KUALA LUMPUR 8 Sept. – Tindakan golongan Syiah membenarkan umat Islam berfahaman Sunni dibunuh bukan disebabkan faktor politik atau etnik tetapi merupakan sebahagian pegangan akidah ajaran itu.

Pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Islam, Universiti Malaya (UM), Mohd. Hamidi Ismail berkata, pengikut Syiah berpendapat darah golongan Sunni halal kerana tidak mengiktiraf sebanyak 12 imam yang merupakan satu daripada rukun iman dalam Syiah.

Beliau berkata, pengikut Syiah meletakkan kedudukan 12 imam itu terlalu hebat hingga ke tahap maksum sedangkan perkara tersebut menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

“Mereka mendakwa golongan Sunni tidak mengiktiraf kedudukan Saidina Ali Abu Talib sebagai pengganti kepada Rasulullah SAW sedangkan kita mengakui Saidina Ali adalah sahabat besar baginda dan merupakan khalifah keempat dalam pemerintahan Khulafa ar-Rasyidin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Konsep Imam dan Imamah Syiah dan Percanggahannya Dari Islam.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Hamidi berkata, tindakan Syiah mengkafirkan sahabat-sahabat besar Rasulullah SAW juga tidak boleh diterima dan jelas bertentangan dengan syariat Islam.

Sedangkan, menurut beliau, Rasulullah SAW dalam beberapa hadis mengiktiraf dan memperakui kelebihan-kelebihan sahabat antaranya Saidina Abu Bakar, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Uthman al-Affan dan ramai lagi.

Selain itu, Mohd. Hamidi turut menyentuh mengenai perkahwinan mutaah yang disifatkannya sebagai ‘candu’ bagi menarik orang ramai menganut ajaran Syiah sedangkan perkahwinan tersebut tidak dibenarkan syariat dan amat bertentangan dengan Islam.

Perkahwinan itu, tambah beliau, menjatuhkan maruah serta harga diri wanita selain meletakkan kedudukan golongan tersebut pada tahap terlalu rendah.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130909/dn_05/Bunuh-golongan-Sunni-pegangan-akidah-Syiah#ixzz2eLrBZVwm
© Utusan Melayu (M) Bhd