sumber: Tranungkite
Kuala Lumpur, 3hb Nov 2011. Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Tuan Guru Harun Taib, menegaskan bahawa Dewan Ulamak PAS Pusat tidak sama sekali akan menyokong apa sahaja langkah yang bertentangan  dengan nilai fitrah manusia.

Beliau menegaskan demikian ketika mengulas penganjuran Seksualiti Merdeka 2011 yang bermula 1 sehingga 13 November ini.

Penganjuran program itu dilaporkan oleh akhbar perdana semalam dipromosikan melalui laman sesawang http://www.seksualitimerdeka.org yang kononnya bertujuan mempertahankan hak golongan homoseksual agar boleh diterima dalam kalangan masyarakat negara ini.

“Kebebasan ada peraturannya, memang manusia diberikan kebebasan menyuarakan pandangan tetapi hendaklah di dalam kerangka yang dibenar dan tidak bertentangan dengan fitrah kejadian manusia” kata beliau.

“Namun Dewan Ulamak PAS menyeru supaya golongan seperti ini diubati sehingga dapat hidup bersama masyarakat secara fitrah dan bukannya memberikan pengiktirafan yang tidak akan menyelesaikan masalah, Dewan Ulamak melihat dari sudut  penyelesaian masalah iaitu golongan ini mesti diubati dan bukannya meneruskan masalah” ujar beliau lagi yang juga merupakan Adun Manir Terengganu.