Bagi pihak para peniaga yang diberi notis arahan untuk mengosongkan premis peniagaan mereka di Jalan Bandar dan Jalan Banggol Kuala Terengganu, Badan Bertindak Peniaga Jalan Bandar dan Jalan Banggol (BBPJBJB) ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memberi sokongan dan bantuan bagi mengetengahkan suara dan rayuan para peniaga agar kerajaan menangguhkan arahan perpindahan kami.

Kami ingin menyampaikan ucapan khas kepada Majlis Permuafakat Rakyat Terengganu (MAMPAT), terutama kepada Penasihatnya Cikgu Hussin Ismail dan Pengerusinya Cikgu Fauzi Abu Samah yang tekun mendengar masalah kami serta mengusahakan untuk menyampaikan rayuan kami kepada pihak atasan.

Kami juga berterima kasih kepada kedua-dua YB Parlimen Kuala Terengganu, Haji Mohamad Abdul Wahid Endut dan YB Adun Bandar Toh Chin Yaw yang turut memberi sokongan kepada untuk notis arahan tersebut ditangguhkan.

Kami semestinya berterima kasih kepada sekalian media yang telah memuatkan laporan berita rayuan kami dalam dada akhbar mereka dan kaca TV semenjak kami menerima notis pada 19 Julai 2009. Tanpa siaran berita dari mereka ini sudah pasti bantahan kami tidak mempunyai impaknya. Kami mohon sokongan yang seterusnya.

Terima kasih semua.