Tonton rakaman video sidang media di sini.

KENYATAAN MEDIA

ALUMNI ESQ165 INGIN MENGESA MAJLIS FATWA KEBANGSAAN MEMBUAT KEPUTUSAN FATWA SESEGERA MUNGKIN KE ATAS KEDUDUKAN MODUL TRAINING ESQ165 

Kami alumni ESQ 165, bekas pekerja dan bekas jurulatih ingin menggesa pihak yang berwajib yakni Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan membuat keputusan segera ke atas modul training ESQ165 yang sedang dijalankan di Malaysia semenjak hampir 6 tahun. Sehingga hari ini, dianggarkan alumni dari Malaysiayang telah menjalankan training tersebut secara “in-house” dan terbuka (public) sudah mencecah 100, 000 orang.

Kami mengakui segala kebenaran yang telah difatwakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan pada 17 jun 2010 . Hampir satu tahun lebih kami telah menyedari akan kesesatan aqidah yang diselitkan di dalam modul training ESQ165. Kami telah berjumpa dengan S.S Datuk Mufti bagi mendapatkan penjelasan dan akhirnya telah mendapati beberapa kepincangan aqidah sememangnya wujud di sepanjang pelatihan tersebut.

Keputusan segera diperlukan memandangkan semakin hari perlatihan ini semakin bertambah serta menular masuk ke suruhanjaya/kementerian/badan berkuasa penting di Malaysia seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tentera, polis dan kastam serta Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta (IPTS) walaupun setelah tarikh pengharaman training ESQ165 di Wilayah Persekutuan kerana pengisiannya didapati menyeleweng dari ajaran Islam kerana mengandungi ajaran-ajaran yang boleh merosakkan akidah dan syariah Islam.

Majlis Fatwa Kebangsaan telah membuat keputusan bahawa training ESQ165 boleh dijalankan dengan syarat ianya dipantau. Persoalan kami, setelah hampir dua tahun keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan dan Fatwa Wilayah Persekutuan dikeluarkan :

1.Siapakah yang memantaunya?

2.Jika ada pihak yang memantau, siapakah yang melantik pemantau tersebut?

3.Di manakah laporan pemantauan tersebut?

4. Apakah hasil daripada pemantauan itu?

Kami amat berharap segala kajian dan pemantauan dijalankan secara terperinci, telus dan dilakukan oleh mereka yang benar-benar berkelayakan sepertimana yang telah dilakukan oleh pihak Mufti Wilayah Persekutuan. Apa yang kami khuatiri masih terdapat beberapa unsur kebathilan yang diselitkan bersama kebenaran di dalam buku ESQ165 serta modul trainingnya.

Kami juga ingin mempersoalkan mengapa buku training ESQ165 hanya diubahsuai di Malaysia dan bukan secara keseluruhan di Indonesia dan di negara lain? Jadi di manakah kedudukan aqidah pembawa ilmu itu sendiri iaitu Ary Ginanjar Agustian sebagai pengasas dan tenaga pengajar/jurulatih modul training ESQ165 ini?

Pihak kami berharap dengan penilaian dan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan akan melepaskan kami dari terlibat mengheret rakyat Malaysia ke kancah kesesatan aqidah, apatah lagi kami juga berpandangan terdapatnya kesamaan ketara unsur-unsur al-Arqam dan al-Ma’unah di dalam organisasi dan modul-modul ESQ165, yang mana ini berpotensi mengancam keselamatan negara.

Wassalam.

BEKAS PEKERJA , BEKAS PELATIH DAN ALUMNI ESQ 165

20 APRIL 2012

28 JAMADILAWAL 1433 H