dipetik dari: http://tradisionalislam.wordpress.com/

oleh Ismail Mina Ahmad

Ramadhan 17, tarikh Keramat. Diturunkan al-Qur’an dari sisi-Nya Yang Maha Tinggi, sebagai pedang melapah tamaddun Jahiliyyah-Musyrikun-Kuffar, yang mendominasi kehidupan ‘alam. Walupun ada agama yang berasal Samawi di sekitarnya terutama di sekeliling Laut  Mediterranean dan Mesopotamia, tetapi agama tersebut mengalami hakisan bahkan diubah. Maka, al-Qur’an diturunkan sebagai membetulkan kesilapan yang berlaku di kalangan penganut agama-agama tersebut. Al-Qur’an menjadi furqan-pembeda antara yang haq dengan yang batil. Pedang ini sentiasa menanti orang yang akan memikulnya untuk membedah lagi tamaddun Jalihiyyah-Kuffar-Musyrikun, yang masih bermaharajalela di bumi Allah ini, yang hagemoninya di tangan Yahudi-Kristian. Yahudi-Kristian menjadikan sesetengah orang Islam sebagai agenturnya. Pedang Samawi ini bernama Jihad. Banyak kali disebut dalam al-Qur’an. Pembaca al-Qur’an yang mentadabburnya, pasti tidak akan lalai dari menemuinya. Ditambah dengan menela‘ah tafsirannya dan menekuni kitab-kitab Sirah pula, maka akan bertambah-tambah lagi kilauan dan tajam pedang jihad ini, pada mata zahir dan mata batin penekunnya.

Ramadhan 17. Angkatan Kebenaran, di bawah pimpinan Panglima Tertingginya, sollallahu ‘alayhi wa sallam, telah memusnah ranah tamaddun Jahiliyyah-Musyrikun-Yahudi. Namun ditinggalnya sedikit, sebagai habuan nikmat bagi penanggung pedang tersebut kemudian hari, penerus Generasi Rasul dan Sahabahnya.Ya, itulah jihad.

Allah SwT menurunkan ayat mengenai jihad sejak di Makkah lagi. Ummat diminta berjihad dengan al-Qur’an, untuk membersihkan berhala-berhala Musyrikun yang pelbagai. Di Makkah dan dimana sahaja, seluruh semesta ‘Alam. Kemudian, Allah mengkhususkan lagi epistemologi jihad. Jihad berperang dengan Musyrikun, Kuffar, Yahudi dan siapa sahaja yang menghalang dari menuju  sabilillah. Menggunakan senjata.

Sirah menceritakan kepada kita, Nabiy Pemimpin Tertinggi Mujahidin sollallahu ‘alayhi wa sallam, tidak menyembunyikan niat Baginda keluar dari Madinah untuk tujuan berperang dengan Quraysh Makkah, pada 12 Sofar tahun dua Hijrah. Negara yang baru berumur dua tahun!. Walaupun tidak terjadi pertempuran bersenjata, namun ekspedisi ini, tetap di namakan peperangan iaitu Peperangan Waddan. Beberapa bulan kemudian, peperangan bersenjata terjadi. Itulah Ramadhan. Ramadhan yang penuh barakah. Pedang Ramadhan yang penuh barakah itu, telah meruntuhkan tamaddun Jahiliyyah-Musyrikun-Kafirun di seluruh Jazirah ‘Arab, yang kemudian melebar hingga satu pertiga dunia. Melebihi satu perempat Eropah. Menghampiri Paris dan Vienna. Kent,England, pernah dicatat, mempunyai kerajaan Islam!. Ramadhan bukan sahaja sinonim dengan turunnya al-Qur’an dan berpuasa tetapi sinonim juga dengan jihad ma‘rakah-Peperangan Badar-peperangan bersenjata.

Angkatan Kebenaran-Mujahidin fi sabilillah ini, cuma 313 Mujahidin. Zohir mereka kelihatan tidak bermaya. Kurus kering kerana kurang makanan. Tetapi, Batin mereka bagaikan badrun, bulan purnama. Keberanian mereka persis singa lapar. Menguasai seluruh jiwa, urat, darah dan daging. Mereka berjalan di bawah naungan rembulan dan bintang-bintang, di malam yang penuh barakah itu.Berkaki ayam berjalan kaki. Bergilir-gilir menunggang unta, yang cuma 70 ekor!. 70 ekor menampung 313 orang! Bukan apa, mereka tiada  wang untuk membeli kenderaan. Miskin menyelimuti mereka. Mereka menangis. Bimbang, kalau-kalau tidak dapat menyertai angkatan Pertama Mujahidin ini. Untuk meruntuhkan berhala-hala. Dan mendirikan Tawhid.  Hidup mulia di sisi Tuhan mereka dan mendapat nikmat yang tidak tergambar!

