Jumaat lepas, 29hb Julai 2011, merupakan hari pertama masjid yang baru siap dibina di Taman Jaya, Kuala Terengganu, melakukan solat Jumaatnya. Ianya dibina atas tapak lama Surau Taman Jaya di tepi Jalan Pusara (Jalan Wireless). Taman ini merupakan kawasan kediaman yang diasaskan lebih 40 tahun lalu, kini menjadi di antara pemusatan penghuni yang bergelar “Datuk/Dato” paling tinggi di negeri ini. Ianya terletak bersebelahan dengan stesen telekomunikasi utama suatu masa dahulu untuk bandar ini yang mana nama asalnya, Jalan Wireless itu diperolehi.
Masjid yang mula dibina dengan mengalihkan surau lama kurang dari dua tahun lalu siap dengan sempurna dalam tempohnya berbanding dengan dua lagi masjid yang dibina di bandaraya ini di atas tapak runtuhan masjid lama yang bersejarah di Chendering (klik) dan Bukit Besar (klik di sini atau di sini) yang masih belum siap selepas beberapa kali terbengkalai.
Pada anggaran saya, masjid ini mampu memuatkan sekitar seribu orang jemaah. Ruang solat utamanya mampu memuatkan lebih 300 jemaah, manakala kedua ruang sisi sebelah kanan dan kiri masing-masing boleh mengisi sekitar 150 orang. Di belakang ruang solat utama, terdapat ruang solat tambahan yang lebih besar dan mampu memuatkan sekitar 400 lagi jemaah.
Warna hiasan dalamannya amat mencerahkan dengan warna putihnya. Kipas yang banyak pada lokasi-lokasi strategik (walapun ada beberapa unit yang tidak berfungsi) tidak memerlukan sistem penghawa dingin tetapi mampu memberi keselesaan kepada para jemaah kerana dibantu dengan tiupan anigin dari pantai Batu Buruk yang tidak jauh dari situ.
Ruang sisi kanan dan kiri berwarna kuning coklat dan disesuaikan dengan warna lantai ber”tile”nya turut dilengkapi dengan kipas walaupun angin dari luar nyaman bertiup.
Rata-rata terpapar kegembiraan di wajah para jemaah sambil bersalaman selepas solat dan bercerita pasal masjid baru mereka. Ramai dari hadirin bukan penduduk sekitar Taman Jaya atau pun Jalan Pusara. Ada yang datang menjangkau beberapa khariah lain semata-mata untuk merasakan sendiri persitiwa bersejarah sebagai jemaah solat Jumaat yang pertama ini.
Hiasan lampu amat mencukupi. Dengan siling yang tinggi dan dibantu dengan kemasukkan cahaya dari atas tidak memerlukan lampu dipasang pun di waktu siang.
Corak menarik dan warna permaidani yang sepadan dengan warna luaran masjid turut memberi suasana yang nyaman untuk beribadat kepada penduduk sekitarnya sempena menyambut ibadat tarawih.
Tempat wudhu khas yang baru lagi bersih diharap dapat dikekalkan kebersihannya.
Tandas masjid dibina di bangunan berasingan sebelah timur masjid dengan disediakan tempat laluan yang beratap.
Persekitaran luar masjid yang dibina dengan kos bernilai RM4 juta ini masih lagi belum sempurna. Kerja-kerja senitaman masih lagi giat dilakukan. Malah papan tanda nama masjid belum lagi tertulis nama rasminya.
Walaupun baru sebulan diguna, seorang bilal yang baru bertugas di masjid ini menjadi orang yang pertama meninggal dunia di dalam masjid ini beberapa hari lalu. Arwah bersama beberapa ahli jemaah lain sedang memadamkan lampu dan kipas rebah terduduk lalu menghembuskan nafas terakhirnya sebaik selesai solat subuh.
Walaupun terdapat beberapa masjid berdekatan dengannya, seperti Masjid Ladang dan Masjid Batu Buruk, diharap ianya dapat menjadi satu lagi pusat penyebaran agama Islam serta menzahirkan syiarnya.
1 comment
Comments feed for this article
10 August, 2011 at 9:06 pm
Masjid Baru Taman Jaya, Jalan Pusara Dibuka Untuk Solat Jumaat | Al Masjid
[…] https://akarimomar.wordpress.com/2011/08/03/masjid-baru-taman-jaya-jalan-pusara-dibuka-untuk-solat-ju… This entry was posted in gambar, masjid, solat. Bookmark the permalink. ← Ramadan Kareem Mubarak LikeBe the first to like this post. […]