Keindahan Kuala Abang dapat merehatkan minda sambil menghirup udara yang nyaman

Ada yang bertanya di mana permandangan yang saya gunakan sebagai “header” blog saya. Dan apabila saya beritahu ianya permandangan di pantai Kuala Abang, ramai pula yang tidak percaya.

Sememangnya terdapat banyak tempat-tempat yang indah yang mempunyai permandangan menarik sepanjang pantai Terengganu.

Keindahan ini dapat dilihat dari jalanraya sambil kita mengambil selekoh mempunyai tanda AWAS serta menghendaki kita perlahankan pemanduan

Bagi menikmati deruan angin yang nyaman sambil menikmati keindahan pantai yang menghadapi Laut Cina Selatan, saya memang sentiasa mengguna laluan pantai untuk pulang ke kampung. Sepanjang berulang alik saya sentiasa sengaja memilih laluan pantai daripada pilihan alternatif laluan Jerangau-Jabor.

Laluan pantai terdapat banyak tempat yang boleh kita singgah untuk merehatkan diri jika keletihan memandu atau untuk singgah makan. Kita juga dapat menunaikan solat di mana-mana masjid (baru dan lama) sepanjang jalan yang menghubungkan selatan sempadan dengan Pahang hinggalah ke utara sempadan Kelantan.

Terletak kira-kira 66 km selatan Kuala Terengganu dan sekitar 6 km ke selatan Rantau Abang, pantai ini tidak mempunyai kemudahan asas menjadikan ia jarang dijadikan tempat berkelah. [klik pada gambar di sebelah untuk panduan peta lokasi]

Pemandu tidak perlu melencong jauh dari Laluan Persekutuan 3 kerana pantai ini terletak betul-betul sebelah jalan utama tersebut. Maka dengan hanya berhenti sebentar kita boleh merehatkan diri sambil menghirup udara yang nyaman tidak tercemar.

Lain kali, apabila anda melalui laluan ini cuba singgah untuk beberapa minit sambil merehatkan minda. Anda boleh berjalan-jalan ke tepi pantai. Atau memanjat batu-batuan “bukit” kecil mencecah air laut.