Pabila melihat keadaan mereka, para Mujahidin itu, Panglima Mujahidin, sollallahu ‘alayhi wa sallam, teramat sangat hiba dan sedih, lalu berdu‘a: Allahumma, innahum hufaatun, fahmilhum; Allahumma, innahum ‘urootun, faksuhum; wa innahum jiyaa‘un, fasybi‘hum =Ya Allah, ya Tuhanku, mereka ini berkaki ayam berjalan kaki, berikanlah kenderaan kepada mereka; Ya Tuhanku, mereka tidak berpakaian, berikanlah pakaian kepada mereka; dan mereka ini lapar, berikanlah mereka makanan.(HR Abuw Daawuud).Radiyallahu ‘anhum ajma‘in.

Allahu Akbar!

Gerombolan Musyrikun, musuh Allah dan Rasul-Nya itu, memiliki kelengkapan jauh lebih besar dengan anggota sekitar 900-1000 orang. Mereka menuju Badar penuh kesombongan. Berpakaian indah-indah, diiringi tabuhan rebana gegak gempita.

Ya, 17 Ramadhan. Khamis petang dan Malam Jum‘at, Panglima Mujahidin, sollahu ‘alayhi wa sallam berdu‘a. Du‘a yang tiada bandingan dalam kesungguhan dan permohonann. Tidak dapat dibayangkan, sehingga mencemaskan Abu Bakar radiyallahu‘anhu. Baginda sollallahu ‘alayhi wa sallam berdu‘a: Wahai Tuhanku, ini dia Quraiysh, meluru dengan keangkuhan dan kesombongan, mencabar Dikau dan mendustai Rasul-NYa. Ya Tuhanku, berilah pertolongan, yang telah Tuanhamba janjikan itu. Wahai Tuhanku, kalahkanlah mereka….[Wahai Tuhan kami, kami mohon, limpahkanlah juga du‘a Nabiyy kami ini, kepada kami dan seluruh Muslimin].

Ya, 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah. Di pagi hari yang mulia, penghulu segala hari, Jum‘at, dalam bulan yang penuh barakah, peperangan antara angkatan Kebenaran dengan gerombolan kebatilan penyembah berhala, bermula. Janji Tuhan kita, benar. Benar du‘a Nabi kita, sollallahu ‘alayhi wa sallam. Jum‘at petang ,70 handalan pemuka gerombolan kebatilan penyembah berhala tersungkur kaku. Menyembah batu di medan Badar. 70 yang lain ditawan.

Gerombolan Musyrikun kembali ke Makkah. Duka lara menusuk jiwa. Menanti sa‘at untuk dihancurkan sehancur-hancurnya bersama-sama batu-batu berhala sembahan mereka. Enam tahun kemudian, tahun kelapan Hijrah, Makkah dibuka.

Para Mujahidin dibawah pimpinan Rasul sollallahu ‘alayhi wa sallam, meninggalkan Madinah pada 10 Ramadhan, menuju Makkah. Mereka meninggalkan Madinah dalam keadaan berpuasa. Di al-Kadid, Rasul sollallahu ‘alayhi wa sallam berbuka puasa, tidak puasa lagi, keadaan memerlukan. Semua Mujahidin mengikutinya. Makkah semakin hampir. Sudah tampak. Berbalam-balam. Menunggu sa‘at untuk di Cerahkan.

Makkah!. Lapan tahun ditinggal Kekasih. Kini dia datang kembali. Rindunya menyayat qalbu. Dia membawa Cahaya Ilahiyy. Pada Ramadhan. Ketika Rembulan masih penuh Cayahanya di langit..Menyirami Lembah Bakkah al-Mukarramah. Makkah dibuka. Fath al-Makkah. Penuh tertib. Mukanya yang mulia, sollallahu ‘alayhi wa sallam, tunduk khusu‘, hampir-hampir mencecah belakang tunggangannya.

Semua berhala-hala sejumlah sekitar 365 besar dan kecil dihancurkan. Luluh berderai. Ketua Mujahidin, sollallahu ‘alayhi wa sallam, dengan tangannya yang mulia, menghempas beberapa patong berhala ke tanah. Dan, dengan kayu pendek yang berada ditangannya pula, dihayunkan kepada beberapa berhala yang masih disangkut di dinding Ka‘bah. Pecah berkecai, menyembam tanah. 25 Ramadhan, al-‘Uzza, raja berhala, paling besar yang terletak di luar Makkah, dimusnahkan oleh Khalid al-Walid r‘a; kemudian, Suwa‘ di hancurkan oleh ‘Amru al-‘As r‘a, kemudian al-Manaat, dijahanamkan oleh Sa‘ad bin Zaid r‘a. Ya, Ramadhan, berhala-berhala dikambuskan!.

Berhala, tuhan sembahan Musyrikun itu, tidak dapat mempertahankan dirinya sendiri!.

14 Mujahidin Syahid. Wahai syuhada’, kami bertawassul kepada tuan-tuan. Tuan-tuan adalah qudwah orang-orang yang beriman.

Laa ilaaha illallahu wahdah, Sodaqa wa‘dah wa nasara ‘abdah wa a-a‘zza jundahu wa hazama’l-ahzaba wahdah.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa lillahi ’l hamd.

Allahumman’surna ‘ala’l-qawmil kaafiriin.

Wa mannasru illa min ‘indillah.