Satu jawapan (warna BIRU) yang baik dari Dr. Asmadi Mohamed Naim (UUM). Di petik dari blognya: http://drasmadinet.blogspot.com/

Komen Artikel ‘Semangat 1Malaysia dikhianati agensi agama?

Saya tertarik dengan posting Dr Juanda Jaya dalam Harakahdaily pada Ogos 2010 berkaitan dengan artikel Dato’ Nakhaei Ahmad mengenai Wahhabi dalam Milenia Muslim, Ogos 2010. Lebih-lebih lagi Dato’ Nakhaie ada mengaitkan dengan Negeri Perlis. Secara peribadi, saya mempunyai ramai sahabat-sahabat di Perlis dan Perlis adalah jiran kami di Changlun ini. Jadi, Perlis amat rapat dengan saya. Secara pengamatan, sebenarnya masih ramai masyarakat Islam Perlis yang pengamalannya sebagaimana majoriti umat iaitu bertaklid kepada imam-imam mazhab yang muktabar. Manakala sebahagiannya pula, bertaklid kepada penghuraian Mufti dan ustaz-ustaz yang sealiran dengannya. Selamat membaca artikel di bawah dan komen saya yang berwarna kuning.

SEMANGAT 1MALAYSIA DIKHIANATI AGENSI AGAMA ?
Dr Juanda Jaya

Sewaktu sambutan Ramadan 2010 baru-baru ini, rakyat negeri Perlis digemparkan oleh satu tulisan pada halaman 52-54 Edisi Ogos Majalah Milenia Muslim. Tulisan ini diisi dengan tuduhan palsu dan hasutan ganas untuk menentang negeri Perlis dan cemuhan terhadap amalan Islam di negeri ini.

(Komen Dr Asmadi: Perlis terpaksa membayar harga yang tinggi kerana pernah melantik orang yang berfahaman agak taksub dan membawa perpecahan umat di seluruh Malaysia. Sekarang Dr Juanda terpaksa membetulkannya)

Hal ini timbul setelah sebelumnya suatu Seminar Pemikiran Islam diadakan di sebuah Akademi Pengajian Islam Universiti awam yang turut mempertikaikan amalan Islam di Perlis yang telah dirasmikan oleh seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Seminar yang didakwa sebagai akademik ini ternyata mengulangi tuduhan-tuduhan palsu yang sudah lapuk. Apakah artikel jahat ini adalah kesinambungan daripada seminar yang sebahagian kertas kerjanya memuji Gerakan Ahbash yang telah jelas fatwa kesesatannya oleh al-Azhar dan sebahagian besar ulama dunia Islam.

(Dr Asmadi: Mufti tidak sepatutnya melontarkan fitnah itu terhadap seminar yang dimaksudkan tersebut. Seorang Mufti sepatutnya memeriksa ‘perkhabaran’ yang didengar dengan lebih berhati-hati. Pastikan berita tu betul ke tidak. Lebih-lebih lagi, sebahagian masyarakat Perlis dah putuskan hubungan dengan imam-imam mazhab, maka Muftilah tempat taklidnya. Kalau mufti tidak cermat, amat membahayakan masyarakat sebab masyarakat akan terima bulat-bulat sebab dikatakan mengikut sunnah.

Saya hadir seminar tersebut dan saya tidak mendengar pun nama Kerajaan Negeri Perlis disebut atau diperkecilkan. Kemudian, bila pula seminar tersebut memuji Gerakan Ahbash? Pembentangnya pun yang membuat kajian pada gerakan Ahbash, mengkritik gerakan tersebut di sudut ‘keekstreman’ pada sesuatu isu! Pembentang-pembentang yang berfikrah Ahbash, kalau mengikut kata penganjur, bukannya pembentang jemputan tetapi mereka yang menghantar kertas untuk dibentangkan (call for paper) dan datang atas tambang sendiri. Justeru, Mufti kena lebih berhati-hati bila dah sanggup jadi Mufti).

