sumber Utusan
KUALA LUMPUR 3 Nov. – Penganjuran Program Seksualiti 2011 yang mempromosikan seks bebas jelas merupakan satu program songsang yang bertentangan dengan Islam selain berlawanan dengan adat resam serta tata susila masyarakat negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, walaupun Malaysia sebuah negara demokrasi dan menerima prinsip- prinsip hak asasi, ia bukan bermakna kebebasan yang diterima pakai di negara ini tidak terbatas hingga ke peringkat membenarkan amalan hubungan sejenis.

Beliau berkata, atas sebab itu kerajaan telah mewujudkan undang- undang yang memperuntukkan perbuatan seks luar tabie seperti meliwat adalah satu kesalahan jenayah kerana jelas ia melanggari norma kehidupan seorang manusia.

”Meskipun kita menerima hak asasi manusia, Malaysia mempunyai Perlembagaan dan undang-undang. Kita juga ada agama. Kita juga ada nilai-nilai budaya. Negara kita mempunyai batas dan asas-asas pertimbangan yang harus diambil kira.

”Lunas-lunas syariah juga telah meletakkan hukuman ke atas perbuatan-perbuatan seperti ini. Saya tidak tahu mengapa mereka membuat promosi sebegitu? Adakah mereka mempunyai muslihat politik?” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Bersama Guru-guru Bahasa Inggeris: SMR HR Group di sini hari ini.

Beliau mengulas penganjuran Seksualiti Merdeka 2011 dengan temanya Queer Without Fearyang berlangsung semalam hingga 13 November di The Annexe Gallery.

Antara penaja dan penyokong program yang berlangsung selama 13 hari itu ialah Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dengan beberapa aktiviti diatur seperti bengkel, perbincangan, filem, pameran dan persembahan.

Bagaimanapun penganjuran program tersebut mendapat bantahan keras daripada pelbagai NGO, parti politik serta pertubuhan agama yang menyifatkan program tersebut jijik dan keji.

Dalam konteks parti pula Muhyiddin berkata, UMNO berpandangan penganjuran program seksualiti itu bukan sahaja tidak boleh diterima malah langsung tidak memberi sebarang faedah.

”Saya cukup yakin rakyat Malaysia mempunyai penilaian sewajarnya tentang perkara ini. Perbuatan seperti ini langsung tidak memberi faedah dan tidak memberi sebarang keuntungan. Ia hanya satu program yang membuang masa.

”Apa yang lebih penting program ini jelas tidak selari dengan Islam dan bertentangan dengan adab resam dan budaya masyarakat kita. Bahkan agama lain seperti penganut Kristian turut sama menentang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan tujuan penganjur program itu adalah untuk menunjukkan mereka selari dengan amalan hak asasi manusia berdasarkan prinsip-prinsip antarabangsa.

”Sekali lagi saya nyatakan Malaysia mempunyai nilai, sistem dan agama dan oleh sebab itu penganjuran program berkenaan tidak sesuai langsung. Saya tidak tahu apa faedahnya,” katanya.

Ditanya sama ada wajar kerajaan menghentikan program tersebut beliau berkata, itu adalah hak mereka.

”Tetapi sebagai rakyat, kita harus berfikir apakah kebaikan daripada kegiatan seumpama itu,” katanya.