MELAKA 2 Nov. (Utusan) – Orang Melayu yang menentang keputusan kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dianggap sebagai jahil terhadap kegemilangan bahasa Melayu.

Tokoh budaya dan bahasa, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah A. Karim berkata, golongan tersebut tidak menyedari apa fungsi bahasa Melayu yang sebenarnya lambang jati diri bangsa.

“Di setiap negara di dunia ini masing-masing ada bahasa kebangsaan mereka sendiri tetapi kira orang Melayu begitu mudah mengetepikan bahasa ibunda dan mengagung-agungkan bahasa orang lain.

“Bagi saya, orang Melayu yang menentang keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI ini bukan sahaja jahil tetapi mereka juga mempunyai fikiran yang sempit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutupan persidangan antarabangsa karya Melayu agung Sulalat Al-Salatin dan Hikayat Hang Tuah di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Menurut Nik Safiah, kebanyakan orang Melayu yang membantah keputusan kerajaan itu kerana mereka tidak mengikuti perkembangan bahasa Melayu moden.

“Ada golongan yang mengatakan bahasa Melayu ini susah kerana tidak memahami istilah dan mengeja dengan betul. Mereka kata bahasa Melayu ini tidak lengkap tetapi yang sebenarnya merekalah tidak dipenuhi ilmu,” katanya.

Menurutnya, beliau yakin kerajaan sedang berusaha untuk menumpukan kepada langkah untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris melalui pemantapan silibus mata pelajaran itu sendiri.

Justeru katanya, keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI bukan ingin menentang penggunaan bahasa Inggeris.

“Walaupun bahasa Inggeris itu penting dan perlu dipelajari tetapi kita sebagai bangsa Melayu tidak boleh mengetepikan dan menolak terus bahasa kebangsaan,” katanya.

PPSMI akan diganti dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris tahun depan.