oleh: Prof. Madya Dr. Shamrahayu A Aziz
Pada minggu lalu saya menyebut mengenai tanggungjawab setiap warga negara untuk menghormati undang-undang yang sah dan sedang berkuat kuasa. Tanggungjawab itu adalah inti pati kepada prinsip kedaulatan undang-undang yang juga sebahagian daripada falsafah negara. Prinsip ini juga dimaktubkan sebagai Rukun Negara.
Kita tahu mengenai sejarah pengenalan Rukun Negara. Kita juga sedar bahawa Rukun Negara adalah inspirasi kepada kesinambungan dan kelangsungan negara. Isi kandungannya bersumberkan Perlembagaan Persekutuan. Dalam kata ringkas, sebagai warga negara yang bertanggungjawab, Rukun Negara itu hendaklah dihormati dan menjadi amalan dalam apa juga situasi.
Tanggungjawab semua warga negara
Undang-undang yang ada di negara ini, sama ada yang terpakai kepada semua warga negara atau yang hanya terpakai kepada sebahagiannya saja seperti undang-undang Islam, hendaklah dihormati oleh setiap warga negara. Pada minggu lalu, saya juga merujuk kepada tanggungjawab setiap warga negara menghormati undang-undang Syariah yang melarang penggunaan kalimah Allah. Undang-undang ini begitu jelas dan ia bukanlah fatwa yang dikeluarkan oleh mufti.
Maka, sekiranya ia adalah undang-undang yang sah, maka setiap diri yang mencintai tanah air ini hendaklah menghormatinya. Hujah bahawa undang-undang syariah tidak terpakai ke atas orang bukan Islam maka undang-undang itu tidak perlu dipatuhi oleh orang-orang bukan Islam tidak layak untuk diterima.
Sekiranya hujah ini diterima, ia akan mendatangkan bahaya bukan kepada sistem perundangan tetapi juga kepada kesinambungan sistem masyarakat kita. Sistem yang kita amalkan di negara ini sarat dengan sifat toleransi, saling menghormati serta pengorbanan.
Dalam konteks ini, adalah menjadi tanggungjawab moral untuk menghormati undang-undang. Walaupun tiada persoalan perundangan tanggungjawab itu perlu dituntut demi kelangsungan sistem perundangan dan sistem kemasyarakatan di negara tercinta ini. Kita harus sedar bahawa baik sistem perundangan atau sistem kemasyarakatan yang kita cipta sejak dulu sudah berupaya memberikan kita kemakmuran yang boleh dibanggakan.
Kemakmuran yang kita kecapi itu adalah hasil pengorbanan besar banyak pihak. Jika ditanya kepada orang Islam sendiri, pelbagai pengorbanan yang sudah mereka lakukan demi kemakmuran negara ini.
Bukan Islam patut faham
Umpamanya, undang-undang yang membabitkan hukuman Islam dalam pelbagai kesalahan jenayah adalah antara pengorbanan umat Islam di negara ini. Ini bukan berkaitan hudud semata-mata, tetapi ia juga membabitkan hukuman qisas dan takzir.
Pada pendapat saya, inilah sebesar-besar pengorbanan umat Islam di negara ini yang perlu difahami dan dihargai. Perlulah dinyatakan dengan jelas di sini bahawa dalam ajaran Islam kegagalan mengamalkan perkara sebegini memberi implikasi besar ke atas hubungan seorang Islam dan agamanya. Ia membabitkan soal keimanan dan kepercayaan orang Islam kepadanya. Ia membabitkan soal aqidah, iaitu perkara yang begitu penting bagi orang Islam.
Saya fikir, dalam kemelut beberapa perkara ketika ini, termasuklah pelbagai hal berkaitan hak asasi, sebahagian masyarakat bukan Islam, terutama golongan yang sering mempersoalkan kedudukan agama Islam serta undang-undangnya harus menyedari mengenai perkara ini.
Berbalik kepada konsep kedaulatan undang-undang dan tanggungjawab moral yang disebut di atas, adalah juga penting supaya tiada pihak mengambil peluang atas kelemahan orang lain. Maksud saya di sini, sekiranya sesuatu perkara itu jelas diperundangkan dan menjadi sebahagian daripada perundangan negara, maka kelemahan pihak lain tidak boleh dijadikan peluang untuk melanggar undang-undang berkenaan.
Kembang ajaran bukan Islam satu perbuatan jenayah
Perbuatan mengembangkan ajaran bukan Islam kepada kalangan orang Islam adalah satu perbuatan jenayah. Saya tidak bermaksud menyatakan soal keimanan orang Islam itu tidak penting, tetapi apa yang saya maksudkan ialah, kelemahan orang Islam itu tidak harus diambil kesempatan oleh pihak lain. Ini juga satu prinsip kebebasan beragama yang disebut dalam instrumen antarabangsa.
Prinsip kedaulatan itu begitu penting untuk difahami dengan lebih baik dan sedikit berbeza dalam negara kita yang mengamalkan dua sistem perundangan itu. Ini bagi membolehkan sistem kita mampu mencapai hasrat sebenar negara ini.
Penulis Profesor Madya di Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM
sumber: Berita Harian
Leave a comment
Comments feed for this article