Apakah perlu kita berkejar pergi isi minyak penuh-penuh setiap kali pengumuman (atau khabar) bahawa harganya akan naik? [RON97 – Naik Lagi Untuk 4 Bulan Berturut]

Itulah yang kita lihat setiap kali ianya berlaku. Apabila tersebar khabaran kenaikan harga minyak maka kita akan lihat deretan kereta beratur untuk isi minyak di stesen-stesen minyak.

Apakah ianya suatu yang perlu dilakukan? Saya adalah salah seorang yang tidak akan “perecung” (sengaja) keluar rumah semata-mata untuk isi minyak kerana harga minyak akan naik dalam beberapa jam lagi.

Kenapa tidak?

Untuk pergi dan balik ke stesen minyak yang terdekat dengan rumah saya, jaraknya ialah hampir 3 km. Saya terpaksa melalui 3 persimpangan lampu isyarat sehala dan beberapa persimpangan yang perlu saya memberhenti dan/atau memperlahankan kenderaan.

Di stesen minyak mungkin sudah ada satu dua kenderaan yang menunggu di depan. Dengan engin yang masih hidup saya terpaksa menunggu giliran yang mungkin juga memakan masa 5 – 10 minit.

Tangki kenderaan saya boleh muat 75 liter. Jika ianya kosong, maka dengan perbezaan harga baru, saya akan jimat RM7.50. Jika sudah ada minyak maka tidaklah dapat penjimatan begitu.

Untuk ke stesen minyak, jaraknya 1.5km = 3km untuk pergi dan balik. Dengan terpaksa berhenti di beberapa lampu isyarat serta memperlahankan kenderaan untuk beberapa persimpangan dan menunggu giliran di stesen minyak mungkin akan membakar sekitar 2-4 liter minyak.

Kalau harga minyak RM2.40/liter, 2 liter = RM4.80 atau 4 liter = RM9.60. Penjimatan saya hanyalah RM7.50. Apakah ianya berbaloi?

Itu apabila tangki minyak saya yang besar, 75 liter. Bagi kebanyakan kenderaan kita, isipadu tangkinya adalah sekitar 40 – 55 liter sahaja (e.g. Saga 40 liter, Waja/Gen2/Persona 50 liter, Exora 55 liter). Maka penjimatan dengan harga lama ialah sekitar RM4.00 – RM5.50 sahaja. Kirakan pula dengan pembakaran minyak  yang perlu untuk pergi, beratur dan balik.

Jika rumah kita hanya sebelah stesen minyak, maka mungkin ianya berbaloi, jika kita dapat lihat stesen itu tidak sibuk dan tidak perlu beratur.

ATAU, sememangnya kita hendak ke sesuatu tempat atau balik dari mana-mana, maka wajarlah untuk kita lencong untuk berhenti memanfaatkan harga yang masih rendah itu.

Kalau betul-betul kita seorang yang peka dengan penjimatan wang, maka banyak lagi caranya untuk kita bertindak dan waspada.

Bagi mereka yang merokok – tidak perlulah saya sebutkan di sini berapa banyak wang yang dihanguskan – tertakluk kepada berapa batang/kotak satu hari.

Selamat menjadi pengguna yang berhemah.

p.s – bayangkan banyak mana pembakaran yang membazir dan mencemarkan alam sekitar semata-mata kerana mahu dijimatkan seringgit dua …

[gambar-gambar diambil dari carian google images – tidak dapat dipastikan samada deretan kenderaan beratur kerana kenaikan harga minyak atau tidak]

Posting berkaitan: RON97 – Naik Lagi Untuk 4 Bulan Berturut