sumber: Berita Harian
Mufti cadang anasir cuba murtad umat Islam dikenakan tindakan

KUALA LUMPUR: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mencadangkan satu seksyen atau fasal khusus dimasukkan dalam Kanun Keseksaan bagi membolehkan tindakan undang-undang dapat diambil terhadap pihak atau anasir yang cuba memurtadkan umat Islam di negara ini.

Katanya, sudah tiba masa untuk memperkasakan kuasa Majlis Agama Islam Negeri berkaitan usaha menyekat dakyah agama lain yang tidak henti-henti cuba mengeruhkan keadaan serta mencabuli Perlembagaan yang sudah menetapkan Islam sebagai agama rasmi negara.

Kegagalan pihak tertentu memahami maksud Perlembagaan atau sensitiviti antara agama ini menyebabkan saya berasakan perlu ada satu peraturan atau undang-undang khusus menangani perkara ini. – Harussani Zakaria, Mufti Perak

“Perlembagaan sudah menetapkan bahawa agama lain tidak boleh menyebarkan dakyah mereka terhadap orang Islam, tetapi pelbagai usaha dilakukan oleh mereka bagi memesongkan akidah rakyat negara ini, baik secara nyanyian di tadika, sukatan pelajaran di sekolah swasta serta sebagainya,” katanya.

Beliau mengulas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, kelmarin terdapat cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan akidah umat Islam ketika Jabatan Agama Islam Selangor menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu. Bagaimanapun, keterangan yang diperoleh tidak mencukupi untuk diambil tindakan undang-undang.

Harussani turut menuntut supaya agama lain menghormati sensitiviti umat Islam yang tidak menghalang agama atau fahaman lain dianuti dengan bebas di negara ini.

“Kegagalan pihak tertentu memahami maksud Perlembagaan atau sensitiviti antara agama ini menyebabkan saya berasakan perlu ada satu peraturan atau undang-undang khusus menangani perkara ini,” katanya.