Oleh RADHUAN HUSSAIN

utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 22 Feb. – Fahaman pluralisme tidak sepatutnya wujud dalam kalangan umat Islam kerana ia sangat bertentangan dengan ajaran serta akidah umat Islam.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berpendapat, Islam melarang sama sekali umatnya mengamalkan fahaman seumpama itu dan ia tidak boleh dicampuradukkan dengan ajaran agama suci itu.

Beliau seterusnya menegaskan, larangan itu tidak terbatas kepada sesiapa saja atau mereka yang mendukung fahaman tersebut, tidak terkecuali Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ataupun beliau sendiri.

“Setakat ini saya belum terima penjelasan lagi mengenai dakwaan yang mengaitkan Anwar sebagai pendukung fahaman itu di negara ini, saya belum lagi terima laporan mengenainya.

“Tetapi sekiranya benar dakwaan itu, tak kira siapa mereka, Anwar ke ataupun saya sendiri sekalipun, ia sudah tak betul,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas isu fahaman pluralisme iaitu menyamakan kedudukan Islam dengan agama lain yang disentuh oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta beberapa tokoh agama mengenai ancaman fahaman tersebut.

Kenyataan Harun yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu itu merupakan reaksi pertama pimpinan peringkat tertinggi Pas secara tegas dan terbuka berhubung isu tersebut.

Beberapa pihak di luar parti itu sebelum ini mempersoalkan pendirian mereka walaupun didesak banyak pihak setelah agak lama membisu dalam persoalan pluralisme yang dikatakan cuba dibawa oleh Anwar.

Perdana Menteri sewaktu merasmikan Multaqa Guru Takmir Seluruh Malaysia minggu lalu mengingatkan seluruh rakyat agar berwaspada dengan fahaman pluralisme kerana ia merupakan ancaman baru kepada umat Islam di negara ini.

Namun peringatan Perdana Menteri itu diperlekehkan Anwar dengan menuduh kerajaan berpura-pura dalam menghadapi ancaman pluralisme agama dan menggunakan media arus perdana untuk mengutuk fahaman berkenaan.

Menurut Harun, segalanya sudah dijelaskan di dalam al-Quran yang menegaskan bahawa hanya Islam satu-satunya agama di sisi Allah.

“Malah ada ayat al-Quran yang maksudnya bahawa orang yang menganut agama selain Islam, Allah tidak akan terima mereka di akhirat.

“Ini bermakna, al-Quran cukup jelas dan nyata. Saya sendiri pun berpandukan al-Quran,” ujarnya.

**********

Posting berkaitan: