Kuala Lumpur: Hentikan segera hubungan diplomatik dengan Iran. Itu resolusi Seminar ‘Mendepani Virus Syiah’ yang diadakan di Pusat Islam, di sini semalam, sebagai langkah segera menyekat penyebaran fahaman itu di negara ini.

SMVS-rumusanMufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh, berkata langkah drastik perlu diambil bagi memastikan ‘virus’ fahaman Syiah tidak terus menular dan merosakkan akidah umat Islam di negara ini, yang majoritinya Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Malaysia perlu mencontohi negara Maghribi, yang berjaya menyekat penularan Syiah di negara itu selepas bertindak memutuskan segala bentuk hubungan diplomatik dengan Iran, termasuk bidang berkaitan pendidikan dan ekonomi.

Syiah ibarat ‘racun’

“Fahaman Syiah perlu disekat, sama seperti kita menyekat penularan fahaman Komunis di negara ini suatu ketika dulu.

“Syiah boleh diibaratkan sebagai ‘racun’ yang mampu memusnahkan keharmonian dan keselamatan negara sama seperti yang berlaku di beberapa negara lain termasuk Iran, Iraq dan Pakistan,” katanya yang membacakan resolusi itu dalam ucapan penutup seminar anjuran bersama Pertubuhan Muafakat Sejahtera Malaysia (MUAFAKAT) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Katanya, hubungan diplomatik, ekonomi dan pendidikan dengan Iran ketika ini ibarat ‘gula-gula’ yang meracun dan akan menghancurkan masyarakat di sesebuah negara dalam senyap.
“Kita perlu cepat. Jangan sampai terlewat. Jangan tunggu lama-lama. Ia adalah doktrin yang bersifat menyeleweng akidah sekali gus mampu menghancurkan negara,” katanya.

Sementara itu, bekas pengikut ajaran itu yang hanya mahu dikenali sebagai Syed Ibrahim, 52, berkata sifat ingin tahu, tanpa kefahaman mendalam mengenai agama dan bahaya Syiah menjadi antara punca utama beliau terjebak dalam ajaran itu.

Guna hadis palsu

“Semangat ingin tahu yang melampau membuatkan saya terjebak dengan ajaran itu seawal usia 18 tahun.

“Minat untuk mengetahui mengenai fahaman itu makin menebal selepas tercetusnya revolusi Iran yang berjaya mengembangkan ajaran berkenaan di negara itu. Kehebatan pendakwah Syiah menyebarkan dakyah menggunakan hadis palsu ciptaan mereka menyebabkan saya terus terjebak dengan ajaran itu sehingga kira-kira enam tahun lamanya.

“Tetapi dalam enam tahun itu pelbagai kekeliruan saya temui dalam ajaran yang di bawa mereka. Antara yang paling nyata adalah takiyyah (berpura-pura) dan Imamah (Imam Syiah lebih tinggi darjatnya daripada Nabi). Apabila mengalami kekeliruan, saya akan cuba mendapatkan bantuan daripada ustaz yang mengamalkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan akhirnya, saya kembali ke pangkal jalan,” katanya.

sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SyorputushubungandiplomatikKL-Tehran/Article

Advertisements