sumber berita dari Bernama.com

Maruah Bangsa Malaysia Terletak Pada Martabat Bahasa Melayu – Profesor Bahasa Melayu

KANGAR, 19 Julai (Bernama) — Martabat yang tinggi perlu diberikan kepada Bahasa Melayu kerana maruah bangsa Malaysia terletak pada martabat bahasa itu yang menjadi lambang kedaulatan pemerintah dan negara, menurut seorang profesor sosiolinguistik Bahasa Melayu.

Felo Penyelidik Utama dan Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong berkata kedudukan bahasa Melayu perlu sentiasa diletakkan pada kedudukan teratas.

“Dengan perkataan lain, kedudukan bahasa Melayu perlulah di atas, dan bukannya separas dan sudah tentu tidak sama sekali di bawah mana-mana bahasa.

“Ini adalah kerana maruah bangsa Malaysia adalah terletak pada martabat bahasa Melayu yang menjadi lambang kedaulatan pemerintah dan negara,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Peranan bahasa Melayu dalam Pembentukan Jati Diri Nasional dan Negara-bangsa Malaysia” sempena Majlis Ceramah Dasar Bahasa peringkat negeri di sini, pada Selasa.

Sehubungan itu, katanya semua lapisan masyarakat di negara ini perlu berhati-hati agar bahasa Melayu sentiasa digunakan penuh tertib sesuai dengan statusnya sebagai bahasa kebangsaan.

Dr Teo yang juga anggota Jawatankuasa Bahasa Lembaga Pengelola DBP dan anggota Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu Kementerian Pelajaran, menegaskan bahasa Melayu tersebar luas dalam geolinguistik Alam Melayu selama berabad-abad lamanya dengan memainkan peranan sebagai sebagai bahasa pengantar dalam beberapa bidang antaranya persuratan, agama dan hukum kanun.

“Bahasa Melayu telah mendukung peranan penting selaku bahasa peradaban dan tamadun tinggi pada satu ketika dahulu. Pada zaman moden ini, bahasa Melayu terus memperlihat kemampuan untuk mendukung peranan lama itu, iaitu sebagai bahasa peradaban tinggi dalam bentuk bahasa ilmu moden,” katanya.

Menurutnya, pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara adalah berdasarkan empat faktor termasuk bahasa kumpulan etnik yang paling ramai di negara ini.

Selain itu bahasa Melayu adalah bahasa tempatan, bahasa perhubungan dan bahasa pentadbiran bagi beberapa Kerajaan Melayu sebelum kehadiran mana-mana kuasa Barat di negara ini, katanya.

Dr Teo mengingatkan bahawa percampuran bahasa Melayu dengan bentuk-bentuk bahasa-bahasa lain yang tidak merupakan kata-kata pinjaman, atau bahasa Melayu rojak dalam penggunaan bahasa Melayu formal adalah satu amalan yang tidak baik untuk imej bahasa Melayu.

Beliau berkata bahasa Melayu rojak adalah bahasa Melayu rendah kerana ia tidak sesuai digunakan dalam domain formal yang memerlukan penggunaan bahasa Melayu tinggi yang tidak dicemari bentuk-bentuk bahasa lain yang lahir daripada kata-kata pinjaman.

— BERNAMA