Oleh ZAINUL RIJAL ABU BAKAR – Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

KEKELIRUAN sering timbul apabila seseorang itu bercakap tentang Perlembagaan. Bukan sahaja di kalangan rakyat awam tetapi ada juga sesetengah golongan yang mempunyai latarbelakang perundangan masih keliru dengan peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen undang-undang utama negara, ia tidak hanya harus dibaca secara tersurat tetapi apa yang tersirat juga memainkan fungsi yang penting di dalam memahami Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan ini sebenarnya mengabsahkan susun atur masyarakat sebelum kemerdekaan lagi. Ia bukan wujud secara kebetulan sahaja. Ia juga merupakan dokumen toleransi ansur antara kaum di Malaysia berdasarkan prinsip ‘jus soli’.

Malah Suruhanjaya Reid yang menggubal Perlembagaan Persekutuan ini menerima banyak memorandum daripada segenap lapisan masyarakat yang menyuarakan hak yang mereka inginkan dalam sebuah negara merdeka.

Selagi Perlembagaan Persekutuan berkuatkuasa, setiap rakyat Malaysia perlu menerima keluhuran Perlembagaan Persekutuan ini mengikut kerangka dan skema yang ada berdasarkan kepada tafsiran-tafsiran yang telah diputuskan oleh mahkamah dari masa ke semasa.

Sebelum Perlembagaan itu sendiri wujud, sebenarnya telah ada undang-undang, sama ada yang berkuatkuasa sebelum kedatangan penjajah ataupun yang digubal semasa penjajahan itu sendiri oleh pihak penjajah. Beberapa peruntukan yang khusus mengenai undang-undang Islam juga telah terlaksana di Tanah Melayu.

Sebagai contoh, Undang-Undang 99 Perak dengan tegas menyatakan jika didirikan hukum Quran dengan undang-undang di dalam negeri nescaya amanlah isi negeri. Malah barang siapa yang tidak mengikut hukum tersebut hendaklah di luar negeri atau di dalam hutan. Pemerintah pula hendaklah memakai al-Quran sebagai panduan dan kegagalan menggunakannya tidak boleh memerintah negeri.

Menurut pakar undang-undang Perlembagaan tanah air terdapat tujuh ciri asas yang menjadi tulang belakang perlembagaan itu sendiri di dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu;

1. Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

2. Malaysia sebagai sebuah negara Persekutuan

3. Perlembagaan sebagai undang-undang utama Persekutuan

4. Pengasingan kuasa eksekutif, parlimen dan kehakiman

5. Raja berperlembagaan

6. Demokrasi berparlimen

7. Badan kehakiman yang terpisah dari penguasaan parlimen dan eksekutif.

Ketujuh-tujuh ciri asas ini tidak boleh dihakis daripada Perlembagaan kerana ia akan merosakkan teras Perlembagaan itu sendiri. Malah ketujuh-tujuh ciri ini hendaklah dipertahankan satu persatu oleh semua pihak, sama ada pemimpin ataupun rakyat sendiri.

Sebarang usaha untuk menyahkan ciri asas ini akan dilihat sebagai menongkah arus dan membawa negara kepada kekacauan kerana kerangka Perlembagaan itu sendiri telah dipersetujui sejak dahulu lagi. Pemansuhan ciri asas ini perlulah mendapat persetujuan daripada semua pihak yang terlibat seperti Raja-Raja Melayu, Kerajaan dan juga rakyat pelbagai kaum terutamanya orang Melayu yang merupakan anak watan negara.

Jika diteliti sebenarnya terdapat begitu banyak peruntukan yang berkaitan dengan Islam dan hak orang Melayu disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan. Antaranya; Islam sebagai agama bagi Persekutuan, hak kebebasan menganut, mengamal dan menyebarkan agama Islam, menggunakan dana awan bagi tujuan Islam, kedudukan terpelihara mahkamah syariah, pengecualian penolakan undang-undang Islam ketika darurat serta penetapan hal ehwal Islam terletak dalam bidangkuasa negeri.

Islam bukan sekadar agama rasmi sahaja tetapi ia adalah agama bagi Persekutuan. Implikasi agama bagi Persekutuan ini adalah berbeza dengan agama rasmi. Hal yang demikian dijelaskan oleh Hakim Mohd Noor di dalam penghakimannya di dalam kes Meor Atiqurrahman mlwn Fatimah Sihi dan Hakim Ahmad Fairuz memutuskan dalam kes Lina Joy mlwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. (lihat fakta)

Menerusi kedua-dua penghakiman di atas, kedudukan Islam adalah jelas tersurat. Oleh itu konsep negara sekular sebagaimana yang dicanangkan oleh sesetengah pihak adalah tidak berlandaskan kepada Perlembagaan itu sendiri. Apatah lagi perkataan sekular itu sendiri tidak wujud di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Berbanding dengan kes terdahulu yang sering dirujuk bagi menyokong dakwaan Malaysia adalah negara sekular di dalam kes Che Omar bin Che Soh mlwn PP yang telah dikesampingkan oleh penghakiman- penghakiman yang lebih terkini.