Majalah Milenia dikatakan ada hubungan langsung dengan sebuah agensi dakwah peringkat kebangsaan yang dinaungi oleh kerajaan persekutuan. Majalah ini seolah-olah menjadi media dakwah rasmi agensi kerajaan persekutuan berkenaan dan diedarkan secara percuma ke masjid-masjid, surau-surau, agensi-agensi agama dan sebagainya di seluruh Negara. Tanpa sumber kewangan yang kukuh daripada wang milik kerajaan persekutuan untuk aktiviti dakwah penyebaran Islam, tidak mungkin majalah ini boleh berdiri sendiri. Malangnya kelihatan wang awam milik kerajaan persekutuan itu telah digunakan untuk menghasut bagi menentang sebuah negeri yang berdaulat dalam Persekutuan Malaysia.

(Dr Asmadi: Saya dapat melihat Dr Juanda baru merasa kesan penulisan majalah. Cuma beliau mungkin lupa, beliau juga pernah menulis bersama-sama rakan-rakan sealiran dengannya dalam majalah yang mendokongnya melontarkan tuduhan serupa pada pihak lain. Dan kini, semacam suatu kebangkitan yang dilakukan oleh orang-orang agama untuk menolak ‘aliran’ yang dibawa oleh Dr Juanda dengan dinyatakan hujah-hujah kebatilan aliran baru ini).

Perlis adalah sebuah negeri yang berdaulat dalam Persekutuan Malaysia. Ia memiliki Raja pemerintahnya yang tersendiri. Raja yang berdaulat ini merupakan Ketua Agama Islam bagi negeri ini. Hak dan keistimewaan Tuanku Raja dan pengamalan Islam di negeri ini dijamin oleh Perlembagaan Negeri dan Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan negeri pada Fasal 5 jelas menyatakan bahawa agama bagi negeri ini ialah agama Islam Ahli Sunnah wal Jamaah. Ia telah termaktub sejak sekian lamanya.

Apa yang menjadi kemusykilan ialah, mengapa penulis artikel ini beriya-iya benar cuba memalitkan negeri yang permai lagi mempesona ini dengan tuduhan yang sering dinafikan sendiri oleh DYMM Tuanku Raja Pemerintah negeri Perlis, Ketua Agama Islam negeri Perlis. Yang terkini ialah titah DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail sewaktu majlis berbuka puasa Ahli Jawatankuasa Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Jawatankuasa Baitulmal Perlis dan Jawatankuasa Pelaburan Baitulmal Perlis pada 15 Ogos 2010 yang lalu yang menafikan kaitan negeri ini dengan “Wahabi” dan segala tuduhan liar yang menyatakan negeri ini menolak mazhab dan sebagainya. Utusan Malaysia 16 Ogos 2010 turut memetik titah ini kemudiannya.

(Dr Asmadi: Saya bersetuju supaya Perlis tidak dikaitkan dengan Wahhabi. Biarlah penentangan terhadap Wahhabi diteruskan tetapi tidak dikaitkan dengan Perlis).

DYMM Tuanku Raja Perlis sering meminta agar pihak yang keliru dengan pengamalan Islam di Perlis agar datang sendiri ke negeri ini bagi melihat amalan Islam di sini. Bahkan baginda menitahkan agar sesiapa yang meragui amalan di sini untuk membawakan hujah menurut al-Quran dan al-Sunnah bagi membuktikan bahawa amalan ini bertentangan dengan Islam. Namun hingga kini tuduhan liar sahaja yang dilemparkan dan tiada hujah akademik yang konkrit bersandarkan al-Quran dan al-Sunnah yang dikemukakan.

