Kalau hukumnya sudah menetapkan haram bagi lelaki perempuan yang bukan mahram bersalaman atau bersentuhan maka ianya tetap haram. Pengecualian memang ada – tetapi untuk bertemu pengundi tidak termasuk dalam pengecualian tersebut.

Ini kenalah difahami oleh sekalian mereka yang galak berpolitik yang sudah lama hidup dalam masyarakat Malaysia yang perlembagaannya mengatakan Islam agama Persekutuan. Untuk Soi Lek mengatakan tidak tahu itu amatlah “naive” sebagai ahli politik yang sudah “matang” serta mengetuai sebuah parti yang besar. Jika ia bertujuan untuk memanipulasi isu itu maka Soi Lek berniat jahat.

Bagi sahabat-sahabat beliau dalam komponen BN, ahli politik beragama Islam, janganlah pula nanti melatah dengan menyongsang fatwa atas sebab untuk keterbukaan. Haram itu tetap haram!

Sewajarnya dan berani jika para pemimpin Islam dalam parti seperti UMNO menyahut prinsip yang dipegang oleh seorang Muslimah demi menjaga maruah dan adab susila anutannya. Mereka harus membetulkan kesilapan besar Soi Lek kerana mempersoalkan seorang Muslimah menegakkan prinsipnya. Ianya satu penghinaan secara langsung terhadap agama Islam.

Jangan pula kita mempersoalkan prinsip seorang Muslimah dalam pada masa yang sama kita tidak mempertikaikan isu moral orang yang mempertikaikan prinsip seorang Muslimah itu.

Haram tetap haram!

Terlanjur berbicara bab haram, sayugianya ingin saya tambah berhubung dengan laporan dalam kebanyakkan akhbar beberapa hari lalu yang menyiarkan berita orang ramai berebut mengutip syiling yang bertaburan di lebuhraya. Haram itu tetap haram. Lebih sedih lagi, sepatutnya kita yang membantu mengutip untuk diserahkan kepada “mangsa” bukannya kita memangsakan lagi mangsa kemalangan itu.

Begitu jugalah apabila kita mentertawakan orang yang menerima nasib malang. Mungkin kerana terlalu banyak menonton “Mr. Bean” – hinggakan kejahatan Mr. Bean itu boleh menggelikan hati kita walhal sepatutnya hati kita mengatakan kesian dan bingkas membantu.

Artikel berkaitan: