KUALA LUMPUR 27 Jun (Utusan) – Bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin yang mempunyai imaginasi sangat melampau kerana masih ingin menjadi Perdana Menteri meskipun parti pimpinannya kalah dalam pilihan raya umum lalu.

Menurutnya, dalam satu pertemuan bersama Ketua Pembangkang tersebut selepas pengumuman keputusan pilihan raya, beliau telah memberitahu Anwar bahawa Malaysia mengamalkan sistem undi elektoral, yang mana parti menang akan membentuk kerajaan dan melantik Perdana Menteri.

“Malangnya, Anwar ego, imaginasinya sangat melampau-lampau, beliau tetap mahu jadi Perdana Menteri. Saya memberitahunya, kamu sudah gila? Mana mungkin menjadi Perdana Menteri sedangkan hanya menang 89 kerusi Parlimen walhal Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) menang 133.

“Tolong beri saya jawapan atas dasar apa kamu boleh jadi Perdana Menteri kerana kamu sendiri tahu hanya menang 89 walhal Najib menang 133. Kami bertengkar dan akhirnya Anwar berfikir juga,” katanya seperti dipetik daripada portal berita Merdeka Online di http://merdeka-online.com/home/wawancara- penuh-jusuf-kalla/ baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Jusuf mendedahkan, perhimpunan Blackout 505 yang digerakkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dibiayai beberapa pihak, khususnya dari Turki, Washington, Amerika Syarikat; Filipina serta kemungkinan Thailand dan China.

Katanya, pemberi dana yang besar itu datang dari sebuah syarikat besar di Filipina dan Turki untuk membantu aktiviti perhimpunan bantahan tersebut.

“Mereka tidak boleh menyembunyikan diri kerana rakan-rakan bisnes kita ketahui siapa mereka. Isunya untuk apa membuat perhimpunan tersebut jika hanya memberi keuntungan kepada musuh-musuh Islam dan orang Melayu?

“Saya sendiri bertanya kepada Anwar, apakah kamu boleh mengawal parti DAP?. Anwar terdiam dan tidak dapat memberikan jawapan dengan jelas, ternyata beliau ada masalah untuk mengawal ahli-ahli Parlimen dari parti lain,” katanya.

Menurut Jusuf, beliau terfikir bahawa tindakan Anwar mengadakan perhimpunan haram itu hanya sia-sia, melainkan menguntungkan sebelah pihak iaitu musuh-musuh Islam.

Berhubung pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah, beliau berkata, terdapat campur tangan daripada pihak-pihak tertentu di Filipina, kawan-kawan Anwar seperti Joseph Estrada dan sebuah syarikat besar di negara itu yang memberikan sokongan kewangan dalam pencerobohan tersebut.

“Tujuan mereka satu sahaja iaitu untuk melemahkan kerajaan Malaysia. Mereka yang menceroboh itu mahu menunjukkan kepada dunia luar bahawa kerajaan Malaysia lemah dan gagal menangani isu tersebut,” katanya.

dipetik dari:
© Utusan Melayu (M) Bhd