(Dr Asmadi: Cadangan saya, mungkin Perlis perlu mempelbagaikan ahli Majlis agamanya untuk memastikan mereka benar-benar menepati al-Quran dan Sunnah. Kena panggil balik beberapa tokoh-tokoh agamanya dari negerinya sendiri seperti Dato Dr Haron Din, Dato’ Hasan Din al-Hafiz supaya setiap keputusan dapat diperiksa ketepatannya oleh pakar-pakar yang juga mengikut al-Quran dan Sunnah, tetapi mempunyai penghuraian yang berbeza. Mengimport tokoh-tokoh luar yang sealiran, BUKAN JALANnya untuk mendakwa menegakkan al-Sunnah).

Perlis menghormati pandangan semua mazhab. Apa yang diamalkan adalah ia tidak terikat dengan mana-mana mazhab dan bertindak memilih amalan yang didapati menepati kehendak al-Quran dan al-Sunnah serta tafsiran para sahabat dan ulama Salafussoleh. Ini dilakukan kerana ia diyakini lebih hampir kepada kebenaran dan ketepatan amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Hal ini sebenarnya turut dipraktikkan di negeri-negeri lain yang dikatakan mengikut mazhab tertentu yang sebenarnya turut sama memilih pandangan mazhab lain dalam banyak hal apabila didapati pandangan mazhab mereka sendiri kurang menepati kesahihan dalil syarak.

Perlis sudah membuktikan ia amat dinamik dan progresif dalam pengalaman Islamnya. Negeri ini sentiasa berusaha mencari solusi menurut al-Quran dan al-Sunnah dalam menawarkan penyelesaian isu-isu agama. Lantaran itulah pandangan agama dari negeri ini sering dijadikan rujukan oleh umat Islam seluruh Negara dan sebahagian besar amalan negeri ini dapat diterima di tempat lain secara meluas. Amalan yang bersandarkan nas al-Quran, al-Sunnah dan amalan para sahabat dan Salafussoleh sudah pasti menjadi tarikan kepada umat Islam mengikutinya kerana ia berasaskan dalil dan fakta yang sahih. Inilah rahmat dan hasil pembangunan pendidikan pada semua peringkat di Negara ini.

Apa yang menyedihkan ialah, pada saat kesatuan Negara semakin diperkukuhkan oleh slogan 1MALAYSIA yang dilaungkan oleh Kerajaan Persekutuan, namun masih wujud beberapa agensi agama di peringkat pusat yang mahu mencetuskan perbalahan isu keagamaan. Sedangkan hak setiap negeri telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Apakah wajar suatu pihak dalam agensi kerajaan mencanangkan seruan dan ajakan untuk menentang sebuah negeri yang berada dalam Persekutuan dan menuduh serta menghasut bahawa tindakan dan amalan keagamaan negeri itu adalah salah dan mesti ditentang? Apakah tindakan seperti ini tidak wajar untuk disiasat menurut Akta Hasutan? Atau apakah ini suatu bentuk Perlembagaan baru yang mahu diwujudkan oleh mereka yang bencikan kedamaian Negara ini?

Saya menyeru kepada pihak berwajib agama di peringkat persekutuan agar mengambil tindakan terhadap suara-suara ganjil yang anti perpaduan ini dan sentiasa mahu menghasut rakyat untuk berpecah belah. Saya juga meminta pihak keselamatan menyiasat dalang di sebalik tulisan jahat dalam majalah yang ada kaitan dengan agensi kerajaan ini memandangkan majalah ini disebarkan secara percuma dan meluas di seluruh Negara terutama di premis-premis berkaitan dengan agama Islam.

Semoga Allah terus memberi petunjuk kepada umat Islam Negara ini agar terus beramal menurut al-Quran dan al-Sunnah dan semoga Allah melimpahkan rahmatnya yang berkekalan untuk Negara ini dan memelihara Negara ini daripada anasir perosak dan pemecah belah kesatuan dan perpaduan rakyat.

Dr Juanda Jaya,
Kangar, 19 Ogos 2010.

****

Berikut adalah jawapan balas Ustaz Nakhaie yang dipetik oleh Malaysiakini: Nakhaie: Semua orang tahu Perlis beza