KUALA LUMPUR 18 Nov. – Tindakan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mengagihkan sendiri daging korban kepada masyarakat Islam baru-baru ini membuktikan wujudnya fahaman pluralisme dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, amalan itu jika tidak dibedung boleh mengembangkan lagi fahaman tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggesa perbuatan tersebut dihentikan kerana tindakan itu menjurus kepada pemikiran fahaman liberal dan sekular.

“Jika tindakan yang dilakukan Teresa tersebut dianggap normal, ia dikhuatiri akan mendorong penularan fahaman pluralisme dengan lebih pesat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas tindakan ahli Parlimen itu seperti didakwa beberapa blog baru-baru ini yang boleh mengundang ketidakselesaan kepada umat Islam.

Mohd. Roslan berkata, penularan fahaman pluralisme boleh menyebabkan keadaan huru-hara dan hilangnya rasa hormat terhadap agama Islam.

Baca lagi berkaitan PLURALISME AGAMA (klik)