Oleh Ismail Mina Ahmad – Pengarah Wacana

Insya Allah, pada Sabtu, 12 November 2011 mendatang, bertempat di Moot Court, Kulliyyah Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak, Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), sebuah NGO dakwah Islam, akan mengadakan satu program dalam siri Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah yang bertema: ‘Siyasah Syar‘iyyah Dalam Konteks Religio-Politik Semasa Malaysia’.

Akhir-akhir ini, banyak wacana berkaitan dengan Siyasah Syar‘iyyah dibuat oleh NGO dan juga parti politik. Ini adalah perkembangan keilmuan yang baik. MUAFAKAT juga ingin memberi sumbangan ke arah memahamkan masyarakat mengenai Siyasah Syar‘iyyah dari perspektif ajaran Ahli Sunnah wa al-Jama‘ah dengan merujuk kepada realiti Malaysia dewasa ini, yang mana kedudukan Agama Islam dicabar serta kuasa politik Ummah berpecah dan terhakis.

Kecenderungan mewacanakan Siyasah Syar‘iyyah ini secara aktif sekarang ini dapat dilihat dari dua faktor. Pertama, faktor terdesak, yang dicetuskan oleh sekumpulan orang yang mahu menguasai kekuasaan politik semata-mata kerana politik kekuasaan; sementara kumpulan kedua pula, berteraskan faktor fundamental, yang mahu memelihara keutuhan dan penerusan ajaran Agama Islam yang murni dan mahu memelihara maruah Ummat Islam melalui instrumen kekuatan dan kuasa politik Ummat. Kedua-dua kelompok melihat betapa pentingnya kuasa politik.

Wacana mengenai Siyasah Syar‘iyyah, tidak dapat dipisah dari memahami Maqosid Syari‘ah. Maqosid Syari‘ah mempunyai enam dasar atau Usul yang dinamakan Usul al-Sittah iaitu memelihara Agama, memelihara nyawa, memelihara ‘aqal, memelihara harta, memelihara keturunan dan memelihara maruah. (Sesetengah ‘Ulama’ membahagikan kepada lima sahaja)

Kepentingan dan hubungkait Siyasah Syar‘iyyah dan Maqosid Syari‘iyah dalam konteks memelihara Ummat Islam yang menyangkut kehidupan sosio-budaya-politik yang dirangkum ke dalam Agama, tidak dapat dipisahkan. Ini adalah kerana untuk merealisasikan Maqosid Syari‘ah ia memerlukan suatu mekanisme yang pastinya bersifat siyasah-pentadbiran yakni suatu sikap siyasah dan polisi atau manifesto, yang didominasi oleh keyakinan bahawa Siyasah Syar‘iyyah bertujuan untuk meletakkan dinu’l-Islam di tempat paling tinggi dan bukan untuk menyamakan Islam dengan agama lain atau menyudutkan Islam.

Program yang telah banyak dibuat oleh NGO dan parti politik itu, mempunyai latarbelakang dan tujuan yang berbeza-beza, bahkan parti politik yang terang-terang menolak Syari‘ah pun ghairah membuat program Siyasah Syar‘iyyah ini. Kelompok ini, menghuraikan Siyasah Syar‘iyyah dan Maqosid Syari‘ah dalam bingkai pemikiran dan fahaman liberalsime-pluralisme, justeru menggunakan rasionalisme diabolik, humanisme tanpa Allah dan Syari‘at serta fahaman dan tafsiran agama serba akomodatif dan inklusif bahkan lebur dalam fahaman sesat tersebut, yang meminggir bahkan menolak sifat kekal dalam ajaran Islam dan menafikan hairaki autoriti yang diiktiraf Ummah. Ironisnya, mereka menerima ‘autoriti baru’ dengan memetik sana sini dari buku-buku kontemporari,persis seekor tupai, yang melompat dari satu ranting ke satu ranting yang lain, jika di situ terdapat kepentingan.

