Setelah membetulkan tanggapan bahawa JAIS tidak menyerbu gereja (dalam posting sebelum ini) malah JAIS hanya bertindak untuk memeriksa di atas aduan bahawa terdapat majlis berbuka puasa di gereja, maka sekarang kita lihat apa sebenarnya yang berlaku di dalam dewan yang mereka sebut sebagai ”gereja”.

Sebelum itu, premis tersebut tidak pun didaftarkan sebagai “tempat ibadat”. Maka adalah salah bagi sesiapa (terutama mereka yang berniat jahat hendak putar cerita) mengatakan ianya sebuah gereja. Premis tersebut tidak beroperasi sebagai sebuah gereja dan jika ianya dijadikan sebuah gereja maka ianya adalah bersalahan dengan undang-undang kerana tidak didaftarkan sebagai rumah ibadat.

Pada 3hb Ogos 2011, JAIS menerima aduan dari orang ramai bahawa terdapat orang Islam yang dijemput berbuka puasa di gereja dan dengan itu JAIS bertindak menjalankan tanggungjawabnya untuk melakukan siasatan. Pernah kita dengar pihak penguatkuasa tidak bertindak? Itulah komen yang akan timbul jika JAIS tidak bertindak. [dan orang yang komen itu yang yang sama juga].

Dengan kerjasama pihak Polis, Bahagian Penguatkuasaan JAIS telah pergi ke premis yang diadu berlaku “majlis berbuka puasa” tersebut. Setiba di premis yang terpampang di hadapannya papan tanda “Dream Centre DUMC where dream comes alive”. Jelas dari zahirnya bangunan tersebut bukan seperti gereja yang diadukan tidak disebut ianya gereja atau pun apa-apa simbol yang melambangkan ianya sebuah gereja.

Apabila memasuki kawasan premis, para anggota JAIS dan Polis mendapati beberapa tanda arah menunjukkan bahawa ianya majlis “Thanksgiving Dinner” (satu majlis ritual dalam ajaran Kristian). Dan berpandukan tanda itu mereka menghala ke “Hall 3”.

Salah satu contoh komen melulu dan celupar yang menghentam JAIS

Ketika membuka pintu dewan tersebut didapati ada seorang yang sedang berucap di atas pentas. Mereka kemudian diketemukan dengan penganjur majlis dan beberapa anggota jawatankuasa majlis di luar dewan. Mereka berunding dan menunggu di luar dewan lebih satu jam sehingga majlis selesai.

Pegawai Penguatkuasa hanya masuk ke dalam dewan setelah hadirin keluar dewan.

Maka, amat jelas sekali tuduhan liar mereka yang samada melulu membuat kenyataan yang tidak benar serta menuduh JAIS dengan pelbagai tohmahan baik orang-orang yang jelas memusuhi mahupun mereka yang beragama Islam tetapi seolah-olah memusuhi pihak Penguatkuasa adalah semuanya tidak benar.

Apakah mereka akan mohon maaf kepada JAIS?