fatwa antisyiah kedah UM19Jul2013

ALOR SETAR 18 Julai – Kerajaan negeri akan mewartakan sekatan penyebaran syiah dalam usaha membendung penularan ajarannya dalam kalangan penduduk negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, kewujudan fatwa tersebut juga akan membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan demi menyelamatkan akidah umat Islam.

Katanya, fatwa berhubung larangan terhadap ajaran itu belum dikeluarkan walaupun Majlis Fatwa Kebangsaan meminta masyarakat Islam berpegang teguh kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Saya mendapat laporan bahawa ajaran syiah ini semakin merebak dan menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam yang berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah. Penduduk Kedah termasuk institusi pengajian agama pondok turut bimbang tentang ajaran ini.

“Jadi penting bagi kita menggazet fatwa ini di peringkat negeri walaupun ajaran syiah ini belum sampai ke luar kawalan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darulaman di sini hari ini.

Menurut Mukhriz, sebagai langkah permulaan, beliau akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad dalam masa terdekat berhubung perkara itu.

“Saya akan berbincang dengan Mufti Kedah tentang perkara yang akan dilakukan. Harapan saya adalah perkara ini akan diusulkan kelak dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang,” katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan tentang ajaran syiah itu yang dikatakan sedikit sebanyak mengugat institusi kekeluargaan dalam kalangan penduduk negeri itu.

“Saya dimaklumkan apabila berlaku kematian ada insiden jenazah ahli keluarga ini diambil oleh pihak tertentu untuk disemadikan mengikut ajaran syiah, ini sudah tentu bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Setelah digazetkan, pada peringkat awal selain daripada penguatkuasaan, kita akan berusaha membetulkan akidah pihak yang tersesat ini dahulu sebelum ambil tindakan serius,” katanya.

Dalam perkembangan lain, kata Mukhriz, kerajaan negeri akan melakukan penstrukturan semula Kulim Technology Park Corporation Bhd. (KTPCB), dalam usaha melakukan penambahbaikan terhadap organisasi tersebut termasuk menarik lebih banyak pelabur ke Kulim Hi-Tech Park.

“Kita sedang mengambil kira pelbagai opsyen tentang bagaimana untuk mengusahakan perkara ini. Antaranya supaya tarikan ke atas pelabur ke kawasan ini lebih berkesan, selain memikirkan cara terbaik untuk memenuhi piawaian pelabur tersebut,” katanya.

sumber: Utusan Malaysia 19 Jul 2013