Azril Mohd Amin, Naib Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) –http://azrilmohdamin.com– berpendapat tuntutan nama Allah yang berselindung di sebalik istilah demokrasi dan hak asasi manusia merupakan salah satu cabaran besar umat Islam yang berlaku pasca zaman reformasi 1998.

“Di Malaysia, mungkin mereka gunakan pendekatan lain. Mereka berselindung di sebalik istilah-istilah demokrasi dan hak asasi manusia. Tapi secara tidak langsung kebelakangan ini kita lihat mereka cuba menghakis kedudukan Islamdan mengelirukan masyarakat.

“Saya dulu pun terlibat secara langsung dalam reformasi. Kami juga berada di barisan hadapan, berdemonstrasi menentang kerajaan dan sebagainya.

“Tapi kita tersedar bahawa ‘eh..terlampau banyak sangat kuasa-kuasa, unsur-unsur asing, NGO-NGO yang datang, yang hadir memberikan kami bahan bacaan, memberikan kami latihan tentang hak asasi manusia.’

“Jadi, ini adalah satu trend yang berlaku di seluruh dunia dan dalam konteks Malaysia mereka mencuba membuat kes-kes begini, membuat perubahan atas nama demokrasi dan hak asasi manusia kerana mereka tahu Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang meletakkan Islam sebagai agama negara. Tak ada negara lain, “katanya.

Ikutilah wawancara AIDC bersama Azril pada 25 Ogos di Bangi selengkapnya.

AIDC : Hakim Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa boleh diguna kalimah Allah dalam The Herald. Kemudian Peguam Negara memfailkan rayuan untuk menangguh. Jadi, dalam konteks ini, bolehkah The Herald menggunakan perkataan Allah ?

Kedudukan sekarang kerana terdapat pergantungan terhadap pelaksanaan kehakiman tersebut, maka nama Allah sekarang tidak boleh digunakan oleh orang bukan agama Islam dalam konteks agama mereka di Malaysia.

Kita telah memohon untuk digantung pelaksanaan penghakiman tersebut sementara menunggu rayuan.

Jadi, ia masih bersifat status quo. Tak boleh diguna oleh Kristian selagi mana tidak diputuskan di peringkat mahkamah tertinggi.

AIDC : Sekiranya ada penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dianggap salah dari segi undang-undang ?

Itu dianggap satu kesalahan. Mengikut Enakmen Kawalan dan Sekatan (Agama-agama Bukan Islam) di negeri-negeri, aduan kepada pihak berkuasa boleh dibuat dan pendakwaan di Mahkamah Sivil boleh dilakukan. Termasuk juga kesalahan-kesalahan sekiranya orang Islam sendiri membantu mereka. Ia boleh menjadi kesalahan melanggar fatwa.

AIDC : Tuan katakan rayuan gereja pada 22 Ogos untuk membatalkan kes ini adalah berdasarkan sepucuk surat daripada Perdana Menteri bertarikh 11 April 2011 tentang penyelesaian 10 perkara. Adakah dalam surat itu disebut secara khusus tentang kes kalimah Allah ?

Tidak disebut.

AIDC : Walaupun tidak disebut secara spesifik dalam surat tentang kalimah Allah tetapi pihak gereja masih menggunakan juga sebagai bukti hujahan ?

Itu yang menjadi hujahan balas daripada pihak perayu iaitu pihak Majlis-majlis Agama Islam bahawa percubaan untuk menggunakan surat penyelesaian PM itu adalah satu percubaan yang tidak relevan.

Kerana di dalam surat itu tidak disebut langsung tentang kebenaran untuk menggunakan kalimah Allah. Malah di dalam afidavit yang difailkan oleh pihak Majlis-majlis Agama Islam, juga afidavit yang difailkan oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri masa itu, beliau mengatakan tidak dibincangkan langsung tentang isu kalimah Allah dalam surat penyelesaian 10 perkara itu.

Beliau juga telah memberikan kenyataan bahawa perbincangan tentang perkara itu tidak muktamad. Perkara yang disebut secara spesifik adalah berkaitan kebenaran pergerakan Bible dari luar negara ke dalam negara, juga di Sabah dan Sarawak. Ia adalah spesifik, sangat khusus.

AIDC : Pada 22 Ogos lalu adakah enam Majlis Agama Islam dan MACMA diberi kebenaran mencelah ?

Ya. masa itu kebenaran telah diberi berdasarkan perintah persetujuan bertarikh 23 Mei 2013 dan peguam-peguam Majlis Agama Islam dan juga MACMA telah mengemukakan hujah masing-masing.

Pihak pencelah diketuai oleh peguam-peguam kanan Hj.Hanif Katri dan Mubashir Mansor. Majlis-majlis Agama Islam dan juga NGO Islam, telah bersepakat menggunakan satu hujah bersama, common submission. Jadi tak perlu semua peguam berhujah.

Walaupun ramai peguam yang mewakili, tapi kami lebih bersifat memberikan kerjasama, input, penyelidikan. Kemudian, kami mengambil yang terbaik di kalangan kami untuk menghujahkan apa yang telah dibincangkan bersam-sama.

Dari segi strateginya, nampak lebih kukuh dan kita ada sokongan daripada peguam-peguam yang berpengalaman.

AIDC : Adakah hujah-hujah ini bercanggah dengan peguam KDN dan kerajaan ?

Tidak. Kita sepakat.

Pihak Kerajaan menumpukan pada isu berkaitan undang-undang pentadbiran di sekitar keputusan Menteri Dalam Negeri, segi kuasa Menteri dan juga perkara-perkara yang berkaitan.

Bagi pihak kita pula daripada perspektif Majlis Agama Islam Negeri-negeri sebagai badan berkuasa yang akan menasihati Duli-duli Yang Maha Mulia Sultan-sultan berkaitan hal ehwal Islam. Jadi, tiada percanggahan.

AIDC : Apakah hujah-hujah yang dikemukakan oleh pihak perayu pada 22 Ogos lalu ?

Antara hujahnya, surat Kabinet tentang penyelesaian 10 perkara itu tidak relevan. Surat itu tiada kaitan dengan kebenaran penggunaan kalimah Allah.

Kemudian, terdapat juga beberapa kes yang telah diputuskan sebelum ini di dalam commonwealth jurisdiction – bahawa sekiranya kes berkaitan dengan semakan kehakiman, hanya fakta-fakta yang berlaku semasa semakan kehakiman itu sahaja boleh diambil kira.

Maksud saya, fakta bahawa pada 7 Januari 2009, pihak Menteri Dalam Negeri membuat keputusan untuk melarang penggunaan kalimah Allah, sampai setakat itu sahaja boleh digunakan. Apa-apa fakta selepas itu tidak boleh dirujuk di dalam permohonan pihak gereja untuk membatalkan rayuan pihak perayu.

Dalam kes ini, pihak gereja telah merujuk kepada surat Kabinet pada 2011. Kes berlaku dua tahun selepas itu. Maka, itu tidak dibenarkan.

Jadi, disebabkan tiga asas ini, mahkamah telah pun menolak permohonan mereka untuk membatalkan rayuan kerajaan.

AIDC : Apakah pula hujah pihak gereja pada 22 Ogos ?

Yang pertama sekali, mereka menggunakan surat daripada PM tentang penyelesaian 10 perkara itu. Mereka menyatakan bahawa surat itu membuktikan kerajaan telah mengubah pendirian kerajaan maka rayuan tersebut sepatutnya tidak dibenarkan untuk diteruskan.

Mereka menyatakan bahawa, oleh kerana dibenarkan penerbitan dan pengedaran Bible itu, secara tidak langsung dibenarkan juga penggunaan istilah kalimah Allah. Jelas wujud pendekatan memanipulasi di pihak mereka.

Kita berjaya buktikan bahawa di dalam penyelesaian 10 perkara itu jelas tidak berkaitan penggunaan kalimah Allah. Dan itu juga diikrarkan oleh Datuk Seri Hishamuddin bahawa tiada perbincangan tentang kalimah Allah yang melatari penyelesaian 10 perkara.

AIDC : Sebelum ini, dalam petisyen Ketua Paderi Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Nicholas Xavier Pakiam, mendakwa bahawa kalimah Allah bukan hak eksklusif Islam. Apa pandangan tuan dalam soal ini ?

Dalam soal ini, kita perlu melihat segi hujah undang-undang dan juga hujah teologi segi akademik dan sebagainya.

