Selepas bermesyuarat bersama beberapa pimpinan PEMBELA hingga lewat malam (Rabu) bagi menyediakan kenyataan media, pagi ini (Khamis 3 November 2011), di atas kapasiti sebagai Setiausaha Agung MUAFAKAT, saya membuat laporan polis membantah penganjuran festival Seksualiti Merdeka di Balai Polis Taman Melawati. Kerana terpaksa menghadiri mesyuarat lain selepas itu, saya memohon agar “statement” saya yang perlu diambil oleh Pegawai Penyiasat ditangguhkan hingga lewat petang. Maka bergegas pula selepas asar untuk ke Balai Polis Hulu Klang untuk tujuan tersebut.

Sebelum itu, sekitar jam 9:00 pagi, Radio IKIM menelefon untuk “live phone interview” memberi komen berhubung isu tersebut dalam program Warna Pagi mereka. Terima kasih diucapkan kepada Radio IKIM kerana keperihatinan serta memainkan peranan untuk mengetengahkan isu serius begini agar difahami dan waspada oleh masyarakat kita.

Petang tadi, Timbalan KPN telah mengumumkan pengharaman segala penganjuran mempromosi LBGT ini. Alhamdulillah.

Namun, usaha patut diteruskan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai gejala sosial yang sedang melanda Tanah Air kita ini. Moga Allah Azzawajalla melindungi kita dan zuriat kita dari fitnah keruntuhan moral ini. Ameen.

Esok, selepas solat Jumaat, PEMBELA dan beberapa NGO lain akan mengadakan bantahan aman di perkarangan Masjid Negeri Shah Alam. Bagi sesiapa yang berada di sekitar kawasan tersebut dipersilakan ikut serta.

Wassalam

**********

Muafakat Buat Laporan Polis Terhadap Penganjuran Festival Seksualiti Merdeka

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) telah membuat laporan polis membantah penganjuran Festival Seksualiti Merdeka oleh beberapa buah NGO, artis dan aktivis songsang fitrah pada jam 11:35 pagi tadi (3 November 2011).

Dalam laporan tersebut MUAFAKAT menggesa pihak polis mengambil tindakan sewajarnya bagi menghalang semua pihak yang terlibat sebagai penganjur atau peserta.

Laporan dibuat oleh Setiausaha Agungnya, Sdr. A. Karim Omar dan diiringi oleh Penolong Setiausaha Agungnya, Sdr. Wan Burhan Wan Ismail.