasib mereka dan memohon penangguhan notis tersebut. Janji Tuan Haji Talhah ialah bahawa dia akan membawanya untuk diputuskan dalam mesyuarat. Alangkah terkejutnya, tidak sampai beberapa jam selepas itu, para peniaga menerima surat rasmi bahawa rayuan mereka ditolak dan arahan notis mengosongkan deretan bangunan lama yang bersejarah tersebut kekal.

Para peniaga turut memohon sokongan Adun Bandar, untuk menyokong serta membela nasib mereka dan sebagai ahli majlis exco Negeri semoga dapat melakukan sesuatu untuk merayu penangguhan arahan tersebut.

Terbaru, dalam mesyuarat petang tadi, para peniaga juga memohon agar Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT) dapat membantu mereka dalam usaha merayu kepada pihak LTAWNT agar diberi masa yang munasabah kepada para peniaga untuk mencari serta mengubahsuai premis baru serta memberi masa yang sesuai untuk berpindah. Mereka juga merayu kerajaan memberi pampasan yang munasabah untuk menanggung kos perpindahan yang terpaksa ditanggung ini.

http://warisantrengganu.wordpress.com/