dipetik dari Utusan Malaysia 2 April 2012

SEMINAR anjuran bersama Jabatan Pelajaran dan Jabatan Mufti Johor mengenai pemantapan akidah Islamiyyah dan bahaya fahaman liberalisme dan pluralisme agama serta ancaman kristianisasi-evangelisasi terhadap umat Islam, adalah usaha yang amat menepati firman Allah yang bermaksud : Anda sekalian adalah umat terbaik yang dikeluarkan kepada manusia kerana menyeru manusia kepada yang makruf (baik) dan mencegah kepada yang mungkar (tidak baik).
Menyeru kepada yang makruf ialah mengajak untuk menegakkan tauhid dan ‘akidah Islam, sementara yang mungkar pula adalah berusaha mencegah perkara yang boleh membawa kekufuran dan kesyirikan.
Jabatan Pelajaran dan Jabatan Mufti perlu dipuji kerana melaksanakan tanggungjawab mengikut kehendak Allah dan Rasul-Nya iaitu menjalankan amanah memelihara agama dan umat Islam dari dirosakkan anasir-anasir penghakis dan pemusnah akidah. Ini amat menepati dengan konsep dan tujuan Maqosid Syari’ah iaitu memelihara al-Din atau agama.
Namun, usaha mulia ini yang menjunjung perintah Allah demi memelihara al-Din itu diserang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui kenyataannya pada 28 Mac lalu yang menyifatkan ia sebagai usaha jijik politik dengan menggunakan agama bagi menakut-nakutkan rakyat.
Orang Islam patut menilai kenyataan beliau ini secara serius dari perspektif ajaran Islam dan implikasinya kepada kelangsungan akidah umat yang sohih. Apakah usaha untuk memantapkan akidah Islamiyyah dan menyekatnya dari dirosakkan oleh musuh sebagai usaha jijik?
Saya tidak terkejut dengan kenyataan ini dengan menyedari yang akidah beliau ialah liberalisme dan pluralisme agama dalam erti semua agama adalah sama benar dan sama tara, justeru penganut agama Islam tidak boleh mendakwa yang agama mereka paling benar. Inilah premis berfikir beliau.
Manakah yang sebenarnya jijik? usaha untuk memelihara akidah umat Islam supaya kukuh berpegang kepada akidah Ahli Sunnah wa al-Jama’ah atau pun usaha memurtadkan umat melalui penyebaran fahaman liberalisme dan pluralisme Agama dengan menggunakan dana dan platform Zionis-Kristian antarabangsa?
Sudah pasti mengguna dana dan platform Zionis-Kristian untuk merosakkan akidah dan kesejahteraan umat Islam, bukan sahaja teramat jijik lagi menjijikkan bahkan merupakan pengkhianatan dan jenayah paling berat kepada akidah yang boleh membawa kepada pemurtadan.
Anwar menyelar program itu dan disifatkannya sebagai usaha politik, tetapi, apakah kenyataan beliau yang menyerang penganjur program itu bukan bersifat politik? Pada saya, kenyataan beliau jelas bersifat lebih politik dari politik. Anwar mahu menunjukkan kepada pengundi bukan Islam yang beliau bersama mereka dalam isu kesetaraan agama. Ini adalah agenda golongan liberalis-pluralis.
Kalaulah mahu juga digunakan perkataan politik kepada program yang dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran dan Jabatan Mufti Johor itu, maka saya berpendapat ia adalah program politik kenabian atau Siyasah Nabawiyyah. Ini kerana tujuan program itu memelihara agama Islam dan umatnya dari dirosakkan oleh fahaman Syirik golongan liberalis-pluralis dan Kristian.
Untuk rekod, Jabatan Mufti Johor dan seluruh Jabatan Mufti negeri lain, amat peka dan konsisten dalam memelihara umat Islam dari terjebak ke dalam ajaran yang boleh merosakkan akidah. Pada tahun 80an, mereka mengadakan program membendung ajaran Syi’ah dan fahaman Wahhabiyah dan kini program menangani gejala fahaman liberalisme-pluralisme dan kristianisasi-evangelisasi pula.
Kenyataan Anwar bahawa penganjur menggunakan agama bagi menakut-nakut rakyat adalah teramat anti agama dan anti al-Quran. Memang, salah satu dari sifat dakwah Islam dan al-Quran ialah nazir iaitu memberi khabar menakutkan manusia yang melakukan kesalahan berkaitan aktiviti kemunafikan, kemaksiatan, kemungkaran, pemurtadan dan kekufuran, dengan ancaman seksa pedih dalam neraka.
Maka amat tepat, relevan dan wajar, penganjur program tersebut menegaskan semula dan memperingatkan masyarakat Islam dengan menekankan ancaman liberalisme-pluralisme dan kristianisasi-evangelisasi yang menjadi agenda pemurtadan di kalangan orang Islam. Al-Quran sendiri menyatakan dan mengingatkan kita mengenai ancaman gerakan Yahudi dan Kristian. Mereka itu semua tidak akan tidur lena selagi umat Islam tidak dimurtadkan.
Bagi liberalis-pluralis, mereka tidak takut kepada ancaman kristianisasi-evangelisasi, kerana bagi mereka, apa pun pegangan agama seseorang itu, asalkan mereka percaya kepada tuhan yang satu, yang sama, maka mereka semuanya akan selamat memasuki syurga Tuhan, tanpa mengira apakah dia seorang Islam atau kristian pada entiti zahir seperti pegangan Hossein Nasr dan Anwar.
Dengan pegangan ini, bagi golongan liberalis-pluralis, tidak ada konsep iman dan kufur dan tidak ada konsep murtad seperti yang diijmakkan dalam Islam. Sebab itu liberalis-pluralis tidak melihat usaha mengeluarkan orang Islam dari agamanya sebagai suatu ancaman permurtadan, sementelah pula Prof. Osman Bakar dari Institut Antarabangsa Bagi Pengajian Islam menolak adanya pemansuhan Syari’at Muhammadiyyah terhadap syariat Rasul-Rasul terdahulu.
Perlu dimaklumi bahawa konsep ancaman adalah suatu kaedah baku dalam memelihara kemurnian peraturan dan undang-undang dalam mana-mana sistem hidup di dunia ini seperti ancaman hukuman bunuh mandatori jika sabit kesalahan membunuh orang atau ancaman penjara kepada peliwat atau perasuah dalam undang-undang Malaysia.
Maka adalah suatu kewajipan penganjur program pemantapan akidah di Johor itu menerangkan mengenai ancaman fahaman liberalisme-pluralisme dan aktiviti kristianisasi-evangelisasi kepada umat Islam. Program itu menepati kaedah agama iaitu kewajipan pihak yang diamanahkan menjaga kemurnian akidah dan agama, menyekat punca yang membawa kepada kerosakan agama iaitu: saddu’z-zara’i wajib.
Jika program yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti dan pihak berkuasa agama negeri untuk menjaga kemaslahatan umat dituduh sebagai bermain politik, maka apa program yang patut dibuat oleh mereka? Logik dari kritikan Anwar itu adalah dibiarkan sahaja ajaran sesat dan menyeleweng berleluasa di kalangan masyarakat Islam.
Tindakan tidak boleh diambil kepada penyebar ajaran yang difatwakan sesat seperti ajaran Aurat Muhammadiyyah tajaan al-Arqam; Aurat Ismailiyyah, tajaan Mahmud Sik atau Mahmud Majzub (difatwa sesat oleh Majlis Fatwa Kerajaan Kedah beberapa dekad dahulu dan kemudian oleh Kerajaan PKR Selangor, baru-baru ini ); ajaran Ahmad Laksamana (difatwa sesat oleh Kerajaan Pas Kelantan); ajaran Tariqah Maryamiyyah tajaan Sayyed Hossein Nasr dan fahaman liberalisme-pluralisme tajaan Anwar dan IKD-nya (yang juga difatwa sesat) kerana jika diambil tindakan, ia dituduh bersifat politik, apa lagi jika kebetulan penganut ajaran sesat itu penyokong mereka.
Maka implikasi dari sikap ini adalah tidak perlu ada undang-undang yang menyekat penyebaran ajaran sesat dan perlu dicabut undang-undang sedia ada yang melarang penyebaran agama selain Islam di kalangan umat Islam. Beliau konsisten dengan pendirian liberalnya seperti dalam kes Lina Joy, sebatan kepada Kartika, undang-undang mengenai LBGT, penggunaan kalimah Allah dan sebagainya.
Serangan kepada program di Johor itu hakikatnya adalah sebahagian daripada agenda golongan liberalis-pluralis untuk meneutralisasi pemikiran dan pegangan akidah umat Islam, yang destinasi akhirnya adalah menegakkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama. Ini adalah proses pemurtadan tanpa perlu ke gereja! Na’uzubillah.
2 comments
Comments feed for this article
6 April, 2012 at 12:29 pm
Mansal Damha
Ayat 51 dan 52 dari Surah Al-Maidah adalah merupakan beberap ayat yang tepat bagi menjawab hal-hal yang berkaitan dengan keadaan yang berlaku sekarang – khususnya mengapa plurasime kian disebarluaskan dan mengapa kita semua, sebagai ummah mesti memberikan perhatian bersungguh terhadap anasir perosak akidah dan perpecahan ummah. – Uncle M
18 June, 2014 at 11:11 am
Apa Catatan Pada Akhir Hayat Kita? | Karim's Blog
[…] Liberalisme, Pluralisme Agama dan ancaman Kristianisasi […]