Isu-isu pokok yang dipersetujui sebagai resolusi Perhimpunan Pimpinan Pertubuhan-pertubuhan Islam Se-Malaysia yang berlangsung di Dewan Muktamar Pusat Islam, Kuala Lumpur pada 7hb Mei 2011.

  • Mempertegaskan semula kewibawaan institusi fatwa sebagai institusi yang perlu dihormati semua, termasuk bukan Islam walaupun mereka tidak terikat dengan institusi tersebut. Institusi fatwa merupakan salah satu saluran pembentukan undang-undang berkaitan Islam yang diiktiraf oleh perundangan Negara;
  • Menegaskan bahawa undang-undang yang digubal dan diperkenankan oleh Duli-duli Sultan di negeri-negeri dibuat demi kepentingan umat Islam, dan mestilah dihormati dan dipatuhi sepenuhnya untuk menjaga ketenteraman di antara kaum. Ketidakpedulian terhadap kewujudan peruntukan-peruntukan tersebut mewujudkan rasa tidak hormat kepada Institusi Raja-raja Melayu;
  • Menyeru agar kumpulan-kumpulan Kristian menghentikan pendekatan konfrontasi dan sebaliknya menggunakan saluran perbincangan yang ada seperti Jawatankuasa Kerja Mempromosi Persefahaman Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKAPA) yang ditubuhkan oleh kerajaan dan turut disertai oleh kami.
  • —Menegaskan kepada semua pemimpin politik tanpa mengira parti agar jangan sekali-kali menggadaikan kedaulatan Islam kerana tekanan sokongan politik. Hakikatnya kalaupun tunduk kepada tekanan politik boleh membawa hasil sementara, tetapi dalam jangka masa panjang ia akan meruntuhkan paksi pembinaan Negara-negara dan turut merugikan semua pihak.
  • —Mempertingkatkan sinergi gerakan dakwah dan amal Islami di peringkat nasional dengan menggariskan strategi pendekatan bersama. NGO-NGO Islam perlu memperkasakan wadah gerakerja bersama seperti PEMBELA, ACCIN dan seumpamanya sebagai suara ketiga selain daripada suara umat Islam dalam kerajaan ataupun pembangkang.
  • —Memperkukuhkan kesepakatan ummah  merentasi batas parti-parti politik.  Umat Islam tidak boleh hanya bergantung harap kepada satu parti politik sahaja untuk mempertahankan  kedudukan Islam. Perlu ada kesepakatan  di antara parti-parti politik Islam agar prinsip-prinsip berkaitan agama tidak dipolitikkan atau tergadai dalam demam pilihanraya yang semakin hangat.