KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) — Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) tidak memerlukan perintah mahkamah untuk merampas buku “Allah Liberty & Love – Courage To Reconcille Faith & Freedom” karya penulis kontroversi, Irshad Manji berikutan kandungan yang menyalahi hukum syarak.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasa Jawi Wan Jaafar Wan Ahmad berkata serbuan dua hari lepas itu dibuat mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan, yang meliputi penerbitan bertentangan hukum syarak.

“Tidak perlu court order (perintah mahkamah). Kita bukan menggeledah. Kita hantar perintah untuk hadir membantu siasatan. Sebelum kita datang untuk merampas pun kita telah hantar risikan untuk mencari buku tersebut.

“Kalau seseorang itu kena tuduh dan perlu hadir di mahkamah, baru perlunya order of court,” katanya ketika dihubungi Bernama Jumaat.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan penerbit buku kontroversi itu ZI Publications yang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Jawi susulan rampasan yang dibuat di sebuah kedai buku tersebut.

— BERNAMA