Petikan dari kitab “Bidayatul Hidayah” karangan al-Imam al-Ghazzali

Bersambung dari: Menjauhi Maksiat – Lidah Perbuatan Mungkir Janji dari Bab Menjauhi maksiat

Hindarilah lidahmu itu dari:

c.   Mengumpat (Ghibah) – membuka keburukan orang

Jagalah lisanmu jangan sampai membuka keburukan orang lain (mengumpat), kerana menurut pandangan Islam perbuatan ghibah (mengumpat) itu lebih berbahaya daripada tiga puluh kali perbuatan zina, demikian seperti yang telah ditegaskan di dalam hadith.

Sedang yang dimaksudkan dengan mengumpat/ghibah ialah menyebut atau membicarakan keadaan diri orang lain yang apabila didengar oleh orang yang berkenaan nescaya orang tersebut tidak menyukainya. Perbuatan seperti ini adalah suatu kezaliman dan merupakan perbuatan mengumpat/ghibah sekalipun apa yang dibicarakan itu benar.

Hindarkanlah lidahmu dari perbuatan mengumpat terutama jangan sampai mengumpat dengan cara menyindir yakni dengan cara halus terhadap orang tertentu seperti ucapan:

“Semoga Allah menjadikan dia orang baik kerana dia telah memburukkan dan merugikan peribadi saya, hendaknya Allah jadikan kami berdua sebagai orang yang saleh”

Ucapan seperti ini pada hakikatnya mengandungi dua rangkaian perbuatan yang buruk.

  • Pertama, dinilai sebagai perbuatan mengumpat apabila sindirin tersebut dapat difahami isinya.
  • Kedua, dinilai sebagai suatu kesombongan, menyanjung diri sendiri seolah-olah hanya dirinya sahaja yang baik dan tidak berdosa.

Cubalah engkau renungkan, jika ucapan itu engkau maksudkan sebagai doa, maka hendaklah engkau mendoakan orang yang engkau kehendaki dengan cara diam-diam (rahsia dalam hati) sahaja. Dan jika sekiranya engkau merasa kecewa disebabkan perlakuannya, tidak perlu engaku ungkapkan dengan cara menyindir dan membuka keburukan-keburukan orang tersebut, kerana demikian itu bererti engkau mencemarkan nama orang itu.

Untuk menghindar dari perbuatan mengumpat wajarlah untuk kita perhatikan firman Allah

“Janganlah anda suka mengumpat antara sebahagian dengan sebahagian yang lain. Apakah anda suka memakan daging saudaramu yang sudah menjadi bangkai? Tentu kamu benci memakannyakan?” – Al Hujarat 12

Renungkanlah, betapa Allah menyamakan engkau dengan perbuatan orang yang memakan bangkai manusia. Dengan itu hindarilah perbuatan yang terkutuk ini.

Cara lain yang dapat menjaga agar engkau tidak sampai mengumpat orang lain, ialah dengan membandingkan kepada dirimu sendiri. Tidak pernahkah engkau mempunyai aib? Sama ada yang jelas atau yang dirahsiakan? Tidak pernahkah engkau melakukan suatu pekerjaan dosa sama ada secara terang atau secara rahsia.

Ketahuilah bahawa jika engkau menutupi keburukan orang lain, maka Allah akan menutup keburukanmu. Sebaliknya jika engkau membuka rahsia orang lain, maka Allah akan membuka rahsiamu sehingga nama baikmu di dunia akan jatuh dan kelak di hari kiamat segala keburukanmu akan dibuka terang-terang di hadapan setiap makhluk.

Oleh kerana itu, janganlah engkau mencari-cari kesalahan orang lain, sebaliknya periksalah dan hitunglah kesalahan-kesalahan yang telah engkau lakukan. Jika ternyata engkau telah berbuat salah tetapi engkau tidak mengerti atau tidak menyedari akan kesalahan-kesalahan itu, maka hal ini merupakan puncak kejahilan dan tiada kejahatan yang lebih hina daripada kejahilan ini kerana tidak menyedari keaiban sendiri.

Jika Allah hendak engkau berada di dalam kebaikan, dihulurkanNya kepadamu kemampuan untuk menyaksikan keaibanmu sendiri dan selanjutnya engkau berusaha memperbaiki kekurangan-kekurangan itu.

Sebaliknya jika engkau meredhai segala kekurangan engkau tersebut dan tidak berusaha untuk memperbaikinya maka yang demikian merupakan puncak kejahilan.

Namun, jika ternyata engkau sememangnya benar, maka bersyukurlah kepada Allah atas anugerah kebenaran itu. Maka janganlah engkau mengotori dengan perbuatan yang tercela iaitu menghina dan memburukkan orang lain. Ini kerana perbuatan itu merupakan kejahatan yang amat besar.

Insha Allah bersambung dengan maksiat perbuatan bertengkar/berbantahan