dari: http://bimbinganmukmin.wordpress.com/

Sebenarnya santapan hati itu ialah hikmat, makrifat dan kecintaan kepada Allah Ta’ala, tetapi hati itu suka berpaling dari tuntutan tabiatnya disebabkan sesuatu penyakit yang menjangkitinya, seperti mengjangkitnya penyakit di dalam tali perut, sehingga perut tidak inginkan makanan atau minuman, padahal kedua-duanya itu adalah punca bagi kehidupannnya.

Begitulah umpamanya bagi setiap hati yang cenderung kepada sesuatu selain Allah Ta’ala maka ia tiada akan terlepas dari penyakit sekadar kecenderungannya kepada barang itu, kecuali jika yang menyebabkan kecenderungan hati kepada barang itu semata-mata kerana menolongnya untuk mencintai Allah Ta’ala dan mencintai agamanya, ketika itu tiadalah bahawa hati itu telah dijangkiti penyakit.

Kalau begitu, kini anda telah mengetahui dengan pasti, bahawa semua budi pekerti yang indah itu boleh diperoleh dengan cara latihan diri. Iaitu mula-mula dengan memaksa diri berbuat semua perbuatan-perbuatan baik itu, sehingga lama-kelamaan menjadi tabiat.

Hal ini terkira antara keajaiban perhubungan antara hati dan anggota-anggota, yakni yang dimaksudkan antara diri dengan badan.

Maka tiap-tiap sifat yang timbul di dalam hati, mestilah membawa pengaruhnya ke atas anggota-anggota, sehingga tiada syak lagi bahawa semua anggota tidak akan bergerak, melainkan menurut kemahuannya. Begitu juga setiap perbuatan yang berlaku pada anggota-anggota terkadang-kadang terpengaruh pula pada hati, dan demikianlah seterusnya perkara itu saling tukar-menukar.