dipetik dari http://www.ustazamin.com/

 

Baru-baru ini, Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke-92 di Melaka bersetuju untuk menyatakan agar non-Muslim dihalang daripada menjadi peguam syarie.

Ada ahli muzakarah yang tidak bersetuju dengan hal ini, antaranya Mufti Perlis kemudiannya giat menulis mengenainya.

Saya rasa terpanggil untuk menulis perkara ini kerana saya salah seorang daripada pegamal undang-undang syarie di Malaysia dan saya ingin ulas perkara ini berdasarkan realiti perjalanan Mahkamah Syariah di Malaysia.

1. Perjalanan Mahkamah Syariah di Malaysia berlainan dengan perjalanan mahkamah negara lain. Pertamanya soal bidang kuasa mahkamah syariah yang kecil dan ia tidak mencakupi persoalan kehidupan yang lebih luas, ia hanyalah mencakupi bidang yang terlalu kecil iaitu perkara yang berkaitan dengan orang Islam sahaja, sama ada kekeluargaan mahupun jenayah Syariah. Sebagai contoh,  Jika dua orang di dapati berzina, seorang Islam dan seorang lagi kristian, hanya orang Islam sahaja yang akan dikenakan hukum di mahkamah syariah di Malaysia kerana mahkamah ini  tidak mempunyai bidang kuasa terhadap orang kafir.

Realiti ini berbeza dengan kes di zaman Rasullullah kerana bidang kuasa hukum Islam itu menjangkau soal kehidupan yang lebih luas sama ada kehidupan hingga kepada orang kafir seperti di dalam kes baju besi yahudi dan Saidina Ali.

Ia juga berbeza dengan negara Mesir yang bidang kuasa mahkamah itu lebih luas dari yang ada di Malaysia. Kita tidak boleh berhujjah dengan mendatangkan contoh pada dasar dan keadaan yang tidak sama.

2. Konsep dan etika Peguam Syarie di Malaysia bukan sebagai pembela seperti yang fahami oleh sesetengah pihak, tetapi peguam syarie adalah orang yang membantu mahkamah di dalam memutuskan sesuatu perkara. Ini kerana, hukuman yang akan dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Syariah bukan sahaja berkaitan dengan hak di dunia, tetapi tanggungannya hingga ke akhirat. Ini yang didoktrinkan pada kami Peguam Syarie terutama bagi yang mengambil Diploma In Law And Administation Of Islamic Judiciary (DAIJ) yang melayakkan seseorang itu menjadi peguam Syarie. Bagaimana orang yang tidak percaya pada Allah mahu berpegang kepada etika tanggungan hingga akhirat?

Sebab itu, bagi peguam Syarie yang benar-benar berpegang kepada etika ini, mereka tidak akan membela orang salah sekalipun tawaran pembayaran khidmat professional itu dibayar dengan berkali ganda.

Alangkan di kalangan orang Islam pun ada yang melupakan tanggungan akhirat ini, mahu diharapkan orang kafir berpegang padanya?

3. Selain itu, keputusan yang dibuat di Mahkamah Sivil tidak sama dengan Mahkamah Syariah. Mahkamah sivil, keputusan kes-kes terdahulu akan mengikat keputusan seorang hakim sedangkan di Mahkamah Syariah, keputusan kes terdahulu tidak mengikat. Jadi setiap keputusan adalah ijtihad bagi hakim, jadi peranan peguam Syarie adalah membantu hakim di dalam berijtihad, sudah tentu pembantu untuk ijtihad sesuatu hukum, orang yang juga mahir di dalam hukum itu dan sudah tentu jika berkaitan dengan syarak, orang itu mestilah muslim. Mana ada dalam sirah Rasullullah dan para sahabat yang mengambil pandangan orang kafir untuk mentafsir hukum Allah. Lihatlah ayat-ayat Allah yang melarang kita mengambil orang kafir sebagai pelindung, pembela pemimpin, teman rapat dan sebagainya.

Surah al-Ankabut ayat 41, surah al-Zumar ayat 3, surah al-Syura ayat 9, surah al-Mumtahinah ayat 1, surah Ali Imran ayat 28 dan puluhan ayat lagi.

4. Dasar hujjah yang digunakan di dalam penghujahan adalah berdasarkan dalil syarak. Jika kita teliti tuntutan, pembelaan dan sebagainya di Mahkamah Syariah, ia berdasarkan hujjah syarak. Bagaimana orang kafir yang tidak percaya kepada al-Quran dan hadis ini mampu berhujjah pada perkara yang mereka tidak faham. Jika atas tiket dakwah agar mereka masuk Islam, dahulukan cara lain untuk dakwah, jadikan mereka peguam pemerhati dan bukannya laluan untuk bergelanggang.

5. Membenarkan orang kafir menjadi peguam syarie bermakna membenarkan dan memberi pengiktirafan pada  mereka mengulas segala isu syariah. Bayangkan jika mereka akhirnya memberi ulasan bahawa hukum syarak sebenarnya memang tidak sesuai diamalkan. Walaupun tidak memberi apa-apa kesan pada enakmen, tetapi kita memberi pengiktirafan pada mereka untuk mengulas perjalanan hukum dan Mahkamah syariah mengikut pemahaman mereka, dan jika perkara ini terjadi, ia akan lebih mengelirukan. Akhirnya, apa yang tinggal pada umat Islam?… hanya melihat agamanya terus diperleceh tanpa mampu berbuat apa-apa di tanah airnya sendiri…

Bagi saya secara peribadi, di dalam realiti perjalanan Mahkamah Syariah di Malaysia, saya menyokong Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke-92 di Melaka yang menyatakan agar non-Muslim dihalang daripada menjadi peguam syarie.

Non-Muslim boleh untuk menjadi peguam Syarie jika satu hari nanti, bidang kuasa Mahkamah Syariah diperluaskan hingga dapat mendengar dan membicarakan kes-kes yang menjangkau tuntutan hingga kepada orang bukan Islam dan di dalam bidang yang lebih luas lagi.

“Sekilas Mewarkan Peristiwa”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

16 Muharram 1431/ 22 Disember 2010 jam 2.30 pagi