Petikan dari kitab “Bidayatul Hidayah” karangan al-Imam al-Ghazzali

Bersambung dari: Menjauhi Maksiat – Lidah Perbuatan Mengumpat (Ghibah) dari Bab Menjauhi maksiat

Hindarilah lidahmu itu dari:

d. Bertengkar dan berbantahan untuk mencari kemenangan

Pada dasarnya perbuatan bertengkar dan berbantahan tentang soal-soal yang berkenaan urusan keagamaan dan ketuhanan member kesan yang tidak baik terhadap pihak lawan; menghina, meremehkan dan mencaci maki terhadap lawan. Bahkan member akibat timbulnya penyakit memuji diri sendiri seolah-olah dirinya yang paling cerdik dan paling pintar.

Dengan demikian jelaslah bahawa perbuatan iu dapat mengganggu ketenteraman hidup.

Oleh sebab itu tidaklah engkau berdebat dengan orang yang bodoh kecuali engkau akan menerima penghinaan darinya. Dan tidaklah engkau berbantahan dengan orang yang pandai kecuali ia akan menaruh rasa benci dan dendam kepadamu.

Sabda Nabi s.a.w.:

“Barangsiapa meninggalkan perdebatan sedang ia di pihak yang salah, maka Allah menyediakan tempat yang indah di keliling syurga; dan barangsiapa meninggalkan perdebatan sedang ia di pihak yang benar, maka Allah menyediakan baginya tempat yang indah di puncak syurga”

Janganlah engkau tertipu oleh syaitan yang merayumu dengan mengatakan “Nyatakan kebenaran dengan seterang-terangnya dan janganlah engkau lemah menyampaikan kebenaran”

Demikianlah syaitan selalu menggoda dalam kejahatan dengan alas an-alasannya yang pura-pura baik. Kerana itu janganlah terperangkap oleh rayuan syaitan hingga engkau ditertawakannya dan menjadi permainannya.

Memang tidak salah untuk menyatakan kebenaran apabila seseorang itu mahu menerima darimu – yakni apabila mengemukakan sesuatu nasihat dan tidak melalui jalan perdebatan. Kerana sesuatu bersifat nasihat itu mempunyai sifat dan cara tertentu yang memerlukan kewibawaan dan kebijaksanaan. Jika sampai salah langkah atau keliru di dalam cara mempergunakannya sebagai suatu bagi pendengar akan menganggapnya sebagai suatu sindiran yang kemungkinan besar dapat menimbulkan hal-hal yang tidak diiginkan.

Ketahuilah bahawa bagi siapa yang menggabung atau sering berkumpul dengan golongan mutafaqqihah di masa kini (golongan yang pura-pura berilmu), maka nescaya ia akan mudah berwatak senang berdebat dan sukar baginya untuk tinggal diam (meninggalkan perdebatan).

Hal ini disebabkan kerana golongan yang buruk itu mempengaruhi dan mengajarkan bahawa sesungguhnya perdebatan itu merupakan suatu kebaikan dan patutlah dihargai bagi seseorang yang mampu mempertahankan hujjah dalam menyampaikan perdebatan.

Maka larilah jauh-jauh dari pengaruh yang menyesatkan itu seperti halnya engkau lari dari singa yang buas.

Waspadalah dan ingatlah selalu bahawa perdebatan itu merupakan sebab terkutuknya seseorang di sisi Allah dan mengakibatkan timbulnya kebencian di antara sesame makhluk.

Insha Allah bersambung dengan maksiat perbuatan bertengkar/berbantahan