KUALA LUMPUR 18 April – Sembilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat dua laporan polis terhadap bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berhubung penulisan rencananya yang didakwa menghina agama Islam dan institusi raja-raja Melayu.

Penulisan bertajuk Cabaran Gerakan Pembaharuan itu disiarkan dalam kolum beliau di portal Malaysiakini, 4 April lalu.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Tun H. S. Lee di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, pukul 11 pagi ini.

Satu lagi laporan dibuat di Balai Polis Senawang, Seremban kira-kira pukul 11.30 pagi.

Laporan pertama dibuat wakil tujuh NGO iaitu Timbalan Yang Dipertua Yayasan Sofa Negeri Sembilan (YSNS), Yusri Mohamed

Manakala di Senawang, laporan dibuat oleh wakil Persatuan Kebajikan Al-Hidayah Negeri Sembilan (PKANS), Mohd. Rizal Mansor dan wakil YSNS, Ishak Talib.

Enam NGO lain iaitu Pertubuhan Kebajikan al-Jamiatul Khairiah, Persatuan Alumni Kolej Islam Kelang (ALKIS) dan Kesatuan Madrasah Islamiyah Malaysia (ITMAM).

Selain itu, Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Intergrated Muslim Associations Selangor (IMAN) dan Persatuan Sinar Damsyik (PERSIDAM).

Yusri yang ditemui hari ini berkata, mereka membuat laporan itu kerana percaya Mohd. Asri telah mencabuli undang-undang negara selain menghina umat Islam di negara ini.

“Kami berpandangan bahawa tulisan beliau (Mohd. Asri) melampaui batas dan melanggar peruntukan undang-undang negara khususnya Akta Hasutan 1948.

“Beberapa bahagian dalam tulisannya jelas menimbulkan krisis keyakinan terhadap institusi raja-raja Melayu dan ulama.

“Selain itu, beliau cuba menggambarkan bahawa raja-raja atau pihak istana menjadi penghalang kepada aliran pembaharuan agama,” katanya.

Menurut Yusri, rencana itu membayangkan seolah-olah raja-raja Melayu sebagai mereka yang membelakangkan kepentingan Islam malahan tidak mampu menilai baik buruk dalam urusan agama.

“Kami percaya bahawa kenyataan-kenyataan beliau ini juga telah mengancam keutuhan Islam dan umatnya di negara ini,” jelasnya.

Sebelum ini pada 1 November lalu, Mohd. Asri ditahan oleh JAIS di Taman Sri Ukay, Hulu Klang kerana didakwa menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah.

Baru-baru ini kontroversi juga tercetus apabila Mohd. Asri mendakwa terdapat ‘upacara telan air ludah ustaz’ yang didakwanya dilakukan oleh seorang tokoh agama di negeri ini.

Sementara itu, Ishak menuntut supaya siasatan dijalankan terhadap Mohd. Asri serta pengendali portal berita tersebut.

“Kami berharap laporan ini diambil perhatian serius serta mendapat tindakan segera daripada pihak yang berwajib,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Senawang hari ini.

Sumber: Utusan Malaysia