Berkata Zun-Nun al Misri:

Bersahabat kepada Tuhan dengan menurut perintahNya. Bersahabat kepada makhluk dengan mengambil nasihatnya. Bersahabat kepada nafsu dengan meninggalkan keinginannya.

Janganlah menyangka bahawa menasihati seorang kawan itu akan menyebabkan hatinya tidak senang, kerana mengingatkan apa yang ia tiada mengetahui itu, merupakan tanda belas kasihan dan itulah yang dinamakan persepakatan hati – yang maksudnya di sini ialah jiwa orang-orang yang waras fikirannya.

Adapun orang-orang yang kurang akalnya, maka tentu sekali tiada boleh dikira dalam kategori di atas tadi. Ketahuilah, bahawa orang yang mengingatkan kamu atas perbuatanmu yang jahat, atau menegur kelakuanmu yang tidak senonoh supaya kamu mengubahnya itu, samalah seperti orang yang memberitahu kamu; ada seekor ular atau kala jengking dikakimu, dan binatang itu hampir pula membinasakan kamu.

Andai kata kamu marah kepada orang yang memberitahu itu, tentulah amat dahsyat sekali kebodohan kamu itu!

Kelakuan-kelakuan yang buruk itu samalah seperti kala-jengking dan ular, sebab ia akan membinasakan kamu di akhirat kelak. Kelakuan-kelakuan itu akan merosakkan hati dan jiwa, dan pedihnya lebih hebat daripada anggota dan tubuh bdan yang digigit ular atau kala jengking, kerana kelakuan-kelakuan yang tidak senonoh itu dijadikan Allah dari api neraka yang bernyala-nyala.

Dipetik dari Kitab Bimbingan Mukminin ketika mengambil kesempatan hujung minggu yang panjang sempena cuti Raya Cina ini bagi menyiapkan posting-posting untuk Laman Blog Kitab Bimbingan Mukminin dari Kitab Adab Pergaulan, Persaudaraan dan Persahabatan yang dijangka akan disiarkan pada bulan Mac-April 2011. [Sekarang ini blog tersebut sedang menyiarkan bab Kitab Halal dan Haram – klik di sini untuk baca]