Berhujah berdasarkan akademik, bukan bidang kepakaran kami, namun ramai di kalangan sarjana-sarjana Islam, ulama, malah Majlis Fatwa Kebangsaan telah pun membuat keputusan tentang perkara itu setelah berbincang secara mendalam.

Segi teologi, perbahasan juga wujud. Kita pun telah maklum memang bahawa Allah itu sebagai nama khas adalah milik orang Islam.

Tetapi segi perundangan, segi kedudukan Islam di Malaysia, Artikel 3(1) itu meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.Perlembagaan Persekutuan juga menjelaskan kuasa Raja-raja ke atas hal ehwal Islam dan juga wujudnya fatwa yang mengharamkan penggunaan kalimah Allah bagi bukan Islam serta wujudnya Enakmen-enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) di negeri-negeri yang telah digazetkan hampir di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia.

Kami berhujah menurut kaca mata undang-undang dan melihat pada peranan Raja-raja sebagai contoh dan kedudukan Islam itu sendiri dalam mengawal penggunaan istilah, mempertahankan akidah umat Islam. Itu adalah sangat jelas.

Oleh kerana itu, maka kita berpendapat bahawa istilah atau nama Allah itu adalah milik eksklusif umat Islam dalam konteks Malaysia.

AIDC : Ada pihak yang mendakwa Malaysia adalah sebuah negara sekular sedangkan tuan sebutkan tadi Islam termaktub dalam Perlembagaan ?

Pihak-pihak yang mengatakan Malaysia itu adalah sebuah negara sekular adalah orang yang sama, yang tidak pernah dapat membuktikan bahawa wujud istilah sekular di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Malah, mereka mempercayai individu seperti Karpal Singh yang mengatakan bahawa Malaysia adalah negara sekular lebih dari mempercayai pakar-pakar perundangan Islam yang bercakap berasaskan kepada realiti Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Kenapa istilah Islam digunakan sebagai agama negara dalam perlembagaan Malaysia dan bukan agama rasmi. Itu pun sudah jelas menunjukkan bahawa Malaysia bukan negara sekular. Tidak ada pula disebut agama-agama lain. Hanya disebut agama Islam sahaja.

Dalam kes Meor Atiqurrahman misalnya, disebut Islam itu berbeza dengan agama-agama lain, berdiri seumpama pohon jati.

AIDC : Dalam kes nama Allah, adakah rayuan kerajaan pada 10 September ini adalah satu keputusan yang penting ?

Sangat penting. Pada 10 September ini,  apa yang berlaku adalah peguam bagi kedua-dua pihak, sama ada pihak gereja, kerajaan dan juga Majlis-majlis Agama Islam Negeri dan MACMA akan mengemukakan hujah masing-masing tentang rayuan induk itu.

Saya tidak pastilah sama ada Mahkamah Rayuan akan membuat keputusan pada hari itu juga atau pada tarikh lain. Itu bergantung pada budi bicara para hakim pada hari tersebut.

Tarikh itu sangat penting, umat Islam wajar menunjukkan kehadiran mereka, menzahirkan sokongan mereka. Bukan sokongan kepada kami tetapi kepada Majlis-majlis Agama Islam itu sendiri. Wajar kita menunjukkan sikap prihatin dan ini satu isu yang mana sepatutnya orang Islam boleh bersatu.

Ini isu akidah, itu sangat jelas. Bukan isu yang bersifat khilaf dan sebagainya tapi ia sangat jelas.

Jadi, sepatutnya kita melangkaui politik kepartian.

Jangan salah faham, saya ada baca komen-komen di dalam laman web yang mengatakan ini salah pihak pemerintah, salah UMNO kerana telah membenarkan. Tidak..tidak.

Ini adalah permohonan pihak gereja untuk mencabar, yang mahu membuat semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan. Kerajaan telah jelas melarang.

Bagi kami, peguam yang terlibat, kami tidak memihak kepada mana-mana politik, tidak. Bagi kami, kami melihat segi kedudukan undang-undang. Apakah peruntukan dalam Perlembagaan, undang-undang yang melindungi kedudukan Islam. Itu yang menjadi perkara utama.