Kebetulan pula, dalam Syari‘at Islam, ada konsep Siyasah Syar‘iyyah yang luas,maka Golongan Salibiyyah dari kalangan musuh Islam terutamnya Yahudi dan Kristian menjumpai medan baru untuk melanyak Ummat Islam atas nama perbincangan ‘ilmiyyah pada hal berniat untuk permurtadan. Maka wacana Siyasah Syar‘iyyah ini melalui pasangannya Maqosid Syari‘ah digunakan semahu-mahunya oleh mereka dengan menjadikan orang atau pemimpin beragama Islam yang ghairah untuk kekuasaan, sebagai alat. Maka kelompok ini dengan fahaman sapere aude, menghuraikan Siyasah Syar‘iyyah dan Maqosid Syari‘ah dalam rangka pemikiran tersebut untuk tujuan mencelaru dan memesongkan pemikiran Ummat Islam dengan slogan-slogan dan rhetoric diabolik. Melalui huraian diabolik ini, yang lari dari prinsip atau qawa‘id Fiqah dan sistem pemahamannya, mereka sebenarnya merosakkan epistemologi Islam. Inilah tujuan dan kehendak golongan Salibiyyah kerana akan memudahkan kerja memesongkan halatuju Ummat Islam dan Syari‘ah dari ajaran dan kehendak Islam sebenar. Mereka bukan bertujuan untuk memelihara Agama Islam, tetapi mempunyai niat, agenda dan tujuan peribadi dan kelompok, yang amat diabolik.

Seperti termaklum, salah satu dari Usul atau Dasar Maqosid Syari‘ah ialah memelihara Agama. Dalam konteks memelihara Agama ini ialah memelihara Agama Islam, agar tidak diseleweng, dihakis dan dimasuki anasir perosak. Bagi kelompok Liberalis-Pluralis, mereka lebih menekankan betapa penting memelihara agama bukan Islam, yang sesetengah dari kelompok ini, mengujudkan biro khas untuk memelihara agama bukan Islam. Memelihara Agama dalam Usul atau dasar Maqosid Syari‘ah bermakna memelihara agama Islam, bukan menjaga agama bukan Islam kerana komuniti bukan Islam mempunyai mekanisme tersendiri untuk menjaga agama mereka. Kelompok Liberalis-Pluralis ini amat prihatin dan sibuk menjadi penjaga agama bukan Islam dan membiarkan ‘aqidah Ummat Islam tercemar dan terhakis seperti ternyata dalam sikap mereka kepada ‘Perhimpunan Sejuta Ummat’ baru-baru ini. Sebab itu kita dapati, keluar dari mulut dan tulisan mereka dengan nada sinikal kepada program tersebut yang antaranya mereka berkata gejala pemurtadan ini tidak serius. Ini bermakna mereka rela permurtadan tetapi jangan ramai sangat! Na‘uzubillah.

Seperti semua Ummat Islam yang beriman ketahui, motif perhimpunan tersebut bertujuan untuk mengingatkan Ummat Islam betapa gerakan Salibiyyah ini beroperasi secara agresif menyerang Ummat Islam. Keberanian mereka itu adalah kerana semacam mendapat endosmen dari orang yang mengaku membela Islam, yang mengaku membangun bersama Islam, yang mengaku sebagai jurubicara Ummat Islam, tokoh pencerahan Islam dan macam-macam dakwa diabolik lagi. Mereka inilah yang berpusu-pusu menjunjung perhimpunan BERSIH yang tiada justifikasi ‘Aqidah dan Siyasah serta Maqosid Syari‘ah dan mereka berbangga pula berada di bawah naungan orang bukan Islam seperti Ambiga yang amat jelas menentang Islam dan dengan tegas membela orang Islam yang murtad dan mempertahankan aktiviti seksualiti gila.

Tingkah laku dan sikap seperti ini, yakni menggunakan Siyasah Syar‘iyyah dan Maqosid Syari‘ah dalam bakul diabolisme pemikiran dan penyelewengan huraian, seperti yang disebut oleh Dr. Sa‘id Ramadhan al-Buthi, dalam kitabnya berjudul al-Dowabit, sebagai usaha untuk meruntuhkan Islam melalui agenda besar golongan bukan Islam terutama Yahudi dan Kristian, dalam meneruskan siri Salibiyyah mereka untuk memurtadkan Ummat Islam.

Demikian juga dalam memelihara muruah atau maruah. Siyasah Syar‘iyyah wajar menjadi mekanisme terbaik untuk menjamin maruah Ummat Islam terpelihara dan tidak tercemar. Ada pempimpin orang Islam, menjadi pengikut agenda orang bukan Islam seperti Ambiga, Lim Kit Siang dan golongan Liberalis-Pluralis yang anti Islam. Ini menunjukkan mereka tidak memelihara maruah diri sebagai seorang yang disebut sebagai tokoh pembela atau pemelihara Agama Islam itu. Mereka juga tidak memiliki maruah kerana menyekat dan membuat fitnah kepada ‘Perhimpunan Sejuta Ummat’ yang membela ‘Aqidah Ummat baru-baru ini.

