dipetik dari: utusan.com.my

KUALA LUMPUR 22 Okt. – Malaysia tidak pernah diputuskan atau diisytiharkan sebagai sebuah negara sekular malah perkataan itu langsung tidak disebut di mana-mana bahagian Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan dan perkara itu diperkukuhkan dengan peruntukan-peruntukan lain.

Katanya, kedudukan Malaysia adalah berbeza dengan negara sekular seperti Amerika Syarikat, India dan Turki yang secara jelas memperuntukkan elemen sekular di dalam Perlembagaan mereka.

Berhubung kes Che Omar Che Soh lawan pendakwaraya pada tahun 1988, Mohamed Nazri berkata, Mahkamah Agung tidak pernah memutuskan atau mengisytihar negara ini sebagai sebuah negara sekular.

Bagaimanapun, perkara yang diputuskan adalah undang-undang sekular terus terpakai di Malaysia berdasarkan Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan.

“Sungguhpun begitu, didapati bahawa di bawah Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan, perkataan yang digunakan untuk merujuk kepada undang-undang yang digubal sebelum Hari Merdeka ialah ‘undang-undang yang sedia ada’ (existing laws) dan bukannya ‘undang-undang sekular’,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan John Fernandez (DAP-Seremban) yang bertanya adakah Malaysia masih lagi merupakan negara sekular, selaras dengan keputusan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dalam kes Che Omar Che Soh lawan Pendakwaraya (1988).

Menurut Mohamed Nazri, kedudukan Islam yang istimewa berbanding dengan agama-agama lain turut diiktiraf dalam kes-kes yang telah diputuskan di mahkamah tertinggi negara termasuk dalam kes Lina Joy melawan Majlis Agama Islam dan lain-lain (2007).

“Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Ahmad Fairuz telah merujuk kes Che Omar Che Soh yang mengiktiraf bahawa Islam itu bukan sahaja suatu himpunan dogma dan ritual tetapi adalah suatu cara hidup yang lengkap.

“Islam itu merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian atau awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman,” katanya.