AIDC : Apakah tuntutan nama Allah di mahkamah sebagai satu strategi untuk menghakis atau mengugat kedudukan Islam dalam Perlembagaan ? Sebab ia dituntut selepas Pilihan Raya Umum Ke 12, ketika Pakatan Pembangkang berjaya menafikan kemenangan 2/3 Barisan Nasional di Parlimen ?

Saya suka melihat isu ini dari perspektif cabaran-cabaran yang wujud semenjak daripada zaman reformasi. Kalau generasi yang berumur seperti saya, 30-an, 40-an, kita melihat zaman reformasi itu sebagai titik hitam sebagaimana ibu bapa kita, datuk nenek kita melihat 13 Mei 1969 itu sebagai titik hitam dalam sejarah Negara pada hayat mereka.

Jadi, bila tahun 1998..1999 itu berlakunya reformasi, terdapat usaha-usaha, lambakan-lambakan tafsiran liberal terhadap istilah-istilah kunci seperti demokrasi, hak asasi manusia, kebebasan, dan sebagainya.

Istilah amar maaruf nahi mungkar ketika itu sudah diberikan istilah negatif iaitu moral policing. Banyak lagi istilah-istilah lain diberikan selari dengan kemasukan NGO-NGO hak asasi manusia pada waktu itu. Memperjuangkan hak asasi, demokrasi dan sebagainya.

Kemudian kita lihat apa berlaku pada 1998..1999 dan diawal tahun 2000, ketika itu sudah ada usaha untuk mewujudkan IFC (Inter Faith Commision). Kita perlu ingat bahawa tuntutan penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam ini adalah tuntutan kesembilan dalam cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC). Jadi, ada hubung kaitnya.

Pada 24 Oktober 2013 ini pula, Malaysia akan menjalani semakan hak asasi manusia sejagat (UPR) di Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva.

COMANGO adalah badan gabungan NGO-NGO liberal dan NGO hak asasi manusia. Mereka bergabung dan akan menyertai semakan hak asasi manusia tersebut.

Di dalam laporan COMANGO iaitu Coalition of Malaysian NGOs in the UPR Process yang dikeluarkan bulan Mac baru-baru ini, isu tuntutan nama Allah oleh Kristian itu, dimasukkan juga dalam deraf laporan yang akan dibentangkan di Geneva kelak, sebagai satu isu kebebasan beragama.

Jadi, kita tengok pasca reformasi, semasa kes murtad Lina Joy pada tahun 2005..2006, dan apa yang berlaku sekarang ini dan juga apa akan berlaku pada masa hadapan, itu sebenarnya satu grand design yang menjadi latar belakang usaha untuk menghakis kedudukan, keistimewaan Islam itu sebagai Agama Persekutuan.

Kerana jika lihat di negara lain, sebagai contoh, Thailand yang terbaru, ada usaha untuk membolehkan perkahwinan sesama sejenis dilakukan. Di Singapura, usaha tersebut telah ditolak.

Ada satu kes, Gary Lim Meng Suang dan Kenneth Chee Mun-Leon yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada bulan April baru-baru ini, yang menolak tuntutan untuk mengiktiraf hubungan gay. Ini telah berlaku. Usaha untuk digelar same sex marriage, perkahwinan sama jenis juga berlaku di Thailand sekarang ini.

Jadi, ia saling berkait. Apa-apa perkara yang melibatkan agama, kehidupan beragama itu sedang rancak ditentang sekarang ini. Sentiasa ditentang. Dan di Malaysia terbentang isu-isu yang sangat terkait dengan usaha penghakisan kedudukan Islam dan kehidupan beragama.

 

AIDC : Tuan sebutkan tadi, apa yang terjadi di Malaysia hari ini adalah terjemahan daripada zaman reformasi 1998 ?

Ini adalah kesan langsung. Mereka yang terlibat sebagai aktivis hak asasi manusia pada 1998..1999, sekarang ini ramai di kalangan mereka sudah menjadi ADUN, jadi Ahli Parlimen, khususnya di kalangan ahli politik pembangkang.

Sebelum ini, mereka memperjuangkan hak asasi dalam NGO. Mereka buat pelbagai program, buat pelbagai demonstrasi, memasukkan bacaan-bacaan hak asasi manusia, mengadakan kursus-kursus kesedaran, malah Bar Council sendiri hadir apabila mereka membuat human rights training kepada peguam-peguam muda yang baru masuk dalam praktis undang-undang.