Dalam lingkungan memelihara Agama, termasuklah mengurus dan menjaga segala kepentingan dan kebaikan Syari‘ah dengan optimum yang menyangkut kedudukan ajaran dan Ummat Islam. Kedudukan Agama Islam di Malaysia, sudah ada orang dan kumpulan yang berani mencabarnya. Ia bukan sahaja datang dari orang bukan Islam tetapi juga dari orang yang mengaku sebagai Islam,walaupun jelas kedudukannya dalam Perlembagaan Malaysia sebagai Agama bagi Persekutuan Malaysia. Maka untuk menyekat badai ini, maka mekanismenya ialah memperkukuhkan kuasa politik Ummat Islam kerana ia merupakan salah satu instrument terpenting dewasa ini di Malaysia. Untuk tujuan tersebut, yakni untuk mengekal kekuasaan politik Ummat Islam, tidak lain, melainkan menurut perintah al-Qur’an seperti yang disebut terdahulu ialah Perpaduan Ummat dan hindari perpecahan.

Adalah sesuatu yang amat tragik dalam konteks politik semasa Malaysia, terdapat parti-parti politik berlumba-lumba memberi tawaran-jualan murah kepada pengundi, sehingga terhakis maruah politik dan menjadi ejekan bukan Islam. Bahkan ada sesetengah pemimpin politik yang beragama Islam menjual Agama kepada bukan Islam dengan menyamakan Allah, setaraf dengan tuhan sembahan orang bukan Islam. Perkara ini tidak pernah terjadi dalam sejarah Malaysia selama ini. Mereka ini semua menggunakan Siyasah Syar‘iyyah untuk mewajarkan tawaran murah tersebut kerana perpecahan Ummah yang dalam dan lebar. Barang diingat, mempertahankan ‘izzah dan kemuliaan institusi politik Ummah dan menguasainya secara utuh, merupakan salah satu saluran rahmat Allah SwT .

Mengenai perpecahan Ummat Islam, Al-Qur’an menceritakan kepada kita paras-paras perpecahan. Pada paras keluarga, yang mempunyai ikatan darah, angkara syaitanlah, yang memecah-belahkan keluarga Nabi Ya‘kub ‘a.s yang mana anak-anak Baginda ‘a.s, membuat konspirasi terhadap saudara seibu sebapa mereka. Di zaman Nabi Muhammad sollallahu ‘alayhi wa sallam , Allah menegur sikap sesetengah warga Muslim Madinah yang bertelagah sesama sendiri, yang boleh membawa mereka berada dalam jurang kehancuran. Demikian juga Allah dengan kasih sayang-Nya, menyoal-memperingatkan Ummat Islam dewasa itu, kenapa berpecah dua dalam menghadapi Munafiqin. Kita di Malaysia, perlu sedar dan wajib mengambil iktibar dari situasi yang berlaku dalam masyarakat terdahulu sehingga Allah ‘menegur’ dan ‘campur tangan’ mengenai hal ini. Ini menunjukkan betapa pentingnya kedudukan dan peranan perpaduan dalam menjaga dan memelihara kekuatan serta maruah Ummat Islam.

Maka mekanisme Siyasah Syar‘iyyah dalam skema ajaran Islam Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah yang sebenar sahaja yang dapat menyelesaikan kemelut dan dilema religio-politik Malaysia dewasa ini. Ia dapat menjadi sarana penting, kerana ia merupakan suatu konsep dengan segala instrument paling berwibawa, untuk memperbaiki segala kualiti yang enam itu, seperti yang telah disebut di awal. Penyelesaian secara tuntas, sebelum parah, adalah bergantung kepada cara pemahaman dan pengendalian Siyasah Syari‘ah itu. Pengendalian dengan cara yang bijak dan penuh dengan hikmah Syari‘ah sahaja yang dapat menepati kehendak Maqosid Syari‘ah. Hubaya! Jangan mengulangi seperti yang telah berlaku di depan mata kita.

*******************

[*]   Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah: Siyasah Syar ‘iyyah Dalam Konteks Religio-Politik Semasa Malaysia anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) ini adalah terbuka kepada semua. Pengesahan kehadiran hendaklah dibuat pada atau sebelum 10hb November 2011 melalui kiriman SMS dengan menaip [Nama] [No. KP] [No. Telefon] dan hantar ke 012-650-6404 atau emel maklumat tersebut ke muafakat_malaysia@yahoo.com atau hubungi terus Sdr. A. Karim Omar di talian 019-3199-788. Maklumat lanjut boleh diperolehi dihttp://muafakatmalaysia.wordpress.com