SHAH ALAM 25 Sept. – Pihak berkuasa agama di negara ini diminta supaya memberi perhatian serius dengan melaksanakan langkah khusus bagi membendung fenomena perkahwinan umat Islam dengan pasangan bukan Islam tanpa menukar agama daripada terus menular di negara ini.

Pensyarah Kanan Jabatan Akidah dan Pemikiran Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Khadijah Hambali berkata, fenomena itu perlu diberi perhatian kerana berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap 50 responden, kira-kira 3.5 peratus daripadanya didapati mengamalkan perkahwinan tersebut.

Buku mempromosi kahwin campur antara Muslim dengan bukan Muslim dikeluarkan oleh MEGC sekutu Institut Kajian Dasar (IKD)

Buku mempromosi kahwin campur antara Muslim dengan bukan Muslim dikeluarkan oleh MEGC sekutu Institut Kajian Dasar (IKD)

Tegas beliau, meskipun jumlah itu terlalu kecil sekiranya dibandingkan dengan keseluruhan penduduk di negara ini, perkara itu tidak boleh dianggap remeh kerana melibatkan soal akidah selain membuktikan penularan ideologi liberalisme dan pluralisme sedang meracuni pemikiran umat Islam ketika ini.

”Daripada kajian tersebut, kita dapati mereka yang mengamalkan perkahwinan berkenaan menganggap corak serta budaya kehidupan Barat itu adalah satu paradigma kepada pembangunan peradaban.

”Mereka tidak kisah pasangan mereka kahwini itu bukan Islam. Bagi mereka, soal berbeza agama bukan menghalang kepada peradaban,” katanya kepada pemberita selepas Simposium Pemikiran Liberalisme dan Pluralisme Agama Peringkat Kebangsaan 2013 di sini hari ini.

Khadijah yang menyampaikan kertas kerja bertajuk ‘Liberalisme dan Pluralisme Agama : Penolakan Terhadap Syariah’ dalam simposium itu berkata, golongan yang mengamalkan perkahwinan itu ada di antaranya mempunyai latar belakang pendidikan tinggi.

Menurut beliau, kebanyakan pasangan terbabit berkahwin di luar negara, kemudiannya pulang ke negara ini dan mengamalkan cara hidup berkenaan dengan pasangan mereka khususnya melibatkan kawasan di Lembah Klang, Sabah dan Sarawak.

”Mereka melihat semua agama adalah sama rata, begitu juga dengan kebenaran mutlak dengan semua agama. Sedangkan hakikat sebenar, falsafah ketuhanan itu berbeza-beza di antara agama,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengawai Eksekutif Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS), Prof Madya Dr. Mohamed Azam Mohd. Adil menegaskan, penguatkuasaan menyeluruh perlu dilakukan oleh pihak berwajib dalam menangani kumpulan atau gerakan liberalisme serta pluralisme agama di negara ini.

Sambil memberikan contoh di Selangor, beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan negeri ini telah memutuskan bahawa aliran liberalisme dan pluralisme sebagai sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam.

”Sudah tentunya tindakan dari segi perundangan syariah boleh diambil bagi membendung pemikiran itu daripada menular di negeri ini. Saya percaya di negeri-negeri mempunyai pandangan yang sama terhadap ideologi tersebut,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia © Utusan Melayu (M) Bhd