Ini semua dilakukan secara tersusun dan sekarang selepas 10 tahun..20 tahun, kita nampak hasilnya. Mereka lebih berani ke hadapan menuntut secara terang-terangan.

Antara kes-kes yang besar, sebagai contohnya kes Lina Joy. Ramai peguam mereka dibantu oleh Becket Fund yang memberikan dana kepada NGO-NGO dan kumpulan peguam-peguam hak asasi manusia untuk membantu seorang wanita Melayu-Muslim memadamkan perkataan Islam dalam kad pengenalannya.

AIDC : Jadi, kes Lina Joy ada kaitan sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan kalimah Allah?

Wujud hubung kait secara tidak langsung. Saya, kalau ditanya tentang cabaran-cabaran ini, saya akan rujuk semula pada 14 tuntutan IFC itu.

Tuntutan yang pertama, anak tidak boleh dinamakan sebagai Islam, tidak boleh dibesarkan sebagai Islam, kena tunggu tukar agamanya hingga berumur 18 tahun.

Seorang Islam hendaklah dibolehkan untuk menukar agama apabila hendak berkahwin dengan Kristian ataupun Hindu.

Itu semua, 14 tuntutan itu, sedang berlaku satu-persatu sekarang ini. Mereka mengambil peluang untuk mengujinya di mahkamah.

Dan kalau saudara ingat, baru-baru ini, En Jabir Singh, Presiden MBBCHST (Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism), semasa kes ini, kes kalimah Allah ini sedang berlaku, beliau mengatakan bahawa beliau akan membawa kes ini ke peringkat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Kenyataan beliau mengesahkan bahawa memang ada agenda sekular hak asasi manusia yang mahu menghancurkan, menghakis kedudukan Islam di sesebuah negara. Buktinya, isu ini telahpun dimasukkan ke dalam deraf laporan COMANGO yang saya jelaskan tadi.

Kalau kita lihat di Timur Tengah, yang berlaku di Mesir, Syria dan sebagainya,  juga atas nama demokrasi dan hak asasi manusia, atas nama menjatuhkan pemimpin yang diktator, tetapi sebenarnya membawa campur tangan kuasa asing.

Di Malaysia, mungkin mereka gunakan pendekatan lain. Mereka berselindung di sebalik istilah demokrasi dan hak asasi manusia. Tapi secara tidak langsung kebelakangan ini kita lihat mereka cuba menghakis kedudukan Islam dan mengelirukan masyarakat.

Saya dulu pun terlibat secara langsung dalam reformasi. Kami juga berada di barisan hadapan, berdemonstrasi menentang kerajaan dan sebagainya.

Tapi kita tersedar bahawa ‘eh..terlampau banyak sangat kuasa-kuasa, unsur-unsur asing, NGO-NGO yang datang, yang hadir memberikan kami bahan bacaan, memberikan kami latihan tentang hak asasi manusia.’

Jadi, ini adalah satu trend yang berlaku di seluruh dunia dan dalam konteks Malaysia mereka mencuba membuat kes-kes begini, membuat perubahan melalui undang-undang kerana mereka tahu Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang meletakkan Islam sebagai agama negara. Tak ada negara lain.

Walaupun, contohnya seperti Pakistan, yang menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai dasar perlembagaan tapi tengok apa yang berlaku di Pakistan. Negara itu tidak terbina sebagaimana Malaysia terbina sekarang ini.

Di Malaysia, Islam lebih luas tafsirannya, kita sudah tentukan dari zaman-berzaman. Sudah berkurun-kurun para ulama membina landasan yang kukuh melalui perspektif Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini.

AIDC : Termasuk juga ancaman Syiah yang diperkatakan sekarang ini ?

Saya tak terperanjat kalau ada usaha untuk membawa kes-kes yang melibatkan penganut Syiah. Ada beberapa kes yang mana kita lihat kenyataan daripada Majlis Syiah Malaysia, mereka juga menggunakan hujah hak asasi manusia.

AIDC : Maknanya, seolah-olah seperti satu grand design berlaku di seluruh dunia Islam?

Ya, betul.

SUMBER: http://www.anwaraidc.com