sumber: Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 18 Feb. – Fahaman pluralisme kini muncul sebagai ancaman terbaru di kalangan umat Islam di negara ini dan justeru mereka wajib menghindarkannya kerana ia jelas bertentangan dengan akidah serta syariat Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bagi mengekang pengaruhnya beliau mahu para ulama, guru-guru agama, pihak berkuasa agama termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama-sama bertanggungjawab menyedarkan umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan fahaman itu.

Beliau berkata, hakikatnya Islam tidak boleh disamakan dengan agama lain kerana agama yang benar di sisi Allah hanya Islam sahaja.

”Apatah lagi sekiranya ada umat Islam yang membawa fahaman pluralisme. Perkara-perkara seperti ini mesti kita betulkan. Kita boleh hormat agama lain kita jangan hina agama lain.

”Namun dari segi akidahnya dan dari segi kebenarannya di sisi Allah tidak boleh disamakan dengan agama Islam,” katanya ketika berucap pada merasmikan Multaqa Guru Takmir seluruh Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Najib berkata, selain fahaman pluralisme umat Islam turut terdedah dengan pengaruh liberalisme serta hindonisme yang jika dibiarkan boleh menyebabkan mereka terpesong daripada syariat serta akidah Islam.

”Mahu tidak semua pihak termasuk ulama, guru-guru agama serta guru-guru takmir menegakkan kebenaran agama dengan berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah,” katanya.

Dalam sidang akhbarnya selepas itu Najib sekali lagi menegaskan, semua pihak perlu menghormati agama-agama lain sama ada dari segi haknya atau dari segi undang-undang menurut Perlembagaan Persekutuan.

”Namun begitu ia tidak boleh sama dari segi akidah. Jangan ada salah faham. Nanti ada orang akan salah faham bahawa saya merendahkan kedudukan agama lain, tidak.

”Saya cuma mahu bezakan dari segi akidah kerana fahaman pluralisme ini adalah salah dari segi agama Islam dan itu fakta yang saya hendak jelaskan,” katanya.

Ketika ditanya sejauh mana seriusnya pengaruh fahaman itu di Malaysia, beliau berkata, fahaman itu perlu segera dibendung.

”Jika kita tidak berbuat sesuatu ia boleh merebak. Pada peringkat sekarang ia masih terbatas cuma di kalangan pihak tertentu sahaja. Sesuatu (tindakan) perlu dilakukan kerana fahaman ini boleh mengeliru dan menyesatkan umat Islam,” katanya.

**********

Posting berkaitan: