KUALA LUMPUR, 21 Mac – Setiausaha Agung Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), A. Karim Omar menyatakan bahawa pendakyah Kristian telah bersumpah dan berjanji untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Pelangi’ atau ‘Rainbow Nation’.

Beliau berkata demikian selepas menterjemahkan maksud di sebalik tulisan dalam Dekri untuk Malaysia, iaitu beberapa helaian dokumen yang ditemui oleh Ustaz Muhammad Al-Amin di Palestin pada penghujung tahun lalu.

Antara tulisannya ialah “We decree and declare that Malaysia will be a “Rainbow Nation”…

Dalam terjemahannya pula, “Kami dekri dan mengisytiharkan bahawasanya Malaysia akan menjadi sebuah ‘Negara Pelangi’….

Jelas Encik Karim, yang dimaksudkan dengan ‘Negara Pelangi’ ialah mempelbagaikan bangsa dan agama serta hak bangsa dan agama.

Namun begitu, pelangi itu hanyalah sebagai metafora dalam menjelaskan bahawa di Malaysia terdapat pelbagai bangsa dan agama yang hidup dalam keadaan harmoni.

“Sebaliknya jika difahami dan dikaji dengan lebih terperinci, ia menunjukkan penganut Kristian ini  mahu menjadikan semua agama adalah setaraf iaitu tiada yang lebih dan tiada yang kurang.

“Jika begitu, ia sangat bercanggah dalam perlembagaan negara. Yang jelas paksi negara kita ialah Islam, bukan agama lain.

“Tiada masalah jika mereka mahukan keharmonian antara semua bangsa, namun yang menjadi permasalahan apabila mereka mahukan penyamarataan antara semua bangsa dan agama,” ujarnya.

Jelasnya lebih lanjut, memetik kepada kenyataan pakar undang-undang, Profesor Dr Abdul Aziz Bari, hakikatnya kita boleh mengatakan bahawa negara ini telah disyahadahkan dengan kalimah Islam sebagaimana tertulis dalam Perkara 3 (1) iaitu Islam adalah agama Persekutuan Malaysia sekaligus telah membatalkan ciri-ciri sekularnya.

Justeru terpulang kepada kita untuk mengisi kerangka itu dengan apa yang dituntut oleh Islam.

Selain itu, merujuk kes Meor Atiqulrahman melawan Fatimah Sihi dan lain-lain, Hakim Mohd Noor Abdullah ada menyatakan bahawa Islam ialah agama bagi persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan secara aman dan damai.

“Islam adalah agama utama di antara agama-agama lain yang dianuti di negara ini seperti Kristian, Buddha dan Hindu.

“Islam bukan setaraf dengan agama lain yang mana tidak duduk berganding bahu dengan agama lain atau berdiri sama sama tegak. Ia duduk di atas, berjalan dahulu, terletak di tempat medan, dan suaranya lantang kedengaran.

“Hanya Islam yang boleh lantang, Islam ibarat pokok jati iaitu tinggi, teguh, dan terang.

“Jika bukan sedemikian, Islam bukanlah agama bagi persekutuan, tetapi adalah salah satu di antara beberapa agama yang dianuti di wilayah ini, dan setiap orang sama-sama bebas mengamalkan mana-mana agama yang dianuti. Tiada lebih di antara satu sama lain,” jelasnya.

Maka tegas Encik Karim, inilah antara penghujahan yang boleh digunakan dan jelas bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang mulia dan tidak boleh disamaratakan dengan mana-mana agama lain.

“Jadi mana mungkin pendakyah Kristian mahu menyamaratakan agama kerana sudah jelas dalam peruntukan perlembagaan negara Perkara 3 (1) iaitu Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan,” kata beliau semasa ditemui wartawan ISMA.

Bagaimanapun, beliau tidak menuduh kumpulan Kristian tertentu sebagai pihak yang bertanggungjawab kerana dokumen yang ditemui oleh Ustaz Amin tidak diketahui siapakah pemiliknya.

dipetik dari: http://www.ismaweb.net/v4/2013/03/kristian-mahu-isytihar-malaysia-sebagai-rainbow-nation/