KUALA LUMPUR 17 Ogos (Mingguan Malaysia) – Strategi licik ‘kontekstualisasi’ iaitu mengekalkan identiti serta nilai-nilai kehidupan asal seseorang yang beragama Islam sedang giat disebarkan di negara ini untuk mendorong orang Melayu murtad.

Setiausaha Agung Pertubuhan Muafakat Sejahtera Malaysia (Muafakat), A. Karim Omar berkata, strategi halus untuk mengkristiankan orang Melayu itu membolehkan golongan berkenaan berterusan berada dekat dengan kehidupan serta keluarga masyarakat Islam.

UM-strategi licik murtad org melayu -AKOMenurut A. Karim, strategi itu bukan lagi rahsia kerana satu kajian di peringkat ijazah doktor falsafah mengenai kehidupan masyarakat Melayu Kristian di Malaysia telah dilakukan oleh seorang paderi di Amerika Syarikat (AS).

“Paderi ini telah menemubual sekitar 20 orang Melayu yang menjadi Kristian dan antara penemuannya di dalam kajian itu adalah tiada tanda salib atau Bible dalam rumah orang terbabit.

“Selain itu, ada antara golongan murtad itu mengaku mengikut ayah pergi ke masjid, berpuasa serta solat di rumah macam orang Muslim biasa,” katanya dalam Wacana Agenda Kristian Sedunia: Rujukan Khas Malaysia di sini hari ini.

Program wacana yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim), Dr. Asyraf Wajdi Dusuki itu anjuran Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) dan Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM).

Tambah A. Karim, kaedah kontekstualisasi digunakan oleh golongan terbabit sebagai ‘gerakan dalaman’ agar selesa dengan keadaan murtad dan tidak kehilangan identiti asal sehingga terpisah daripada masyarakat.

Katanya, teologi untuk orang Kristian Melayu sedang dibina dan turut merangkumi amalan seperti cara solat, puasa 30 hari bulan Ramadan dan adat resam seperti makanan.

“Sebagaimana yang berlaku di Indonesia, ada antara gereja di sana mengubah waktu berhimpun pada hari Ahad kepada hari Jumaat untuk mirip kepada amalan orang Islam,” katanya.

A. Karim memberitahu, beliau tidak mempunyai anggaran golongan yang menjadi gerakan dalaman di Malaysia, namun jumlahnya di seluruh dunia adalah sekitar 400,000 orang.

“Pada tahun 1960-an, ada seorang paderi mengaku begitu sukar untuk mengkristiankan orang Melayu, namun dengan menggunakan strategi kontekstualisasi serta perkembangan teknologi komunikasi maklumat (ICT), mereka mendapat momentum baharu,” katanya.

A. Karim berharap kerajaan tegas dalam membendung penyebaran ajaran agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam kerana perkara itu amat bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Semua pihak ada peranan untuk mengekang perkara ini dan saya berharap jangan hanya melihat dari sudut politik sehingga ajaran agama Islam yang sebenar tergadai,” katanya.

Sementara itu, dalam taklimat berasingan, A. Karim mengingatkan orang ramai mengenai Resolusi Perhimpunan Christian Federation Malaysia (CFM) pada Februari 1987 yang mahu lebih ramai ahli politik dari kalangan pemimpin Kristian.

“Umat Islam di negara ini perlu bersatu untuk menghalang Malaysia daripada menjadi sebuah ‘Negara Pelangi’ yang mana kedudukan Islam tersisih kerana penyamarataan hak semua bangsa dan agama,” katanya.

*******

1. Mungkin lebih sesuai ayat-ayat di atas disebut sebagai (bold tambahan saya):

a. Strategi licik ‘kontekstualisasi’ dan ‘insider movement’ iaitu mengekalkan identiti serta nilai-nilai kehidupan asal seseorang yang beragama Islam sedang giat disebarkan di negara ini untuk mendorong orang Melayu murtad.

b. …  strategi itu bukan lagi rahsia kerana satu kajian di peringkat ijazah doktor falsafah mengenai kehidupan masyarakat Melayu Kristian di Malaysia telah dilakukan oleh seorang paderi Malaysia di sebuah universiti Amerika Syarikat (AS).

2. Lima (5) peranggan terakhir artikel di atas tidak terbit dalam versi cetak.