sumber: Utusan Malaysia

Penolong Pengarah Pemantauan dan Penguatkuasaan Jakim, Shahrulnizam Abu Bakar (kanan) bersama Mohd. Sukri Mohamad (kiri) melihat barang yang digunakan oleh sebuah restoran semasa operasi di Petaling Jaya, kelmarin.

PETALING JAYA 24 Nov. – Tindakan sebuah restoran vegetarian memaparkan logo halal di luar pintu masuk premis itu tanpa sijil yang sah mengundang padah apabila diserbu pihak berkuasa hari ini.

Lebih malang restoran yang diusahakan oleh pemilik bukan Islam itu dan terletak di Jalan 8/1E di sini, difahamkan sering dikunjungi orang Islam terutamanya untuk makan tengah hari.

Serbuan pukul 11 pagi itu dilakukan oleh Bahagian Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri.

Penolong Pengawal Perihal Perdagangan PPDNKK negeri, Mohd Sukri Mohamad berkata, dalam serbuan itu, pihaknya telah memeriksa dapur dan bahan masakan yang digunakan restoran itu.

Katanya, hasilnya mendapati bahan makanan digunakan mengandungi alkohol yang haram dari segi hukum syarak.

Tambah beliau, pihaknya juga merampas dua produk makanan kerana mengandungi bahan makanan yang tidak halal.

“Pemilik premis mengakui mengetahui ia satu kesalahan namun tidak berbuat apa-apa malah terang-terangan menawarkan juadah kepada umat Islam.”

“Premis itu juga sepatutnya tidak boleh menggunakan logo halal memandangkan mereka tidak mempunyai sijil berkenaan yang diperakui oleh Jakim,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan operasi itu di sini hari ini.

Menurutnya, serbuan itu merupakan yang pertama terhadap premis menyediakan makanan berasaskan vegetarian di daerah tersebut.

Katanya, ia dilakukan ekoran banyak aduan diterima daripada orang ramai yang meragui kandungan bahan masakan digunakan.

“Selain itu, proses penyediaan makanan turut diragui kerana kebanyakan pekerjanya terdiri daripada orang bukan Islam dari Myanmar,” katanya

Sementara itu, Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hub Halal Jakim, Mohd Amri Abdullah meminta orang Islam berhati-hati memilih makanan di premis bukan Islam.

“Jika merasa ragu-ragu dengan makanan yang disediakan oleh premis tertentu, mereka boleh menghubungi terus Jakim atau melayari laman web di http://www.halal.gov.my.

“Selain itu semakan premis perniagaan juga boleh dilakukan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip halal-semak dan masukkan nama premis kemudian hantar ke 1588,” ujar beliau.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 15 (2) Akta Perihal Dagangan 1972 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM250,000 jika sabit kesalahan bagi kesalahan pertama dan RM500,000, kesalahan kedua.

******

Masak sayur campur arak

sumber: Kosmo

Penolong Pegawai Perihal Dagangan KPDNKK Selangor, Saiful Aznan Mohd. Isa menunjukkan botol mengandungi ramuan masakan mengandungi arak yang digunakan oleh sebuah restoran di Petaling Jaya semalam.

PETALING JAYA – Sebuah restoran yang menyajikan makanan berasaskan sayur-sayuran di Jalan 8/1E di sini diserbu semalam selepas didapati menggunakan bahan masakan mengandungi arak tetapi memaparkan logo halal palsu yang didakwa dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Logo halal palsu itu dengan saiz yang agak besar ditampal pada pintu masuk hadapan premis tersebut bagi mengaburi pelanggan beragama Islam sejak lima tahun lalu.

Serbuan dilakukan oleh lapan anggota penguat kuasa Jakim dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor pada pukul 11 pagi.

Bagaimanapun tiada pelanggan ketika serbuan dilakukan.

Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Cawangan Hab Halal Jakim, Mohd. Amri Abdullah berkata, pemeriksaan awal mendapati premis itu menggunakan bahan masakan yang meragukan selain tukang masak dari Myanmar.

**************

Restoran vegetarian tipu sijil halal

sumber: Berita Harian

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyerbu sebuah restoran berasaskan sayur-sayuran (vegetarian) kerana mengaburi mata pelanggan beragama Islam dengan menampal logo halal di premis mereka tanpa mendapatkan sijil halal sah di Jalan 8/1E di sini, semalam.

Restoran itu didapati menggunakan bahan masakan dipercayai mengandungi alkohol bagaimanapun menampal logo halal bersaiz besar di pintu masuk hadapan premis terbabit bagi mengaburi mata pelanggan Islam.

Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hub Halal Jakim, Mohd Amri Abdullah, berkata serbuan kira-kira jam 11 pagi itu dilakukan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Shah Alam hasil aduan orang awam dan risikan.

“Keadaan dalam premis itu tersusun, bagaimanapun hasil pemeriksaan di ruangan dapur, kami mendapati tukang masak lelaki warga Myanmar memasukkan cuka arak yang diragui penggunaannya ke dalam masakan yang disajikan,” katanya di sini, semalam.